Memaparkan catatan dengan label Fakta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fakta. Papar semua catatan

Ahad, 18 April 2021

Nostalgia 'Feri Malaysia 1986' Pengangkutan Awam Menghubungkan Semenanjung Dan Borneo

Nostalgia 'Feri Malaysia 1986' Pengangkutan Awam Menghubungkan Semenanjung Dan Borneo


Generasi muda mungkin tak tahu bahawa pada pertengahan tahun 1980-an, terdapat perkhidmatan feri di antara Sabah/Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang dikenali sebagai Feri Malaysia. Bagi yang pernah menaiki perkhidmatan ini pasti meninggalkan banyak nostalgia dan kenangan suka duka yang masih diingati.


Feri Malaysia ialah jenama sebuah kapal penumpang yang pernah wujud di Malaysia. Nama kapal tersebut yang didaftarkan secara rasmi di Pelabuhan Klang, Selangor pada tahun 1986, ialah Cruise Muhibah. Perjalanan feri ini bermula di pelabuhan Kuantan (Pahang) dan akan ke Kuching (Sarawak) dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu (Sabah).


Feri sepanjang 134 meter ini mempunyai 7 lantai deck. Ianya boleh memuatkan sehingga 700 orang dan boleh membawa 100 buah kereta sekaligus. Jangkamasa perjalanan adalah selama dua hari dengan melalui sektor perjalanan Kuantan - Kota Kinabalu.


Dibeli daripada Helsinki, Finland dengan harga RM50 juta. Idea ni datang dari Tun Mahathir yang mendapat inspirasi daripada kejayaan perkhidmatan feri di negeri Scandinavia iaitu antara Finland, Norway dan juga Denmark. Matlamatnya ialah supaya wujud satu khidmat pengangkutan alternatif bagi merapatkan hubungan antara penduduk Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.



Feri Malaysia yang berasal dari Helsinki, Finland, berjaya disiapkan pada 1986. Ia belayar selama sebulan dari Finland sebelum tiba di Pelabuhan Klang pada 6 Ogos 1986. Sultan Pahang kemudian membuat pelancaran rasmi khidmat Feri Malaysia pada 31 Ogos 1986 di Pelabuhan Kuantan, Pahang.


Ia merupakan sebuah feri persiaran yang pertama dan terbesar milik kerajaan Malaysia. Dengan beratnya 7,900 tan, mampu untuk berlayar selaju 19 batu nautika. Dilengkapi kemudahan seperti restoran, kafeteria, kolam renang, bar, disko, bilik mesyuarat, kabin, surau dan lain-lain.


Pada 18 Oktober 1987, perkhidmatan feri Malaysia ini telah mengalami kebakaran pada ruang enjin utama iaitu pada jam 2.45 petang yang mana pada ketika itu ia hampir mendekati destinasi Kuantan. Lokasinya adalah kira-kira 5 kilometer dari Pulau Tioman, Pahang.


Terdapat tiga ratus orang penumpang dan empat puluh buah kenderaan yang terdapat didalamnya pada ketika itu. Namun, kesemua penumpang telah berjaya diselamatkan oleh dua buah kapal muatan kargo dan membawa semua penumpang ke Pelabuhan Kuantan pada hari yang sama.


Setelah kebakaran berjaya dipadamkan akhirnya Feri Malaysia terdampar di lautan Pahang buat seketika. Menurut laporan kemalangan seperti yang dinyatakan oleh akhbar NST, antara punca berlakunya insiden tersebut adalah kerana kapal asal yang dibeli dari Finland ini sudah pun terlalu lama dan berusia 16 tahun.


Akhirnya, selepas tahun 1989, perkhidmatan Feri Malaysia ini tidak lagi beroperasi kerana dikatakan kos operasinya yang terlalu tinggi berbanding keuntungan yang mereka perolehi. Sumber: Orang KataArkib Negara



Isnin, 5 April 2021

Terusan terpanjang di dunia kutip tol berjuta sehari

Terusan terpanjang di dunia kutip tol berjuta sehari


Terusan Suez, yang terletak di Mesir, adalah antara terusan buatan manusia terpanjang di dunia menghubungkan Laut Mediterranean dengan Teluk Suez, cabang Laut Merah. Ia dibuka secara rasmi pada November 1869.


