Pesawat Alaska Airlines yang membawa 177 penumpang termasuk anak kapal terpaksa melakukan pendaratan cemas di Oregon, Amerika Syarikat (AS) pada petang Sabtu, 6 Januari 2024 (waktu tempatan).
Menurut syarikat penerbangan itu, ia selepas ada penumpang yang mengadu panel tingkap pesawat berkenaan tercabut selepas pesawat berlepas dari lapangan terbang.
Terdahulu, penerbangan 1282 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland sekitar jam 5 petang, sebelum ia mendarat semula dalam keadaan selamat.
Ia selepas anak kapal melaporkan pintu tengah kabin tercabut, yang mengakibatkan penyahmampatan pesat (tekanan) membabitkan pesawat berkenaan, demikian penjelasan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) di platform media sosial X.
Terdapat imej yang dikongsikan di media sosial memaparkan panel tingkap pesawat diterbangkan, dengan topeng oksigen kecemasan tergantung di siling pesawat itu.
Seorang penumpang, Kyle Rinker, ketika ditemubual CNN berkata tingkap pesawat itu tercabut tidak lama selepas berlepas.
Seorang lagi penumpang, Vi Nguyen, memberitahu The New York Times, dia terkejut mendengar bunyi kuat semasa penerbangan.
"Saya buka mata dan benda pertama saya lihat adalah topeng oksigen betul-betul di hadapan saya.
"Saya lihat kiri dan kanan, dinding sebelah pesawat telah hilang. Perkara pertama saya fikir ialah, saya akan mati," katanya.
Sehubungan itu, FAA dan syarikat Alaska Airlines memaklumkan mereka sedang menyiasat kejadian itu.
Menurut kenyataan Alaska Airlines, pesawat itu selamat mendarat kembali di Lapangan Terbang Antarabangsa Portland dengan 171 penumpang dan enam anak kapal.
"Walaupun kejadian ini jarang berlaku, namun kru penerbangan kami terlatih dan bersedia menguruskan keadaan dengan selamat," kata syarikat berkenaan.
Mengikut laman web pengesanan penerbangan FlightAware, pesawat Boeing 737 Max 9 itu berlepas pada 5.07 petang, menuju ke Ontario, California, sebelum terpaksa kembali semula ke lapangan terbang sama kira-kira 20 minit kemudian.
Menurut laman web pendaftaran FAA, pesawat itu disahkan layak terbang pada Oktober.
Menerusi catatan di platform X, syarikat Boeing berkata pihaknya sedang mengumpul lebih banyak maklumat, malah pasukan teknikalnya bersedia untuk membantu siasatan. - Sumber NBC News.