Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan

Isnin, 11 Mac 2024

Akibat terdesak, dua wanita angkut mayat ke bank untuk keluarkan wang

Akibat terdesak, dua wanita angkut mayat ke bank untuk keluarkan wang


Dua wanita di Amerika Syarikat (AS) berdepan pertuduhan bagi kes kecurian pelik selepas didakwa membawa mayat lelaki ke bank untuk mengeluarkan AS$900 (kira-kira RM4,216) daripada akaun mangsa.


Menurut lapor New York Post pada 8 Mac 2024, Loreen Bea Feralo, 55, dan Karen Casbohm, 63, didakwa pada 4 Mac lalu kerana membawa mayat Douglas Layman, 80, ke laluan pandu masuk bank di bandar Ashtabula di Ohio.


Selepas mengeluarkan wang, wanita itu menurunkan mayat itu di bilik kecemasan di Pusat Perubatan Daerah Ashtabula.


Salah seorang wanita menghubungi hospital beberapa jam kemudian dan memberikan beberapa maklumat peribadi mengenai Layman sebelum pihak berkuasa mengenal pastinya, kata Ketua Polis Ashtabula Robert Stell pada 7 Mac, menurut Fox News.


Pegawai kemudian bercakap dengan dua wanita itu, yang mengatakan Layman sudah meninggal dunia di rumahnya di Ashtabula, pada hari kejadian.


Punca kematian Layman belum diketahui, dan pegawai memaklumkan bedah siasat untuk menentukan kematiannya mungkin mengambil masa lapan bulan.


Suspek dipercayai tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Layman tetapi tinggal bersama lelaki itu.


Mereka dipercayai memindahkan mayat lelaki itu ke dalam kenderaan dengan bantuan individu ketiga yang tidak disebutkan namanya.


Ketua Stell berkata, mayat Layman diletakkan di tempat duduk hadapan kenderaan supaya kakitangan bank dapat melihatnya untuk membuat pengeluaran wang.


AP pula melaporkan bahawa wanita itu terdorong untuk melakukan perbuatan berkenaan kerana terdesak untuk membayar tunggakan bil.


Polis Ohio memaklumkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes itu. Kedua-dua wanita itu boleh berdepan hukuman penjara sehingga setahun bagi kesalahan itu.


Dalam pada itu, New York Post melaporkan Feralo dan Casbohm mempunyai rekod lampau kerana pernah disabitkan dengan kesalahan memiliki dadah, menceroboh dan mencuri. - Sumber New York Post


Loreen Bea Feralo (kiri) dan Karen Casbohm. - Foto Polis Ashtabula.

Ahad, 10 Mac 2024

9 maut, 78 lagi dimasukkan ke hospital selepas makan daging penyu

9 maut, 78 lagi dimasukkan ke hospital selepas makan daging penyu


Sembilan orang maut termasuk lapan kanak-kanak selepas makan daging penyu di Pulau Pemba di kepulauan Zanzibar iaitu wilayah separa autonomi di negara Afrika Timur Tanzania, lapor NBC News pada 9 Mac 2024.


Sebanyak 78 individu lain telah dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut, kata pihak berkuasa pada Sabtu.


Pegawai perubatan daerah Mkoani, Dr Bakari berkata, mangsa dewasa yang maut merupakan ibu kepada salah seorang kanak-kanak yang turut mati akibat chelonitoxism.


Bakari turut memberitahu, ujian makmal telah mengesahkan semua mangsa makan daging penyu pada Selasa lalu.


Daging penyu dianggap sebagai makanan eksotik di Zanzibar, namun ia boleh menyebabkan kematian jika dimakan selalu akibat chelonitoxism, sejenis keracunan makanan.


Justeru, pihak berkuasa di Zanzibar menghantar pasukan pengurusan bencana bagi menggesa orang ramai mengelak daripada makan daging penyu.


Pada November 2021, tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, meninggal dunia di Pemba selepas makan daging penyu, manakala tiga yang lain dimasukkan ke hospital. - Sumber NBC News.


Pulau Pemba, Kepulauan Zanzibar. - Foto Agensi.

Ahad, 25 Februari 2024

150 larva pepijat hidup dikeluarkan dari hidung lelaki

150 larva pepijat hidup dikeluarkan dari hidung lelaki


Seorang lelaki di Florida lega selepas dapat mengeluarkan 150 larva pepijat dari hidungnya, lapor portal Huff Post pada 20 Februari 2024.


Pesakit yang tidak dikenali itu pergi ke hospital, awal bulan ini, selepas menyedari bahawa seluruh mukanya terasa seperti terbakar, menurut laporan pada Jumaat lalu.