Kini, terusan Suez ini dimiliki Mesir yang mengendalikan sekitar 10 peratus perdagangan maritim antarabangsa. Ia merupakan salah satu laluan air tersibuk di dunia yang menyediakan penghubung penting untuk penghantaran minyak, gas asli dan kargo antara Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik.


Ketika dibuka lebih 150 tahun yang lalu, terusan itu sepanjang 164 kilometer (km) dan kedalaman lapan meter (26 kaki), tetapi setelah beberapa penambahbaikan sepanjang tahun, kini panjangnya ialah 193km dan kedalaman 24 meter (78 kaki).


Selama beratus tahun Terusan Suez telah menjadi salah satu daripada sumber pendapatan utama dalam mata wang asing untuk kerajaan Mesir. Secara purata, 50 kapal melalui Terusan Suez setiap hari.



Menurut Suez Canal Authority (SCA), hampir 19,000 kapal, dengan jumlah berat muatan kargo 1.17 juta tan melewati terusan pada tahun 2020. Ia merupakan satu rekod iaitu muatan kargo kedua tertinggi dalam sejarah terusan itu.


Bayaran tol yang dikenakan untuk melalui Terusan Suez bergantung kepada jenis dan saiz kapal selain berat kargo. Kebiasaannya bayaran tol boleh melebihi AS$100,000 (RM414,650).


Sebilangan besar minyak yang diangkut melalui laut melalui Terusan Suez yang merupakan persimpangan terpantas antara Lautan Atlantik dan Lautan Hindi tetapi menuntut tol yang besar.


Perjalanan antara pelabuhan di negara Teluk dan London, United Kingdom misalnya, dikurangkan kira-kira separuh dengan melalui Suez dibandingkan dengan laluan alternatif di sekitar hujung selatan Afrika.


Sebilangan besar kargo yang bergerak dari negara Teluk ke Eropah Barat adalah minyak. Barangan dan bijirin yang dihasilkan juga sering melalui terusan antara Eropah dan Amerika Utara dan Asia.



Ahad, 4 April 2021

Dalam perut bumi ada planet lain terkubur sejak 4.5 bilion tahun lalu

Dalam perut bumi ada planet lain terkubur sejak 4.5 bilion tahun lalu


Masih banyak misteri tentang alam yang belum dapat kita ketahui. Terbaru, saintis-saintis di Amerika Syarikat percaya serpihan planet asing dinamakan Theia terkubur di dalam perut Bumi selepas dua planet tersebut berlanggar 4.5 bilion tahun lalu.


Menurut lapor akhbar Daily Star, sebilangan saintis berpendapat impak sama di angkasa lepas telah membentuk Bulan. Bagaimanapun, mereka kini mengkaji serpihan akibat pelanggaran itu yang dipercayai tertanam di dalam kerak Bumi.


Pakar geologi Universiti Negeri Arizona, Qian Yuan berpendapat, tompok-tompok padat di dalam perut Bumi yang dianggap misteri merupakan serpihan Planet Theia yang masih terpasak kukuh di dalam bumi.


"Mantel planet Theia mungkin beberapa peratus lebih padat daripada mantel Bumi. Keadaan itu mengakibatkan ia tenggelam ke lapisan paling bawah Bumi dan terkumpul di dalam timbunan termokimia," katanya pada Persidangan Sains Planet dan Bulan yang diadakan secara maya baru-baru ini.


Mantel merujuk kepada lapisan di antara kerak dan teras luaran Bumi. Timbunan termokimia itu boleh menyebabkan seismik iaitu aktiviti batuan bawah tanah yang menyebabkan kejadian seperti gempa dan letusan gunung berapi di kawasan tompokan tersebut.


Saintis-saintis juga mengenal pasti kawasan spesifik di dalam di mana serpihan Theia tersimpan. Teori pertembungan Planet Theia dan Bumi dikenali sebagai hipotesis impak gergasi. Saintis turut percaya material Theia yang padat dapat bertahan selama berbilion -bilion tahun.


Menurutnya, Theia telah berlanggar dengan Bumi sekitar 4.5 bilion tahun lalu dan sebilangan saintis berpegang kepada teori tersebut kerana ia dapat menjelaskan kewujudan Bulan dan mengapa teras planet kita lebih besar berbanding saiz Bumi sendiri. - Sumber Daily Star.


