Memaparkan catatan dengan label Fenomena. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fenomena. Papar semua catatan

Khamis, 25 November 2021

Hujan Batu Dan Salji Turun Lagi Di Arab Saudi

Hujan Batu Dan Salji Turun Lagi Di Arab Saudi


Bahagian utara Arab Saudi dilitupi lapisan hujan batu dan salji halus sejak Ahad lalu ketika suhu menjunam kepada kira-kira 7 Celcius. Beberapa imej yang tersebar di media sosial menunjukkan salji meliputi bandar Quraiyat yang terletak di Wilayah Al Jawf, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Jordan.


Pusat Meteorologi Kebangsaan Saudi berkata, ribut petir disertai angin kencang dan hujan batu akan turun merentasi Al-Jawf, sempadan utara dan Tabuk serta kawasan pantai di wilayah Madinah, lapor Arab News pada 22 November 2021.


Memetik laporan The National News pada 9 November 2021 pula, Al Shafa, sebuah kawasan di bahagian barat turut dilanda salji dan hujan batu yang lebat sehingga menutupi pergunungan Dhaka dan jalan raya di situ.


Pun begitu, cuaca sejuk, hujan renyai dan hujan ais dengan salji di beberapa kawasan di Arab Saudi itu bagaimanapun memberi kegembiraan untuk mereka yang jarang melihatnya.


Orang ramai mengambil kesempatan memuat naik gambar dan video hujan ais di padang pasir, di laman sosial, bagi berkongsi kegembiraan serta mengalukan cuaca musim sejuk.



Mereka juga sanggup memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk mandi hujan selain menadah hujan dan hujan ais di tangan mereka.


"Ia adalah satu kejutan yang menyenangkan. Kami memandu ke wilayah timur dari Riyadh untuk hujung minggu dan dalam perjalanan pulang, hujan tiba-tiba turun.


"Kami mengalami tempoh musim panas yang panjang dan kini akhirnya diberi nikmat musim sejuk. Saya merancang untuk pergi ke London, tetapi tidak perlu lagi. Kami mempunyai cuaca hebat di sini," kata Tala Hamdan, rakyat Arab Saudi.


Pusat Meteorologi Negara melaporkan suhu dijangka menurun di seluruh negara pada minggu akan datang berikutan cuaca buruk dan hujan berpanjangan. Pusat itu juga meramalkan hujan untuk semua kawasan di seluruh negara.


"Berikutan hujan yang melanda kawasan pesisir minggu lalu, angin sejuk dan hujan akan merebak ke kawasan utara dan timur negara, serta Riyadh dan Qassim," kata pusat berkenaan.


Walaupun Arab Saudi, dikenali sebagai negara berpadang pasir yang sentiasa berada dalam keadaan cuaca panas, beberapa kawasan di negara ini sememangnya tidak terkecuali dari dilanda cuaca sejuk dan salji setiap tahun.


Tangkap Layar video menunjukkan salji di beberapa kawasan di Arab Saudi.
Angkasawan rakam imej menakjubkan letusan suria ketika ia mengeluarkan ledakan terbesar

Angkasawan rakam imej menakjubkan letusan suria ketika ia mengeluarkan ledakan terbesar


Seorang angkasawan dari Agensi Angkasa Lepas Eropah berjaya merakam imej letusan suria yang menerangi bahagian utara Bumi, lapor akhbar Daily Star pada 9 November 2021.


Thomas Pesquet yang berkongsikan imej itu di akaun Twitter miliknya berkata, letusan suria tersebut sedang mengeluarkan ledakan terbesarnya ketika rakaman diambil.


"Kami 'dipersembahkan' dengan ledakan terkuat yang ditemui sepanjang melakukan misi di Amerika Utara dan Kanada.


"Ledakan yang menakjubkan itu lebih tinggi dari orbit kami. Kami terbang tepat di atas pusat jajaran, dengan gelombang pantas dan kuat berlaku di sekitarnya," tulis Pesquet di Twitternya.



Penemuan itu dirakam hanya beberapa minggu selepas kejadian letusan suria besar meletus dari Matahari dalam salah satu ribut suria paling kuat pernah direkodkan.


Matahari melepaskan letusan yang paling berkuasa, iaitu suar suria kelas X1 yang memuncak pada 11.35 malam (waktu tempatan), 28 Oktober lepas. Suar suria ialah letusan sinaran besar-besaran dari matahari yang menghantar zarah bercas mengalir keluar dari bintang.


