Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan

Rabu, 14 September 2022

Berang dipatuk, lelaki gigit ular tedung hingga mati kemudian dililit di lehernya

Berang dipatuk, lelaki gigit ular tedung hingga mati kemudian dililit di lehernya


Seorang petani di India membalas dendam terhadap seekor ular tedung yang mematuknya dengan cara menggigit reptilia berbisa itu sehingga mati, lapor akhbar Daily Star pada 12 September 2022.


Dalam kejadian pada hari Selasa, 6 September lalu, petani bernama Salim Khan dilaporkan sedang bekerja di kawasan sawah padi berhampiran kampung Darada di wilayah Bengal, India.


Penduduk tempatan berkata, lelaki itu mengumpul rumput untuk memberi makan kepada lembu peliharaannya apabila dia tiba-tiba dipatuk seekor ular tedung.


Salim dipatuk pada bahagian kaki, menyebabkan dia nekad membalas dendam terhadap repitilia berbisa itu.



Tidak seperti kebanyakan orang lain yang melarikan diri sekiranya insiden tersebut berlaku, Salim bertindak menggigit ular tedung itu sehingga ia mati.


Bagaikan membawa trofi kemenangan, Salim kemudian berarak di sekitar kejiranannya bersama bangkai haiwan itu yang dililit di leher. Dia bangga kerana dapat membunuh ular yang menyerangnya.


Menurut Salim, dia sedikit pun tidak berasa sakit selepas dipatuk ular tedung itu.


"Kami melihat Salim menunggang basikal bersama seekor ular tedung yang dililit di sekeliling lehernya. Ia amat menakutkan," kata seorangs saksi kepada laman berita Sambad English.


Menurut Sambad English, Salim mendakwa bahawa dia berjaya menghapuskan bisa ular menggunakan ilmu sihir. - Sumber Daily Star.


Salim melilit ular tedung tersebut pada lehernya sambil berarak di sekitar bandar. - Fito Daily Star.

Ahad, 11 September 2022

Selepas 90 Tahun, Burung Pegar Bertanduk Merah Ditemui Semula Di India

Selepas 90 Tahun, Burung Pegar Bertanduk Merah Ditemui Semula Di India


Burung pegar bertanduk merah yang sudah jarang, ditemui semula di Santuari Hidupan Liar Senchal di daerah Darjeeling, Bengal Barat di India. Ini adalah penemuan pertama selepas hampir 90 tahun spesies burung yang dipanggil penduduk tempatan Munal (Satyr Tragopan) yang kali terakhir dilihat pada 1933.


Satyr Tragopan jantan adalah salah satu burung paling cantik yang terdapat di India dan juga salah satu yang paling jarang. Spesies ini terdapat di Taman Negara Lembah Neora dan Taman Negara Singalila di daerah Darjeeling.


"Para saintis menemui semula Crimson Horned Pheasant (burung pegar bertanduk merah) selepas 170 tahun dari Perlindungan Hidupan Liar Senchal, Daerah Darjeeling. Penemuan semula burung pegar selepas tempoh 170 tahun adalah berita yang menggalakkan," kata Pengarah Kajian Zoologi India (ZSI), Dhriti Banerjee.


Penampakan burung itu, yang dipanggil 'munal' kali terakhir direkodkan di kawasan berhampiran bandar Darjeeling pada 1933 oleh saintis British. Burung ini pertama kali ditemui oleh saintis Hickell pada tahun 1842, antara wilayah Kurseong dan Sonada di daerah Darjeeling masa kini.


Satyr Tragopan sering dipanggil 'burung bertanduk' kerana ia memaparkan tonjolan seperti tanduk semasa pacaran. Seperti Satyr Tragopan yang lain, burung ini berhadapan dengan kemusnahan habitat dan tekanan pemburuan dan kini mempunyai status hampir terancam.



Satyr Tragopan jantan adalah 68 sentimeter panjang dan berwarna merah terang dengan bintik-bintik putih. Betina lebih kecil, kurang mencolok dan berwarna coklat. Burung ini tinggal di hutan oak dan rhododendron yang lembap dengan semak belukar yang lebat dan rumpun buluh.