Serpihan planet asing, Theia dipercayai terkubur di pusat Bumi selepas ia berlanggar dengan planet kita 4.5 bilion tahun lalu. - Foto Getty Image

Jumaat, 26 Mac 2021

'Selamat tinggal Bumi' manusia bakal pindah ke Planet Marikh

'Selamat tinggal Bumi' manusia bakal pindah ke Planet Marikh


Awal tahun 2020, pertandingan Reka Bentuk Negeri Mars City dianjurkan oleh The Mars Society bertujuan untuk mencari reka bentuk terbaik untuk negara kota Marikh, yang boleh memuatkan penduduk dari Bumi dimasa akan datang.


Reka bentuk yang dipilih telah dibentangkan, disusun oleh firma seni bina, Abiboo Studio, yang berpangkalan di Sepanyol, AS dan India. Lapor akhbar Daily Mail 21 Mac 2021, pelan bagi membina sebuah bandar lestari pertama di Planet Marikh dilancarkan oleh firma arkitek Abiboo.


Diberi nama Nüwa, bandar utama itu merupakan salah satu daripada lima bandar Marikh yang dirancang pembinaannya di Tempe Mensa iaitu sebuah kawasan di planet berkenaan. Bandar itu akan dibina secara menegak dan bukan mendatar bagi mengurangkan tekanan atmosfera dan radiasi berbahaya.


Alfredo Muñoz pengasas Abiboo berkata, tekanan udara yang melampau di planet ini membuatkan rekaan bentuk rumah biasa seperti di Bumi adalah mustahil untuk dibina, jadi rekaan ditebing adalah yang terbaik.


"Sinaran matahari dan gamma di Marikh memaksa kita untuk membina ruang yang tidak langsung terdedah dengan langit. Jika kita membangunkan bangunan seperti di Bumi, bangunan itu cenderung untuk meletup disebabkan oleh tekanan," katanya.


Memandangkan air dan karbon dioksida boleh berada di permukaan Marikh, dua elemen itu akan membantu Abiboo mencipta besi yang dihasilkan secara eksklusif menggunakan bahan-bahan di Planet Merah itu.


Bandar itu akan merangkumi semua binaan utama yang ada di Bumi seperti rumah, pejabat dan juga taman. Alfredo Muñoz berkata, syarikat itu melakukan analisis dan bekerjasama dengan ramai saintis bagi memahami keadaan yang akan dihadapi.


Mereka yang mengimpikan untuk menetap di Marikh bagaimanapun terpaksa memberi laluan kepada cucu atau cicit masing-masing memandangkan pembinaan Nüwa hanya akan bermula pada 2054 dan penduduk dijangka boleh berpindah menjelang tahun 2100.




Populasi bandar yang dirancang itu pula ialah seramai 250,000 penduduk. Sumber makanan utama bagi penduduk Nüwa datang daripada tumbuh-tumbuhan dan aktiviti rekreasi pula sama seperti yang boleh dinikmati di Bumi daripada berkhemah sehinggalah aktiviti seni dan kraf.


Transisi kehidupan dari Bumi ke planet Marikh merupakan sesuatu yang agak rumit namun ia sama sekali tidak mustahil. Penerbangan ulang-alik dari Bumi ke Marikh akan beroperasi setiap 26 bulan dan setiap perjalanan memakan masa antara tiga hingga enam bulan.


Kos bagi tiket sehala dari Bumi ke Planet Merah itu dijangkakan sekitar AS$300,000 (RM1.2 juta). Nama Nüwa diambil daripada karakter mitos dewi dari China.


Iklim ekstrem Marikh merupakan antara cabaran dalam pembinaan sebuah bandar yang selamat dan lestari. - Foto Abiboo Studio


Antara elemen paling unik dalam reka bentuk Nüwa ialah struktur binaannya yang menegak bagi mengurangkan tekanan atmosfera dan radiasi berbahaya. - Foto Abiboo Studio.


Kawasan kubah hijau akan berfungsi sebagai taman rekreasi atau kawasan untuk menanam tumbuh-tumbuhan. - Foto Abiboo Studio.


