Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan

Selasa, 23 Januari 2024

Lelaki dijel 16 bulan selepas kongsi rakaman berlumba kereta

Lelaki dijel 16 bulan selepas kongsi rakaman berlumba kereta


Seorang lelaki di Britain dijatuhi hukuman penjara selepas berkongsi rakaman video di media sosial yang memaparkan dia berlumba kereta di jalan raya, lapor akhbar Daily Star pada 22 Januari 2024.


Umar Gul, 24, dihukum penjara 16 bulan selepas memuat naik sebuah klip video yang menunjukkan dia memandu pada kelajuan 241 kilometer sejam.


Video itu dirakam oleh seorang rakan Gul yang berada di tempat duduk belakang Mercedes C63 ketika kereta itu dipandu dua kali ganda melebihi had laju.


Sebuah kereta Audi RS3 berwarna merah turut terlibat dalam perlumbaan tersebut. Dua kereta itu dilihat memecut laju di jalan raya selepas melepasi lampu isyarat.


Selepas menerima aduan, satu dokumen bukti kes dikumpul oleh Unit Siasatan Data Kenderaan Polis Lancashire.


Selain rakaman tersebut, terdapat beberapa bukti lain yang menunjukkan bahawa Gul turut memandu kereta Nissan GTR dan BMW M135i secara berbahaya.


Gul kemudian mengaku bersalah atas lima pertuduhan memandu secara berbahaya dan dipenjarakan di Mahkamah Diraja Preston pada 11 Januari lalu.


Berikutan hukuman itu, PC Polis Lancashire, Simon Grounds berkata bahawa pasukannya berniat untuk mengejar pemandu yang menggunakan jalan raya secara berbahaya dan membahayakan nyawa orang lain.


"Umar Gul meletakkan dirinya dan orang lain dalam bahaya melalui pemanduannya yang berbahaya dan saya mengalu-alukan hukuman penjara ini," katanya. - Sumber Daily Star.


Dua kereta itu dirakam memecut melebihi had laju di jalan raya. - Polis Lancashire/ SWNS.

Selasa, 16 Januari 2024

Berang pesawat lewat, seorang penumpang lelaki tampar juruterbang

Berang pesawat lewat, seorang penumpang lelaki tampar juruterbang


Seorang penumpang syarikat penerbangan India, IndiGo Airlines, ditahan kerana menampar juruterbang selepas berang apabila pesawat itu lewat berlepas akibat cuaca buruk, lapor media India.


Menurut Hindustan Times, Insiden itu berlaku pada 14 Januari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi.


Pesawat itu, dijadualkan terbang dari Indira Gandhi ke Goa, lewat 13 jam kerana kabus tebal menyelubungi kawasan besar di bahagian utara India.


Lebih 100 penerbangan ditangguhkan di Delhi, pada 14 Januari lalu, tetapi ia kembali beroperasi pagi keesokannya.


Video dimuat naik oleh pengguna Instagram (IG) @EvgeniaBelskaia pada hari kejadian menunjukkan juruterbang membuat pengumuman apabila seorang penumpang memakai hoodie kuning meluru laju ke arahnya.


Penumpang itu menghayun tangannya dan menampar juruterbang, menyebabkan lelaki itu terjatuh ke belakang.


Dua pramugari kemudian bergegas untuk menghentikan tindakan penumpang daripada menyerang juruterbang, dengan seorang kedengaran berkata: "Tuan, kamu tidak boleh melakukan ini!"


Seorang lagi penumpang memakai hoodie biru kelihatan menahan penumpang yang berang, menenangkannya dan berjalan bersamanya.


Indian Express melaporkan bahawa penumpang terbabit telah ditahan selepas Syarikat Penerbangan IndiGo memfailkan aduan terhadapnya.


Menurut polis, siasatan dijalankan dan lelaki itu mungkin dihukum kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.


Sementara itu, IndiGo juga membentuk jawatankuasa dalaman untuk menangani insiden itu dan mungkin mempertimbangkan untuk meletakkan nama penumpang terbabit pada senarai larangan terbang.


Menurut laman web penerbangan Flightradar24, sekurang-kurangnya 168 penerbangan dijadualkan berlepas dari bandar tersebut ditangguhkan, manakala 56 yang lain dibatalkan pada pagi 15 Januari.


Selain perkhidmatan penerbangan, sekurang-kurangnya 18 kereta api ke bandar ini dari pelbagai kawasan di India juga tertangguh akibat kabus tebal. - Sumber The Straits Times.


Gambar tular menunjukkan insiden berkenaan. - Foto The Straits Times.

Ahad, 7 Januari 2024

Pintu tengah kabin tercabut di udara, pesawat buat pendaratan cemas

Pintu tengah kabin tercabut di udara, pesawat buat pendaratan cemas


Pesawat Alaska Airlines yang membawa 177 penumpang termasuk anak kapal terpaksa melakukan pendaratan cemas di Oregon, Amerika Syarikat (AS) pada petang Sabtu, 6 Januari 2024 (waktu tempatan).