Dhriti Banerjee berkata wilayah Bengal Utara di Bengal Barat kaya dengan kepelbagaian fauna kerana habitat berkualiti tinggi dan perlindungan oleh jabatan perhutanan. Selain Taman Negara Singalila, kawasan perlindungan yang merangkumi Santuari Hidupan Liar Senchal adalah rumah kepada beberapa spesies keutamaan pemuliharaan utama.


Banerjee menyatakan bahawa kajian jangka panjang oleh saintis ZSI yang dibiayai oleh Misi Nasional untuk Kajian Himalaya telah menghasilkan dokumentasi 17 mamalia besar dan sederhana dari rizab itu.


"Daripada haiwan tersebut, Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa (IUCN), tiga spesies telah dikategorikan sebagai 'terdedah' iaitu beruang hitam Asia, harimau bintang biasa dan serow tanah besar. Tiga lagi 'hampir terancam' iaitu kucing emas, kucing marmar, dan tupai gergasi hitam," katanya. - Sumber NDTV.


Burung pegar bertanduk merah, yang sudah jarang ditemui semula di Perlindungan Hidupan Liar Senchal di daerah Darjeeling, Bengal Barat, India. - Foto NDTV.

Selasa, 6 September 2022

Pemancing terkejut jumpa bangkai ikan matahari gergasi terdampar di pantai

Pemancing terkejut jumpa bangkai ikan matahari gergasi terdampar di pantai


Siapa sangka akan menjumpai bangkai ikan matahari gergasi, spesies ikan yang sangat jarang ditemui kerana habitatnya di laut dalam dan terpencil. Namun itulah yang dikongsi oleh dua pemancing yang menjumpai ikan tersebut terdampar di pantai.


Steven Jones dan rakannya, Linette Grzelak menemui ikan itu di satu kawasan pantai Goolwa Pipico yang terletak kira-kira 25 kilometer dari River Murray, sebuah destinasi memancing serta pelancongan popular di Australia Selatan.


Memetik lapor Daily Mail, mereka terkejut dan hampir tidak percaya apabila menemui bangkai ikan itu yang dianggarkan sepanjang 2.5 meter, dengan berat mencecah beberapa ratus kilogram terdampar di pantai tersebut.


Grzelak yang memuat naik gambar ikan itu di Facebook berkata, dia pada mulanya menyangka ikan itu adalah kayu kerana ia terlalu besar.


"Pada mulanya saya menyangka ianya palsu. Jones menemuinya terdampar di pantai dan ia kelihatan seperti kayu yang besar," katanya.


Ikan matahari atau dikenali sebagai mola mola boleh membesar hingga mencecah tiga meter panjang dengan berat mencecah 2.5 tan.


Ikan ini biasanya hanya ditemui di perairan tropika di seluruh dunia dan nelayan sering dikelirukan yang menyangka ia adalah jerung kerana sirip mereka.


Pengurus pengumpulan ikan Ralph Foster, dari Muzium Australia Selatan, menjelaskan mengapa begitu banyak ikan matahari hanyut di pantai.


"Salah satu bahaya besar akan dilanggar oleh bot besar di laut. Mereka juga sering makan beg plastik yang disangka ikan jeli, dan itu boleh membunuh mereka," katanya.


Menurut Foster, ikan matahari agak kerap terdampar di pantai Australia Selatan, dan beliau menerima beberapa laporan setiap tahun.


"Ia sebenarnya agak biasa di perairan Australia tetapi ia biasanya lebih jauh ke laut," katanya. - Sumber Daily Mail.


Ramai nelayan berpengalaman berkata mereka tidak pernah melihat ikan matahari di Australia sebelum ini. Foto Linette Grzelak.

Sunfish atau ikan matahari ini berukuran kira-kira 2.5 meter panjang dan berat beberapa ratus kilogram. Foto Linette Grzelak.

Steven Jones (kanan) bersama rakannya, Hunter bergambar bersama bangkai ikan matahari yang ditemui mereka. - Foto Linette Grzelak.

Ikan mola mola atau ikan matahari merupakan salah satu ikan purba yang masih hidup. Foto Getty Imeges.

Jumaat, 2 September 2022

Antelop terbesar di dunia tiba-tiba bertindak ganas menanduk pekerja zoo sehingga mati

Antelop terbesar di dunia tiba-tiba bertindak ganas menanduk pekerja zoo sehingga mati

Gambar hiasan. - Foto Zoopraha.