Walaupun lelaki itu mula mengalami gejala pada Oktober tahun lalu. Namun, hanya baru-baru ini, masalah itu menjadi serius.


"Selepas beberapa jam, muka saya mula bengkak, bibir saya membengkak, saya sukar bercakap. Saya tidak boleh bangun untuk ke bilik air dan hidung saya mula berdarah," katanya kepada media.


Lelaki itu melawat Hospital Memorial HCA Florida di Jacksonville dan mendapatkan rawatan daripada pakar telinga, hidung dan tekak, Dr David Carlson.


Carlson terkejut apabila dia melihat ke dalam hidung lelaki itu dengan kamera. Dia mendapati berpuluh-puluh pepijat memakan hidung dan rongga sinus. Malah, ada yang sebesar hujung jari kelingking.


"Saya tahu dia menghadapi masalah besar, terdapat hakisan yang berlaku berhampiran dasar tengkorak dalam jarak yang sangat dekat dengan mata dan otaknya," kata Carlson.


Pada mulanya, doktor cuba menggunakan teknik sedutan untuk mengeluarkan larva pepijat itu. Tetapi ia terlalu besar, jadi doktor terpaksa mengeluarkannya secara satu persatu dari hidung lelaki itu.


"Serangga betul-betul berada di 'pangkalan' tengkoraknya, betul-betul di bawah otak. Sekiranya ia melepasi bahagian ini, ia boleh membunuhnya," kata Carlson.


Larva pepijat itu dihantar kepada ahli epidemiologi untuk menentukan spesies mereka. Pesakit dijangka pulih sepenuhnya.


Masih misteri bagaimana pepijat itu masuk ke dalam hidung lelaki itu. Tetapi, dia memberitahu media First Coast News bahawa masalah itu mungkin berpunca daripada amalan kebersihan yang buruk ketika mengendalikan ikan mati. - Sumber Huff Post.


Imej yang dibesarkan menunjukkan pepijat yang dikeluarkan daripada hidung lelaki berkenaan. - Foto First Coast News.

Jumaat, 16 Februari 2024

Perlawanan bola keranjang tertangguh, pemain terperangkap dalam lif ketika menuju ke gelanggang

Perlawanan bola keranjang tertangguh, pemain terperangkap dalam lif ketika menuju ke gelanggang


Pasukan bola keranjang lelaki Universiti Fairleigh Dickinson (FDU) mengalami detik sukar menjelang perlawanan menentang pasukan dari Universiti Long Island (LIU) semalam.


Akhbar New York Post melaporkan, perlawanan antara Knights dan Sharks terpaksa ditangguhkan selepas beberapa pemain FDU terperangkap dalam lif di Pusat Kesihatan Steinberg, Brooklyn ketika keluar dari bilik persalinan menuju ke gelanggang.


Mereka terperangkap di dalam lif dan berada dalam kepanasan selama 15 minit sebelum diselamatkan.



Pembantu khas kepada pengarah olahraga FDU, Jordan Sarnoff memaklumkan bahawa lif itu tersangkut ketika kejadian.


Perlawanan terpaksa ditangguhkan selama kira-kira 17 minit sebelum kesemua pemain berjaya diselamatkan.


Kelewatan itu nampaknya tidak memberikan banyak kelebihan kepada Sharks, kerana FDU masih berjaya menewaskan LIU pada akhirnya, 84-82, dalam masa tambahan. - Sumber New York Post.


Pemain-pemain FDU terperangkap di dalam lif selamat 15 minit. - Foto X.

Ahad, 4 Februari 2024

Pukul ibu hingga mati kerana tidak sediakan sarapan

Pukul ibu hingga mati kerana tidak sediakan sarapan


Hanya kerana tidak menyediakan sarapan, seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di sebuah bandar di Karnataka Mulbagal, di New Delhi tergamak membunuh ibunya sendiri.


India Today pada 3 Februari melaporkan, kanak-kanak itu ditahan selepas menyerah diri di balai polis sejurus kejadian.


Kejadian berlaku pada Jumaat ketika kanak-kanak itu bersiap untuk ke sekolah.


Berdasarkan keterangan kepada polis, dia meminta ibunya menyediakan sarapan, namun wanita itu enggan selain memaklumkan kanak-kanak itu bukan anaknya.


Akibat marah, kanak-kanak itu memukul kepala ibunya dengan batang besi, menyebabkan wanita yang berusia 40 tahun itu mati.


