Pasangan pengantin yang bersanding pada majlis perkahwinan yang berakhir dengan tragedi kebakaran di bandar Qarapish, utara Iraq pada Selasa lalu sempat melarikan diri menerusi pintu dapur, lapor portal berita metro UK pada 29 September 2023.
Kebakaran di sebuah dewan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 113 orang dan 130 yang lain cedera. Ibu pengantin lelaki antara yang terbunuh dalam kebakaran itu.
MailOnline melaporkan bahawa 'seluruh keluarga' pengantin perempuan meninggal dunia secara tragis dalam tragedi itu termasuk tiga abangnya, semua bapa saudaranya dan sepupu muda.
Pada mulanya, pengantin perempuan, Haneen dan suaminya, Revan Esho dipercayai meninggal dunia tetapi mereka kini dirawat di sebuah hospital di Erbi.
Kebakaran bermula sejam selepas majlis perkahwinan berlangsung apabila bunga api dihalakan ke siling dewan, manakala pasangan pengantin pula sedang menari dengan rakaman video menunjukkan Haneen ketakutan melihat dinding terbakar dan bumbung mula runtuh.
Pasangan pengantin itu kemudian melarikan diri melalui pintu dapur, lapor stesen penyiar Rudaw.
Mangsa yang cedera dipindahkan untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital di beberapa buah bandar termasuk Erbil, Mosul dan Duhok.
Kementerian Dalam Negeri Iraq berkata, seramai 14 orang ditangkap termasuk pemilik dewan tempat majlis perkahwinan tersebut berlangsung. Pihak berkuasa juga menjanjikan siasatan pantas dengan keputusan akan diumumkan dalam tempoh 72 jam.
Bapa pengantin lelaki berkata, dia percaya pemilik dewan itu bertanggungjawab terhadap kebakaran itu ketika bercakap kepada saluran berita CNN.
Tiga orang yang menghadiri majlis perkahwinan itu berkata, dewan itu tiada alat pemadam api dan pintu kecemasan manakala maklumat awal menunjukkan bangunan berkenaan mempunyai bahan binaan yang sangat mudah terbakar. - Sumber Metro UK.