Seorang pekerja taman hiburan di Sweden terbunuh akibat diserang seekor antelop terbesar di dunia ketika membawanya ke kandang, lapor akhbar Daily Star pada 30 Ogos 2022.


Pekerja itu ditanduk selepas waktu penutupan di Oland Animal and Entertainment Park hujung minggu lalu. Rakan sekerjanya, Richard Berglund berkata, dia sedang membantu mangsa sebelum antelop itu tiba-tiba bertindak ganas.


Menurut Richard, mereka membawa haiwan itu ke dalam kandang apabila rakannya diserang dan ditanduk.


"Saya menyaksikan kejadian yang melibatkan seekor eland ketika membantu mangsa membawa haiwan itu ke dalam kandang selepas taman itu ditutup," kata Berglund memberitahu pemberita.


Pihak berkuasa memaklumkan bahawa kejadian itu disiasat sebagai 'kes kemalangan di tempat kerja' mengikut prosedur operasi standard.


Pemilik taman haiwan yang terletak di pulau Oland di barat daya, mengesahkan pekerja itu disahkan meninggal dunia pada Ahad (28 Ogos 2022).


Tidak diketahui dengan tepat apa yang berlaku di dalam kandang itu. Identiti dan kerakyatan mangsa masih belum didedahkan buat masa ini, lapor akhbar The Sun.


Terdapat dua spesies eland, kedua-duanya berasal dari Afrika Selatan, dengan varieti gergasi disenaraikan sebagai spesies antelop terbesar di dunia.


Tidak jelas sama ada haiwan yang membunuh lelaki itu di taman di Sweden adalah eland gergasi, atau spesies eland biasa yang lebih kecil, yang masih boleh mencapai ketinggian hampir 6 kaki di bahu dan berat lebih 2,000 paun.


Menurut laman web taman itu, kemudahan itu kini ditutup untuk musim ini. - Sumber Daily Star.


Mangsa ditanduk antelop selepas taman itu ditutup. - Foto Getty/iStockphoto.

Selasa, 30 Ogos 2022

Lelaki bertindak ceroboh kurungan singa di Ghana maut dibaham

Lelaki bertindak ceroboh kurungan singa di Ghana maut dibaham

Gambar hiasan.

Tindakan seorang lelaki yang memanjat pagar untuk memasuki kurungan singa di sebuah zoo di Ghana menyaksikan dia maut dibaham haiwan buas itu, lapor NDTV pada 29 Ogos 2022.


Menurut kenyataan Suruhanjaya Perhutanan Ghana, lelaki berkenaan diserang selepas dia melompat melepasi pagar keselamatan di zoo yang terletak di ibu negara Ghana itu.


"Penceroboh terbabit cedera diserang oleh seekor singa betina yang ditempatkan di kurungan, di dalam kawasan berpagar, bagaimanapun mangsa kemudian maut akibat kecederaannya," katanya.


Ketika kejadian, singa betina yang menyerangnya itu sedang menjaga dua ekor anaknya dan disahkan masih berada dalam kurungan di Zoo Accra.


"Kami sedang menyiasat kes itu untuk mengetahui bagaimana lelaki itu masuk ke kawasan larangan," kata jurucakap polis memberitahu AFP.


Penjaga zoo berjaya memujuk singa, betina dan dua ekor anak mereka ke dalam kurungan supaya pegawai polis dapat mengambil mayat lelaki itu dan membawanya ke hospital.


Susulan kejadian itu, Suruhanjaya Perhutanan berkata pegawai telah melawat zoo itu untuk memastikan semua kemudahan kekal selamat. Suruhanjaya itu menambah bahawa tiada singa melarikan diri dari Zoo Accra.


Zoo Accra bermula sebagai zoo peribadi milik Presiden pertama Ghana, Kwame Nkrumah, pada awal 1960-an sebelum dibuka kepada umum selepas beliau digulingkan pada 1966. - Sumber NDTV.


BACA: Lelaki Maut Dipatuk Tedung Peliharaan Sendiri Ketika Memandikan Haiwan itu.


