Memaparkan catatan dengan label Harta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Harta. Papar semua catatan

Khamis, 23 September 2021

Jumpa Harta Karun Peninggalan Kerajaan Purba Ketika Gali Kubur

Jumpa Harta Karun Peninggalan Kerajaan Purba Ketika Gali Kubur


JAKARTA - Tiga penggali kubur yang sedang melakukan kerja penggalian sedalam dua meter di Kota Bima dekat Nusa Tenggara Barat, menemukan harta karun yang dikatakan peninggalan kerajaan purba.


Memetik laporan OkeNews pada 17 September 2021, ketiga-tiga mereka, Ibrahim, Ramli dan Robi Mas'ud menemukan harta karun berupa cincin emas, cincin perak, gelang dan anting-anting emas pada kedalaman dua meter.


Semua harta karun itu ditemukan secara tidak sengaja di kawasan tanah perkuburan Cuhi Pangga Pupa. Selain harta karun tersebut, mereka turut menemukan tengkorak di samping barang kemas itu.


Ketua Kebudayaan, Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan Kota Bima, Munawar berkata, penemuan itu cukup me­ngagumkan dan akan menjalankan siasatan lanjut me­ngenainya.



Menurut beliau, penemuan itu bukan yang pertama kali berlaku. Sebelum ini, penduduk tempatan juga telah menemui mata tombak dan barang-barang lain. Malangnya, semua pe­nemuan itu ada yang disimpan sendiri dan ada yang dijual kepada pihak lain.


Dalam penemuan baharu itu, Ibrahim menemukan dua cincin manakala Ramli pula memperoleh cincin dan an­ting-anting dan selebihnya diberikan kepada Robi. Munawar berkata, pihaknya mahu ketiga-tiga mereka menjual penemuan harta karun itu kepada kerajaan.


Kawasan tanah perkuburan itu disebut sebagai Cuhi Pangga Pupa. Menurut masyarakat, Cuhi adalah penguasa kawasan utara, maksudnya sebagai kawasan kerajaan lama sehingga objek arkeologi sering dijumpai.


Penemuan harta karun berupa cincin dan anting-anting emas di kawasan perkuburan di Kota Bima, Nusa Tenggara Barat.

Sabtu, 4 September 2021

Heboh Gua Penuh Emas, Selepas Disiasat Rupanya Besi Pirit

Heboh Gua Penuh Emas, Selepas Disiasat Rupanya Besi Pirit


Sebuah gua yang dikenali dengan nama Goa Tao 8 Putri di Deli Serdang, Sumatera Utara berhampiran dengan kawasan pelancongan Tasik Linting, menjadi tular dalam media sosial kerana didakwa mengandungi emas.


Berdasarkan satu rakaman video, beberapa orang memasuki gua dan menunjukkan dinding gua yang didakwa mengandungi serpihan emas. Mereka turut mengatakan 'emas' di dinding gua itu tidak boleh diambil kerana dianggap benda suci.


Namun, dakwaan itu disangkal oleh Ketua Daerah Sinembah Tanjung Muda (STM) Hulu, Budiman ketika dihubungi Kompas.com pada 2 September 2021 lalu.


"Tiada emas di dalam gua tersebut dan gua itu memang sering dikunjungi oleh penduduk tempatan. Jika ada emas, sudah pasti tempat itu sesak dengan orang ramai," katanya.


Jelas Budiman, pihak berkuasa tempatan akan mengetahui terlebih dahulu sekiranya terdapat emas dalam gua tersebut.


Dalam pada itu, Ketua Pengurus Daerah Ikatan Ahli Geologi Indonesia (IAGI), Sumut Gustam Lubis mengesahkan tiada emas dalam gua berkenaan.


"Bahan berkilat yang didakwa emas itu hanyalah besi pirit, iaitu logam biasa. Disebabkan besi pirit berwarna keemasan, bahan mineral itu sering dianggap sebagai emas palsu," ujarnya.


Sumut memberitahu, mineral itu terbentuk hasil reaksi antara unsur besi dengan sulfur atau belerang sehingga menghasilkan warna kekuningan seperti emas.


Menurutnya, cara untuk membezakan sama ada mineral yang ditemukan adalah emas atau pirit dengan cara menggosoknya. Katanya, emas tidak akan luntur warnanya jika digosok, namun pirit akan bertukar warna.