Menurut polis, dia kemudian berjalan ke balai polis dan meminta seorang kakitangan kanan bercakap dengannya, dan memberitahu sudah membunuh ibunya.


Polis berkata bapa kanak-kanak itu adalah seorang petani dan telah keluar bekerja, sambil menambah bahawa kakaknya sedang belajar di luar negara. - Sumber India Today


Remaja itu memberitahu polis ketika pergaduhan semakin memuncak, dia memukul kepala ibunya dengan batang besi dan mangsa terjatuh. - Foto PTI.
Warga emas dihalau anak selepas serah hak milik rumah

Warga emas dihalau anak selepas serah hak milik rumah


Sepasang suami isteri di China diusir oleh anak lelaki mereka selepas menandatangani surat penyerahan hak milik rumah kepada cucu sendiri, lapor portal berita South China Morning Post pada 31 Januari 2024.


Jin, 86, menyesali keputusannya apabila terpaksa menyewa selepas dia dan isterinya, juga berusia lapan puluhan, dihalau oleh anak lelaki dan menantunya.


Mereka tinggal di sebuah rumah pangsa sejak tahun 1990-an. Kediaman itu diberikan oleh sebuah universiti tempat Jin bekerja. Rumah itu kini bernilai 1.05 juta yuan (RM698,454).


Beberapa tahun lalu ketika dia masih lemah selepas menjalani pembedahan, anak lelaki dan menantu Jin mula meminta dia menyerahkan rumah itu kepada anak lelaki mereka yang juga cucunya.


"Mereka sebenarnya tidak membayar satu sen pun. Hak milik rumah itu jatuh atas nama cucu saya," kata Jin.


Mimpi ngeri Jin bermula pada tahun lepas apabila anaknya memberitahu bahawa dia akan menjual rumah itu untuk membeli sebuah vila. Apabila Jin cuba menghalangnya, dia dimaki hamun oleh anaknya.


Pasangan warga emas yang tidak berdaya itu terpaksa tidur di atas lantai yang sejuk dan keras di luar rumah pangsa tersebut apabila mereka tidak dibenarkan masuk oleh anak lelaki dan menantunya.


"Cucu anda mengatakan ia adalah flatnya, jadi anda tidak mempunyai hak untuk menggunakannya," kata mereka.


Keadaan yang tertekan itu menyebabkan Jin rebah dan dibawa ke hospital. Apabila isterinya bertanya kepada anak lelaki mereka sama ada dia boleh berehat di flat itu, dia enggan membuka pintu.


Pasangan itu dilaporkan terpaksa tinggal menyewa sementara mendapatkan nasihat undang-undang untuk cuba mendapatkan rumah mereka semula. - Sumber South China Morning Post.


Pasangan itu kini terpaksa menyewa. - Foto Baidu.

Sabtu, 27 Januari 2024

Dibebaskan selepas 32 tahun atas jenayah yang tidak pernah dilakukan

Dibebaskan selepas 32 tahun atas jenayah yang tidak pernah dilakukan


Seorang penggembala di Itali telah dibebaskan dari penjara selepas menghabiskan lebih tiga dekad dipenjara atas tuduhan tiga pembunuhan di pulau Mediterranean Sardinia - jenayah yang tidak pernah dilakukannya.


Mahkamah rayuan membebaskan Beniamino Zuncheddu yang kini berusia 58 tahun daripada semua pertuduhan pada petang Jumaat di Rom.


Para hakim membatalkan hukuman penjara seumur hidup kerana Zuncheddu tidak pernah melakukan jenayah itu.


"Ini adalah penghujung mimpi ngeri," kata Zuncheddu selepas pembebasan.


Penggembala kambing itu didapati bersalah oleh mahkamah sebelum ini kerana membunuh tiga lelaki - pemilik ladang, anaknya dan seorang lagi penggembala di pergunungan Sardinia pada Januari 1991.


Ini berdasarkan keterangan seorang lelaki lain yang cedera serius dalam serangan itu.


Dia pada mulanya mendakwa tidak mengenali penyerang itu, tetapi kemudian menukar kenyataannya di bawah tekanan polis dan menuduh Zuncheddu. Dia kini telah kembali ke versi asalnya.


Pembebasan itu disambut dengan tepukan di bilik mahkamah oleh keluarga dan rakan gembalanya.


Zuncheddu menjalani hukuman penjara selama 32 tahun kerana sabitan yang salah dan akan menerima pampasan. - Sumber New Straits Times.


Beniamino Zuncheddu dibebaskan selepas dipenjara lebih 3 dekad atas jenayah yang tidak pernah dilakukan. - Foto Profimedia.