Pakar mengklasifikasikannya dalam sistem huruf, dengan ribut kelas C agak lemah, kelas M lebih sederhana dan suar kelas X antara yang paling kuat. Kelas X menandakan suar paling sengit, manakala nombor itu memberikan lebih banyak maklumat tentang kekuatannya.


"X2 adalah dua kali lebih sengit daripada X1, X3 adalah tiga kali lebih sengit dan seterusnya. Suar yang dikelaskan X10 atau lebih kuat dianggap luar biasa sengit," kata NASA dalam satu kenyataan.


Suar solar terbesar pernah dirakamkan NASA. - Foto Thomas Pesquet/NASA.

Khamis, 11 November 2021

Gerhana Bulan Paling Lama Abad Ini Dijangka Berlaku 19 November

Gerhana Bulan Paling Lama Abad Ini Dijangka Berlaku 19 November


Gerhana bulan separa yang dijangka berlaku pada 19 November ini bakal menjadi gerhana bulan paling lama dalam abad ini. Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena ini yang dijangka berlaku pada petang Jumaat minggu depan.


Menurut Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA), gerhana bulan itu akan berlaku selama 3 jam dan 28 minit. Pada 2018, gerhana bulan penuh berlaku selama satu jam 42 minit dan 57 saat.


Kebiasaannya, gerhana akan berlangsung kurang dari dua jam, maka fenomena alam yang bakal berlaku pada tengah November ini disifatkan gerhana bulan paling lama.


Gerhana bulan ini juga dikenali dengan nama 'frost moon atau beaver moon'. Ini bermaksud, gerhana bulan kali ini akan menjadi 'blood moon' separa dengan warna kemerahan dapat dilihat pada permukaan bulan.


Blood moon adalah gelaran diberikan untuk fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku ketika posisi Bumi terletak tepat antara matahari dan bulan sehingga bayang Bumi menutupi bulan.


"Fenomena gerhana bulan ini boleh dilihat dengan jelas tanpa binokular atau teleskop di beberapa kawasan di seluruh dunia namun ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar di Malaysia," kata Planetarium Negara menerusi laman Twitter rasmi mereka.


NASA turut menjangkakan sebanyak 179 fenomena gerhana akan terjadi dalam tempoh lapan dekad ini dan secara purata, gerhana mungkin terjadi dua kali dalam setahun.


Pada 19 November ini, dianggarkan hampir 97 peratus bulan akan terlindung dari Bumi. Peristiwa gerhana seterusnya dijangka akan berlaku pada 16 Mei tahun hadapan. 

Sabtu, 16 Oktober 2021

Fenomena Unik, Gurun Tandus Di Chile Berubah Menjadi Taman Bunga

Fenomena Unik, Gurun Tandus Di Chile Berubah Menjadi Taman Bunga


Gurun Atacama di Chile kelihatan berwarna-warni minggu ini, selepas bunga liar tumbuh mekar di padang tandus, lapor laman berita CNN Indonesia pada 15 Oktober 2021.


Pemandangan unik itu membuatkan pemerintah setempat merancang untuk membangunkan sistem pengairan yang akan membuatkan panorama khas musim bunga di sana menjadi lebih kerap.


Mekarnya bunga di gurun itu adalah fenomena alam yang terjadi setiap lima hingga tujuh tahun sekali dengan hamparan pasir kering berganti menjadi hamparan kebun bunga berwarna ungu muda.


Projek sistem pengairan buatan yang dicadangkan oleh Kementerian Pertanian Atacama bertujuan menghasilkan bunga lebih kerap, iaitu sepanjang Ogos hingga September setiap tahun.



"Kami akan memasang projek pengairan di beberapa daerah di wilayah Gurun Atacama," kata perwakilan presiden untuk Wilayah Atacama Patricio Urquieta, dipetik laporan laman berita Reuters pada Rabu lalu.


Namun begitu, penduduk, pemerhati setempat dan pihak berkuasa seperti Gabenor Atacama, Miguel Vargas bimbang bunga liar yang mekar di kawasan gurun mungkin memiliki kesan negatif.


"Kami tidak setuju dengan idea ini. Kami akan melihat apakah alasan saintifik pengumuman itu yang akan mengganggu fenomena semula jadi seperti bunga mekar secara tiruan," katanya.