"Telah diketahui bahawa Goa Tao 8 Putri terletak berdekatan dengan mata air panas yang kaya dengan belerang. Itu hanya pirit yang keluar dari celah batu kapur yang mengelilingi dinding gua," tambahnya.


Sebuah gua di Deli Serdang, Sumatera Utara, Indonesia didakwa mengandungi emas.

Selasa, 24 Ogos 2021

Kerepek 'Rare' Berjaya Dijual RM61K, Ia Bersaiz Lebih Besar Dan Bengkak

Kerepek 'Rare' Berjaya Dijual RM61K, Ia Bersaiz Lebih Besar Dan Bengkak


Tuah buat seorang remaja di Sydney apabila ditawarkan AU$20,000 (RM61,047.69) untuk kerepek rangup 'rare' yang ditemuinya dalam bungkusan makanan ringan keluaran Doritos, lapor Daily Mail pada 22 Julai lalu.


Rylee Stuart, 13, berkata, dia menemui kerepek rangup itu dalam keadaan bengkak dan saiz lebih besar berbanding biasa sebelum memuat naik gambar di TikTok sebelum ia tular.


Katanya, dia mencuba nasib mengiklankan kerepek rangup berkenaan di eBay dengan harga bida permulaan AU$0.99 (RM3.02) sebelum meningkat kepada AU$5,000 (RM15,271.29) dalam masa dua jam.


Lelongan itu mencetuskan kegilaan apabila menyaksikan tawaran meningkat kepada lebih dari AS$20,000 hanya dalam beberapa hari. Pihak eBay terpaksa menurunkan iklan lelongan itu selepas harga meningkat kepada AU$20,300 (RM62,001.45).



Syarikat pengeluar kerepek berkenaan, Doritos akhirnya menawarkan harga lelongan terakhir, AU$20,000. Rylee turut dijemput ke program Today Show di mana dia menyimpan kerepek itu dalam bekas.


"Saya tak sangka semua ini akan berlaku. Ayah ada mengatakan bahawa sejak dia membeli paket itu, ia adalah miliknya, tetapi saya memakan kerepek itu dan menjumpainya, jadi saya percaya itu adalah milik saya," kata Rylee.


Sebelum ini menjual barang makanan aneh dengan harga ribuan ringgit di laman web tersebut sebagai fenomena yang sangat biasa. Baru-baru ini, nugget ayam berbentuk seperti watak popular dari permainan video 'Among Us' juga telah berjaya dijual dengan harga AU$136,000.



Ahad, 15 Ogos 2021

Lelaki Jumpa Wang RM400,996 Disembunyikan Di Bawah Peti Sejuk Terpakai Yang Dibelinya Secara Online

Lelaki Jumpa Wang RM400,996 Disembunyikan Di Bawah Peti Sejuk Terpakai Yang Dibelinya Secara Online


Seorang lelaki di Korea Selatan terkejut selepas menemukan wang tunai bernilai 110 juta won (RM400,996) disembunyikan di bawah peti sejuk terpakai yang dibelinya secara dalam talian.


Menurut laporan agensi Korea Selatan, MBC News, lelaki itu menjumpai kira-kira 2,200 keping wang kertas ketika sedang membersihkan lantas. Sejurus selepas penemuan itu, lelaki tersebut terus pergi ke balai polis untuk membuat laporan pada 6 Ogos lalu.


Memetik laporan portal UPI, polis di Pulau Jeju berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk menentukan sumber wang tersebut. Buat sementara waktu kesemua wang itu disimpan oleh pihak berkuasa.



"Lelaki itu menemukan bungkusan wang tersebut dilekatkan di bahagian bawah peti sejuk ketika sedang membersihkannya.


"Kami sedang mengenal pasti penjual peti sejuk itu dan sedang menyiasat individu yang terlibat dalam penghantaran peralatan itu," kata polis penyiasat.


Berdasarkan Akta Hilang dan Jumpa Korea Selatan, wang tersebut akan diberikan kepada individu yang menemukannya sekiranya pemilik sebenar gagal dikesan atau tidak muncul dalam tempoh enam bulan.


Walau bagaimanapun, pihak yang memperolehi mesti membayar 22 peratus cukai daripada jumlah wang berkenaan. Sekiranya pemilik wang dapat dikesan, pihak yang menjumpainya akan diberi pampasan antara lima hingga 20 peratus.