Menurut syarikat penerbangan itu, ia selepas ada penumpang yang mengadu panel tingkap pesawat berkenaan tercabut selepas pesawat berlepas dari lapangan terbang.


Terdahulu, penerbangan 1282 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland sekitar jam 5 petang, sebelum ia mendarat semula dalam keadaan selamat.


Ia selepas anak kapal melaporkan pintu tengah kabin tercabut, yang mengakibatkan penyahmampatan pesat (tekanan) membabitkan pesawat berkenaan, demikian penjelasan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) di platform media sosial X.


Terdapat imej yang dikongsikan di media sosial memaparkan panel tingkap pesawat diterbangkan, dengan topeng oksigen kecemasan tergantung di siling pesawat itu.


Seorang penumpang, Kyle Rinker, ketika ditemubual CNN berkata tingkap pesawat itu tercabut tidak lama selepas berlepas.


Seorang lagi penumpang, Vi Nguyen, memberitahu The New York Times, dia terkejut mendengar bunyi kuat semasa penerbangan.


"Saya buka mata dan benda pertama saya lihat adalah topeng oksigen betul-betul di hadapan saya.


"Saya lihat kiri dan kanan, dinding sebelah pesawat telah hilang. Perkara pertama saya fikir ialah, saya akan mati," katanya.


Sehubungan itu, FAA dan syarikat Alaska Airlines memaklumkan mereka sedang menyiasat kejadian itu.


Menurut kenyataan Alaska Airlines, pesawat itu selamat mendarat kembali di Lapangan Terbang Antarabangsa Portland dengan 171 penumpang dan enam anak kapal.


"Walaupun kejadian ini jarang berlaku, namun kru penerbangan kami terlatih dan bersedia menguruskan keadaan dengan selamat," kata syarikat berkenaan.


Mengikut laman web pengesanan penerbangan FlightAware, pesawat Boeing 737 Max 9 itu berlepas pada 5.07 petang, menuju ke Ontario, California, sebelum terpaksa kembali semula ke lapangan terbang sama kira-kira 20 minit kemudian.


Menurut laman web pendaftaran FAA, pesawat itu disahkan layak terbang pada Oktober.


Menerusi catatan di platform X, syarikat Boeing berkata pihaknya sedang mengumpul lebih banyak maklumat, malah pasukan teknikalnya bersedia untuk membantu siasatan. - Sumber NBC News.


Bahagian panel tingkap pesawat yang tercabut. - Foto Reuters.

Jumaat, 29 Disember 2023

Gara-gara minta pinjam telefon bimbit, isteri tikam mata suaminya guna gunting

Gara-gara minta pinjam telefon bimbit, isteri tikam mata suaminya guna gunting


Seorang wanita di negeri Uttar Pradesh, India menikam mata suaminya dengan menggunakan gunting selepas mangsa meminta telefon bimbitnya untuk mendengar lagu.


Stesen penyiaran NDTV pada 29 Disember melaporkan, lelaki bernama Ankit itu membuat laporan polis terhadap isterinya, Priyanka berhubung insiden tersebut baru-baru ini.


Menurut polis, Ankit pada awalnya meminta telefon bimbit Priyanka untuk mendengar lagu dalam aplikasi YouTube.


Wanita itu bagaimanapun enggan menyerahkan telefonnya. Dia sebaliknya menyuruh Ankit menggunakan telefon bimbit sendiri. 


Terdapat pertengkaran antara kedua-duanya mengenai perkara ini, selepas itu Priyanka didakwa menikam mata Ankit.


Keluarga Ankit kemudian menghantarnya ke sebuah pusat kesihatan komuniti berdekatan. Polis memaklumkan bahawa pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut. - Sumber NDTV.


Ankit cedera pada matanya selepas ditikam Priyanka. - Foto NDTV.

Rabu, 27 Disember 2023

Isteri kerat zakar suami 'pam' dalam mangkuk tandas

Isteri kerat zakar suami 'pam' dalam mangkuk tandas


Seorang wanita di Brazil mengerat zakar suaminya dan mengepam organ tersebut ke dalam mangkuk tandas, lapor portal berita Daily Mail pada 26 Disember 2023.


Dia berbuat demikian selepas mendapat tahu si suami telah meniduri anak saudara perempuannya yang berusia 15 tahun.


Wanita berusia 34 tahun itu kemudian pergi ke balai polis untuk melaporkan kejadian tersebut dan mengaku perbuatannya pada 22 Disember lalu.


Menurut suspek, dia mengumpan mangsa dengan mengikatnya pada katil sebelum menggunakan pisau cukur untuk mengerat kemaluan lelaki tersebut.


Selepas merakam gambar organ yang putus itu, suspek mengepamnya ke dalam mangkuk tandas.


Dalam pengakuannya kepada polis, suspek berkata, dia bertindak demikian kerana tahu amat sukar untuk menyambung semula zakar yang telah putus.