Atacama dikenali dengan daya tarikan kepada pelancong seperti taman negara, pantai dan pemandangan pergunungan.


Jumaat, 24 September 2021

Tasik Kelima Terbesar Di Turki Kini Kering Kontang, Ratusan Nelayan Hilang Pendapatan

Tasik Kelima Terbesar Di Turki Kini Kering Kontang, Ratusan Nelayan Hilang Pendapatan


ANKARA - Sebuah tasik di wilayah Konya, Turki yang merupakan sumber air semula jadi dan kelima terbesar di negara ini, kini kering kontang akibat pemanasan global dan penurunan kekerapan hujan sepanjang tahun ini.


Menurut laporan portal Hurriyet Daily News pada 6 September 2021, Tasik Aksehir yang seluas 54 kilometer persegi dan pernah mempunyai kedalaman air sehingga lima meter kini seperti padang jarak padang tekukur apabila sumber airnya mengering.


Bercakap kepada Agensi Berita Demiroren (DHA), ahli akademik Universiti Teknikal Konya, Tahir Nalbantcilar, memaklumkan terdapat lapisan tanah yang retak di tengah-tengah tasik itu. Dasar tasik menjadi begitu kering sehingga kende­raan boleh dipandu di atas permukaannya.


Tahir mengatakan salah satu faktor utama pengeringan tasik itu adalah disebabkan pemanasan global. Namun begitu, terdapat juga kepincangan sistem penggunaan air bagi sektor pertanian di kawasan sekitar yang menyumbang kepada kejadian ini.


"Beberapa kolam air buatan manusia yang diwujudkan untuk tujuan pengairan ke tanah-tanah pertanian milik penduduk dengan benteng yang dibina di tebing sungai telah menyekat sumber air yang mengalir ke tasik ini.


"Sekiranya kerajaan tidak mengubah sistem penggunaan air semasa, mungkin kita perlu mengucapkan selamat tinggal kepada tasik itu buat selama-lamanya," ujarnya.


Menurut Nalbantcilar, tasik itu pernah berdepan musim kemarau pada masa lalu ketika ia berisiko menjadi kering namun sentiasa dapat dipulihkan. Tetapi kali ini katanya, kita dapat melihat kesan perubahan iklim dan pemanasan global di Tasik Aksehir.


"Hari ini, kita dapat melihat situasi menyedihkan yang mana anda boleh berjalan di atas dasar tasik yang pernah menjadi bahagian tasik paling dalam. Keadaan itu menyebabkan ratusan nelayan hilang pendapatan dan hanya beberapa haiwan meragut tumbuhan kecil di bahagian tertentu di dasar tasik," katanya kepada DHA.


Keadaan Tasik Aksehir yang kering akibat pemanasan global. - Foto Hurriyet Daily News.

Seorang penduduk memandu kereta di dasar Tasik Aksehir yang kering sepenuhnya. - Foto DHA.

Isnin, 6 September 2021

Planet Musytari Dapat Dilihat Dengan Mata Kasar Sehingga Akhir Tahun Ini

Planet Musytari Dapat Dilihat Dengan Mata Kasar Sehingga Akhir Tahun Ini


Penduduk Malaysia berpeluang melihat planet Musytari di langit pada waktu malam menggunakan mata kasar selain menggunakan binokular dan teleskop dengan menghadap ke arah ufuk sebelah timur hingga hujung tahun ini.


Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam satu kenyataan dalam akaun sosial rasmi Facebook berkata, planet terbesar dari sistem solar itu akan kelihatan di langit pada waktu malam sepanjang bulan Ogos hingga Disember ini sekiranya tiada awan atau hujan.


"Musytari berada di buruj Aquarius mulai Ogos ini dan menjejak sedikit demi sedikit ke arah barat sepanjang bulan dengan merentas di sempadan buruj Aquarius hingga Capricornus.


"Musytari akan kelihatan sepanjang malam di sekitar buruj Capricornus dengan diameter ketara Musytari adalah sebanyak 49 saat arka," katanya kenyataan tersebut baru-baru ini.


MySA menambah, lokaliti buruj itu sekitar hemisfera selatan bumi yang berhampiran zodiak Sagittarius dan Pegasus dengan bintang tercerahnya terdiri daripada bintang magnitud ketiga.