Namun, sekiranya wang tersebut didakwa mempunyai kaitan dengan jenayah, wang tersebut akan diserahkan kepada dana negara.


Seorang lelaki menemukan wang tunai bernilai RM400,996 di bawah peti sejuk terpakai yang dibeli dalam talian.

Khamis, 29 Julai 2021

Batu Nilam Terbesar Dunia Bernilai RM422 Juta Ditemui Ketika Mengali Perigi

Batu Nilam Terbesar Dunia Bernilai RM422 Juta Ditemui Ketika Mengali Perigi


Gugusan batu nilam terbesar di dunia bernilai £72 juta (RM422 juta) ditemui selepas beberapa orang pekerja melakukan kerja-kerja penggalian membina sebuah perigi di sebuah ladang persendirian di Sri Lanka.


Menurut lapor akhbar The Sun pada 28 Julai 2021, Batu seberat 510 kilogram itu telah dipindahkan di sebuah bank di Colombo dan dikawal oleh pengawal bersenjata mula menerima bidaan dari luar.


Memetik laporan Badan Penyiaran Britain (BBC), pegawai rasmi mengesahkan batu itu ditemui secara tidak sengaja di kawasan Ratnapura. Pekerja sebuah ladang menggali tanah untuk membina sebuah perigi apabila terlihat batu berwarna biru pucat itu yang digelar 'Serendipity Sapphire'.


Batu permata itu ditemui pada tahun 2020 lalu, dan dimaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai penemuan itu secara rahsia. Pengisytiharan penemuan itu memakan masa berbulan-bulan untuk diselesaikan, lapor Nation LK.


Sebahagian dari proses tersebut melibatkan membersihkan batu dari lumpur dan kekotoran lain sehingga pakar permata dapat menganalisis kualitinya dan mengesahkannya.


"Individu (pekerjanya) yang menemui batu itu memaklumkan kepada kami tentang penemuan ini," kata pemilik kepada batu bertuah itu yang hanya mahu dikenali sebagai Gamage.


Lembaga Permata dan Perhiasan Nasional Sri Lanka (NGJA) mengatakan bahawa mereka yang membida batu tersebut termasuklah kerabat diraja.


"Batu ini ditemui di Kahawatte di daerah Ratnapura dan kami tidak boleh mendedahkan maklumat lain berkenaan lokasi sebenarnya atas isu keselamatan," kata ketua pihak berkuasa, Tilak Weerasinghe.


Weerasinghe turut mengesahkan bahawa batu itu milik pemilik tanah Mr Gamage, kerana ia ditemui di ladangnya. Namun ia dipindahkan untuk disimpan di bawah keselamatan yang sangat ketat, ke peti besi di Bank of Ceylon.


"Sri Lanka terkenal sebagai 'pusat nilam dunia'. Batu nilam yang berwarna biru itu merupakan permata kebangsaan bagi Sri Lanka dan terkenal di mata dunia kerana warnanya yang unik, kejernihan dan kualitinya," kata NGJA.


Gugusan nilam yang ditemui di sebuah ladang persendirian di Ratnapura itu memiliki berat 510 kilogram. - Foto Gamage.

Batu nilam cukup terkenal kerana memiliki warna yang unik selain kualitinya yang bagus. - Foto Market square jewellers.

Khamis, 15 Julai 2021

Dipercayai Meteor, Langit Yogyakarta Diterangi Cahaya Lurus Berwarna Hijau

Dipercayai Meteor, Langit Yogyakarta Diterangi Cahaya Lurus Berwarna Hijau


Tular beberapa ciapan dalam Twitter di Indonesia mengenai satu cahaya lurus berwarna hijau menerangi ruang udara di Yogjakarta. Cahaya itu seolah-olah jatuh dari langit berkemungkinan batu angkasa iaitu meteoroid.


Fenomena itu dimaklumkan oleh seorang pengguna Twitter @aryo-akise yang memuat turun gambar cahaya tersebut. Dalam keterangan gambarnya, pengguna Twitter itu memaklumkan kejadian itu berlaku pada pukul 9.36 malam pada 12 Julai lalu.


Akaun Twitter @merapi_uncover yang turut berkongsi gambar tersebut, mengatakan sebahagian penduduk Yogjakarta turut dikejutkan dengan kemunculan cahaya terang berwarna hijau itu di langit.