Lelaki itu dipercayai telah memecah masuk ke dalam kandang singa itu dalam usaha untuk mencuri seekor anak singa, lapor Joy Online.

Khamis, 25 Ogos 2022

Ikan 'zombi' hilang sebahagian besar badan masih hidup serta mempunyai kecederaan yang mengerikan

Ikan 'zombi' hilang sebahagian besar badan masih hidup serta mempunyai kecederaan yang mengerikan


Satu rakaman video memaparkan detik luar biasa seekor ikan 'zombi' terus berenang di dalam air walaupun sebahagian besar badannya hilang, lapor akhbar The Sun pada 24 Ogos 2022.


Haiwan marin itu dirakam mempunyai kecederaan yang mengerikan sehingga mengejutkan penonton.


Video yang dikongsi di laman Reddit itu membuatkan pengguna bingung dengan mereka mempersoalkan bagaimana ikan itu masih terselamat daripada kecederaan tersebut.


"Saya tertanya-tanya berapa lama dia boleh bertahan? Maksud saya, semua organnya masih utuh," kata seorang pengguna.


"Bayangkan kesakitan yang ditanggung semasa membuat pergerakan untuk berenang. Saya berasa sangat sedih terhadapnya," komen pengguna lain.


Seorang lagi pengguna menulis dalam komen, yang mendakwa sebagai saintis berkata, saraf tunjang tidak berjalan di sepanjang permukaan perut seperti salmon atau yang serupa, tetapi di tengah.


"Jisim simetri tisu lemak dan otot yang tidak mengawal sebarang pergerakan sebenar dan bervaskular minimum wujud pada satah ventral, memberikan penampan untuk gigitan ventral untuk tidak membawa maut.


"Dan sementara mereka mempunyai banyak kapasiti untuk merasakan dan mengenali kesakitan, pengedaran saraf dalam jisim perut adalah minimum," katanya.


Menurut sebuah organisasi hak asasi binatang yang berpusat di Amerika Syarikat, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA), pakar neurobiologi telah lama menyedari bahawa ikan mempunyai sistem saraf yang memahami dan bertindak balas terhadap kesakitan.


"Sesetengah makhluk laut juga mempunyai keupayaan untuk menumbuhkan kembali bahagian badan, manakala bukti menunjukkan prospek kelangsungan hidup ikan tersebut adalah tipis," kata PETA. - Sumber The Sun.


Pengguna Reddit bingung bagaimana ikan itu terselamat. - Foto Reddit.

Selasa, 23 Ogos 2022

Perhilitan selamatkan beruang matahari jantan cedera terkena jerat dawai

Perhilitan selamatkan beruang matahari jantan cedera terkena jerat dawai


Malang tidak berbau. Begitulah nasib dialami seekor beruang matahari selepas terkena jerat dawai di kawasan Ladang Escort Ulu Bernam di Hulu Selangor, pada Jumaat 19 Ogos 2022 lalu.


Beruang matahari itu atau nama saintifiknya, Herlactos malayanus bagaimanapun diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kira-kira jam 10 pagi.


Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerima aduan orang awam berhubung insiden tersebut dan bergegas ke lokasi bersama kakitangan Pusat Menyelamat Kebangsaan Sungkai Perak.



"Hasil pemeriksaan mendapati kaki kiri depan beruang jantan seberat 46 kilogram itu terkena jerat dawai berkenaan.


"Operasi menyelamat kemudian dijalankan kakitangan Perhilitan negeri dan Pusat Menyelamat Kebangsaan Sungkai, Perak," katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati haiwan liar itu tidak dapat bergerak akibat satu daripada kakinya terkena jerat dawai.


"Operasi menyelamat segera dilakukan dengan membuka dawai itu menggunakan peralatan khas. Pada masa sama, pemeriksaan Jabatan Veterinar mendapati beruang itu tidak mengalami kecederaan serius dan berada dalam keadaan baik," katanya.


Menurutnya, haiwan liar itu kemudian dilepaskan semula ke habitat hutan asal. - Sumber Berita Harian.


Keadaan kaki beruang matahari yang terkena jerat yang dipasang secara haram dekat kawasan Ladang Escort Ulu Bernam di Hulu Selangor, pada Jumaat lalu. - Foto Perhilitan.