Permukaan Musytari jelasnya, dapat disaksikan begitu terang dan cerah dengan ciri luaran yang menonjol iaitu Great Red Spot akibat kesan pantulan daripada sinaran penuh matahari.


Dianggap sebagai planet terbesar dalam galaksi Bima Sakti dan planet kelima dari matahari di sistem suria, ia memiliki sejumlah 80 bulan yang berputar sebagai objek satelit semula jadi.


Gugusan itu membentuk sistem Jovian malah empat daripadanya bersaiz besar dapat dilihat jelas dengan teleskop iaitu Io, Europa, Ganymede dan Callisto yang digelar Galilean Moons.


Suasana malam di bandar raya Georgetown apabila planet Musytari dapat dilihat jelas di langit menerangi seluruh Pulau Pinang dan Seberang Perai. - Foto Yi Choong (Gambar ini dikongsi Utusan Malaysia pada 25 Ogos 2021).

Gambar ini dikongsi oleh Tun Farul Azri di akaun Facebooknya dan mengatakan gambar dirakam pada 28 Ogos 2021 berlokasi di Kuala Lumpur. - Foto Tun Farul Azri.


Kelihatan dua planet berdekatan dengan Bulan iaitu planet Musytari dan Zuhal, semasa fenomena 'halo bulan' pada 21 Ogos 2021 di Kota Kinabalu. - Foto Dark Sky Ranger/M. Luqmanul Hakim.

Penampakan Planet Musytari di buruj Capriconus pada pukul 8 malam 20 Ogos lalu. - Foto MYSA.

Khamis, 26 Ogos 2021

Hujan Di Puncak Greenland Petanda Kurang Baik, Bandar-Bandar Pinggir Pantai Akan Tenggelam

Hujan Di Puncak Greenland Petanda Kurang Baik, Bandar-Bandar Pinggir Pantai Akan Tenggelam


Sebilangan saintis meyuarakan kebimbangan terhadap fenomena hujan di puncak tertinggi litupan ais di Greenland, kerana mencetuskan petanda lapisan ais mencair pada kadar yang pantas. Perkara itu didedahkan oleh sekumpulan saintis pada Jumaat (20/8/2021), lapor Reuters.


Lapisan ais kedua terbesar dunia selepas Antartika itu mengalami hujan selama beberapa jam pada 14 Ogos lepas, di puncak tertingginya setinggi 3,216 meter. Kejadian itu dijangka terus berlaku, seiring peningkatan suhu global.


Secara keseluruhan, sebanyak tujuh bilion tan hujan turun di seluruh Greenland bagi tempoh tiga hari bermula dari 14 Ogos lepas, yang merupakan rekod tertinggi dicatatkan sejak 1950.



Pakar glasiologi Pemantauan Bumi Lamont-Doherty dari Universiti Columbia, Indrani Das berkata, ia bukan satu petanda yang baik untuk lapisan ais. Air pada permukaan ais adalah tidak bagus, kerana menjadikan lapisan ais lebih terdedah terhadap pencairan permukaan.


Bukan sahaja air lebih hangat berbanding salji, ia juga kelihatan lebih gelap, maka ia menyerap lebih banyak cahaya matahari berbanding memantulkannya kembali. Kesan ais yang mencair itu akan mengalir ke laut, seterusnya mengakibatkan paras air laut meningkat.


Sementara itu, menurut laporan laman berita The Guardian, paras laut global boleh meningkat sebanyak kira-kira enam meter sekiranya semua ais di Greenland cair, meskipun proses itu akan mengambil masa selama beratus-ratus tahun untuk berlaku.


Keadaan itu boleh menenggelamkan bandar-bandar pinggir pantai seperti Mumbai, New York dan Amsterdam. Sejak tahun 1994, beberapa trilion tan ais telah hilang dari Greenland sekali gus meningkatkan paras laut. 


Pada Julai lalu, pencairan ais besar di Greenland sudah cukup untuk meningkatkan paras air seluruh negeri Florida sehingga 5 sentimeter. Baca juga: Lapisan Ais Greenland Mencair Kira-Kira 8 Bilion Tan Sehari Kesan Gelombang Panas.


Kesan ais yang mencair itu akan mengalir ke laut, seterusnya mengakibatkan paras air laut meningkat. - Foto Reuters.

Ais yang mencair mengalir di sepanjang lapisan ais Greenland pada tahun 2007. - Foto CNN.