"Nasib baik, cahaya terang itu didokumentasikan oleh @aryo-akise. Ramai berpendapat cahaya itu sebenarnya bebola api yang melintas ruang udara," kata @merapi_uncover dalam keterangan gambar tersebut.


Menurut laporan Suara.com pada 13 Julai 2021, gambar cahaya itu dipercayai dirakam sendiri oleh pengguna Twitter @aryo-akise. Ketika dihubungi, @aryo-akise atau Arya, 17, mengakui dia sempat merakam gambar cahaya tersebut ketika sibuk merakam gambar langit pada waktu malam bersama adiknya.


"Saya merakam gambar cahaya itu menggunakan kamera telefon pintar dan tripod di kawasan sawah padi di Banguntapan, Bantul. Dari 35 gambar saya rakam, cahaya 'tahi bintang' itu tertangkap dalam gambar ke 20.


"Saya tidak percaya bahawa saya bernasib baik kerana memiliki saat yang luar biasa. Saya terbaring di sawah, dan cahaya terus muncul di langit," katanya.


Selepas itu, Arya berkongsi gambar yang dirakamnya dengan kumpulan Astronomi Penjelajah Langit dan mereka mendakwa cahaya itu adalah bebola api yang melintas ruang udara dan gambar itu adalah asli dan bukan suntingan.


Cahaya hijau dipercayai meteor jatuh di langit Yogyakarta, pada isnin lalu (12/7/2021). - Foto Aryo Kamandanu.

Jumaat, 9 Julai 2021

Lagi Batu Berlian Besar Ditemukan Di Botswana, Cipta Rekod Baru Ketiga Terbesar Di Dunia

Lagi Batu Berlian Besar Ditemukan Di Botswana, Cipta Rekod Baru Ketiga Terbesar Di Dunia

Berlian seberat 1,174 karat ditemukan di Botswana pada 12 Jun 2021 lalu. - Foto Agensi.

GABORONE, 9 Julai - Sebutir batu berlian yang besar seberat 1,174 karat ditemukan di sebuah kawasan perlombongan batu berharga di Botswana pada 12 Jun lalu, sekali gus menjadi berlian kedua 'bersize besar' ditemukan di negara ini dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.


Syarikat perlombongan Lucara Diamond dalam kenyataan memaklumkan, berlian itu ditemukan di lombong Karowe pada bulan lalu, dan diserahkan kepada Kabinet Bostwana di ibu negara tersebut, menerusi satu acara kelmarin (8 Julai 2021).


Pengarah Urusan syarikat itu, Nassem Lahri berkata, batu berlian tersebut menduduki tempat ketiga terbesar yang pernah ditemui di dunia. Berlian itu lebih besar daripada berlian 1,098 karat yang juga ditemukan di Botswana pada awal Jun lalu.


Sebelum ini, firma berlian Debswana berkata, ia menemui batu berlian seberat 1,098 karat di negara tersebut pada 1 Jun lalu, sekali gus menjadikan berlian itu yang ketiga terbesar di dunia. Bagaimanapun pada 16 Jun, pelombong menemukan berlian yang lebih besar seberat 1,174 karat.


Setakat ini, batu berlian terbesar pernah ditemui ialah Cullinan seberat 3,106 karat yang ditemukan di Afrika Selatan pada tahun 1905. Batu berlian Cullinan kemudian dipotong menjadi sembilan bahagian dan menjadi perhiasan kebesaran diraja Britain.


Batu berlian kedua terbesar di dunia juga ditemui di Botswana pada tahun 2019 oleh sebuah syarikat perlombongan batu berharga tersebut, yang sebesar sebiji bola tenis dan seberat 1,758 karat. Bostwana yang terletak di Afrika ialah pengeluar utama berlian di dunia.


Presiden Botswana, Mokgweetsi Masisi dilaporkan menghadiri majlis untuk melihat berlian 1,174 karat tersebut. Pengarah Urusan Lucara Diamond, Naseem Lahri berkata, penemuan berlian terbaharu itu mencipta sejarah tersendiri untuk negara ini.


Presiden Botswana Mokgweetsi Masisi memegang berlian 1,098 karat ditemukan 1 Jun 2021 lalu. - Foto AFP.

Batu berlian Cullinan seberat 3,106 karat yang dipotong menjadi sembilan bahagian. - Foto Google.