"Selamat petang tuan. Saya mahu memperkenalkan diri kerana saya baru sahaja mengerat zakar suami," katanya kepada pegawai bertugas di balai polis.


Wanita tersebut kini ditahan dan didakwa atas kesalahan cubaan membunuh.


Sementara itu, mangsa yang berusia 39 tahun ditemui masih hidup dan dibawa ke hospital. Keadaannya bagaimanapun tidak dijelaskan.


Siasatan sedang dijalankan dan polis tidak mengulas mengenai dakwaan wanita itu bahawa suaminya melakukan hubungan seks dengan anak saudaranya. - Sumber Daily Mail.


Wanita itu memberitahu pegawai di Atibaia, dekat Sao Paulo, di Brazil (gambar) bahawa dia memotong kemaluan suaminya selepas mengetahui dia telah tidur dengan anak saudaranya. - Foto News Flash.

Selasa, 19 Disember 2023

Kereta perompak dicuri semasa mereka melakukan rompakan

Kereta perompak dicuri semasa mereka melakukan rompakan


Tiga penjenayah bersenjatakan pistol yang merompak sebuah premis tunai cek diberkas polis akibat gagal melarikan diri selepas kereta digunakan mereka dilarikan pencuri, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) pada 18 Disember 2023.


Polis Bandar Commerce, Colorado dalam satu kenyataan berkata, kejadian pada Sabtu lalu itu berlaku apabila tiga perompak bersenjata dan bertopeng cuba merompak perniagaan Tunai Cek Hi Lo.


"Ketika mereka sedang melakukan rompakan, seorang penjenayah lain mencuri kenderaan mereka di luar premis.


"Namun, sebelum sempat kumpulan perompak itu melarikan diri tanpa kenderaan, polis tiba di lokasi kejadian dan menahan kesemua mereka," kata polis.


Menurut berita tempatan, mereka dipercayai berusia bawah 18 tahun. Tiada kemalangan jiwa dalam insiden itu, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan.


Menurut data FBI terkini, kecurian kereta semakin meningkat di AS, meningkat hampir 11% pada 2022. Sementara itu, kedai tunai cek, yang mempunyai ratusan dolar wang tunai sering menjadi sasaran rompakan. - Sumber BBC News.

 

Polis tiba di lokasi kejadian ketika kumpulan perompak belum sempat melarikan diri. - Foto Jabatan Polis Bandar Commerce.

Rabu, 6 Disember 2023

Penyepit makanan ditemukan dalam kepala hanya selepas lima bulan tersekat di situ

Penyepit makanan ditemukan dalam kepala hanya selepas lima bulan tersekat di situ


Seorang lelaki di Vietnam terkejut selepas doktor menemukan penyepit makanan yang patah di kepalanya, hanya selepas lima bulan alat itu tersekat di situ, lapor akhbar Metro UK, minggu lepas.


Lelaki yang tidak disebutkan namanya dari Vietnam itu dikejarkan ke bilik kecemasan di hospital selepas mengalami sakit kepala yang teruk, keluar cecair dan hilang penglihatan.


Lelaki berusia 35 tahun itu ditanya oleh doktor jika dia mempunyai sebarang petunjuk mengenai apa yang mungkin menyebabkan gejalanya itu, tetapi dia buntu.


Kakitangan di Hospital Persahabatan Cuba di bandar Dong Hoi, wilayah Quang Binh, menjalankan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) untuk mengetahui punca masalah itu.


Mereka mendapati dia mengalami ketegangan pneumocephalus - keadaan yang tidak mengancam nyawa, biasanya disebabkan oleh trauma pada kepala.


Bagaimanapun, pakar perubatan juga menemukan penyepit patah yang menembusi tengkoraknya dari hidung, ketika pemeriksaan pada 24 November lalu.


Keluarga percaya penyepit itu pasti masuk ke hidung lelaki terbabit ketika dia terbabit dalam pergaduhan kira-kira lima bulan lalu.


Dia cedera dan dibawa ke hospital ketika itu tetapi penyepit tidak ditemukan dan tiada keabnormalan pada hidungnya dilaporkan.


Pesakit itu mengatakan dia tidak ingat dengan tepat apa yang berlaku dalam pergaduhan walaupun ada sesuatu 'menikam' wajahnya.


Kini, dia percaya lelaki yang menyerangnya pasti memasukkan penyepit ke dalam hidungnya.


Selepas konsultasi, doktor melakukan pembedahan endoskopik melalui hidung untuk mengeluarkan penyepit makanan itu.


Dia dilaporkan masih berada di hospital, namun dalam keadaan stabil ketika menjalani rawatan pemulihan.


Ketua Jabatan Pembedahan Saraf, Dr Nguyen Van Man berkata, ia adalah kes yang 'sangat jarang berlaku'. - Sumber Metro UK.


Doktor menemukan penyepit makanan yang patah di kepala seorang lelaki di Hanoi. - Foto Vietnam Cuba Hospital.