Secara asasnya, kehidupan di Marikh kelak tidak banyak beza berbanding kehidupan di Bumi. - Foto Abiboo Studio.

Isnin, 22 Mac 2021

'Kota Hantu' sebuah desa yang terkubur di tengah padang pasir

'Kota Hantu' sebuah desa yang terkubur di tengah padang pasir


Sebut saja Dubai pasti kita terbayang sebuah bandar raya canggih yang penuh dengan kemewahan, disebalik semua itu ia juga mempunyai sisi lain yang menarik untuk diterokai, salah satunya adalah desa Al-Ghuraifah yang digelar 'kota hantu' oleh penduduk berdekatan.


Sebuah desa yang terkubur oleh pasir dan telah ditinggalkan ini terletak di tengah padang pasir yang dikenali sebagai Desa Al-Ghuraifah. Ia terletak 2 kilometer sebelah Barat Daya daerah Al-Madam di Sharjah laluan antara Dubai dan Hatta.


Kampung ini disebut 'kota hantu' kerana menurut ceritanya, penduduk kampung berhijrah dari kampung tersebut dikaitkan dengan gangguan mistik. Kisah ini semakin dipercayai kerana penduduk kampung yang berdekatan juga mengatakan perkara yang sama, iaitu ada jin jahat yang menghantui kampung tersebut.


Namun, secara ilmiah alasan kampung itu ditinggalkan adalah kerana lokasinya di padang pasir dan sering dilanda ribut pasir. Kini, kampung ini hanya menunggu untuk ditenggelamkan oleh pasir.




Menurut laporan oleh Insider, Al-Ghuraifah adalah sebuah desa yang telah wujud sejak tahun 1970. Desa kecil ini terdiri atas dua barisan rumah yang berbentuk hampir sama dan terdapat sebuah masjid di hujung jalan. Berada di tengah-tengah padang pasir terletak kira-kira 59 kilometer dari pusat bandar Dubai.

Walaupun tidak diketahui berapa orang yang tinggal di sana, seorang penduduk bernama Ayub Al Kaabi mengatakan bahawa kampung itu adalah kediaman suku Al Kutbi.

 "Apa yang kami tahu adalah tempat ini dibangun untuk Suku Al Kutbi, tetapi mereka meninggalkannya setelah tinggal di sini untuk beberapa waktu," kata Kaabi.

Pada mulanya, kewujudan kampung ini dirahsiakan. Tetapi ketika seorang blogger Britain, Vanessa Ball, secara tidak sengaja menjumpainya dalam perjalanan luar jalan raya pada tahun 2019, kampung ini menjadi terkenal dan semakin popular.

Kini menjadi salah satu lokasi menarik untuk dikunjungi bagi pelancong yang sukakan pengembaraan. Populariti Al-Madam juga meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerana banyak pelancong mula mengenali dan mengunjungi kawasan itu.



Ahad, 14 Mac 2021

Kerana terlalu daif, bandar Kamagasaki tiada dalam peta dunia

Kerana terlalu daif, bandar Kamagasaki tiada dalam peta dunia

Foto: cazalis.org


Adakah
anda tahu bahawa geografi sesebuah negara yang muncul di peta dunia sebenarnya tidak lengkap? Menurut pemahaman saintifik, sebenarnya ada banyak lagi tempat yang masih belum diterokai pengembara. Rata-rata, kita hanya ingin mengunjungi kota-kota yang terkenal dan sering didengar.


Pada hakikatnya, negara maju juga ada satu-satu tempat yang masih mundur yang wujud dalam realiti, tetapi telah dipadamkan dari peta dunia kerana dianggap terlalu 'hodoh' untuk diperkenalkan kepada umum, sehingga banyak orang tidak mengetahui adanya bandar tersebut.


Sebut saja Jepun, kita pasti tahu ia merupakan sebuah negara maju yang tidak asing lagi bagi kita dari segi teknologi dan sainsnya. Malah Jepun adalah antara kuasa ekonomi terbesar di dunia. Namun tahukah kamu bahawa ada satu bandar di Jepun tiada dalam peta dunia.


Foto: tokyotimes.org


Disebabkan kemiskinan melampau, bandar Kamagasaki di Osaka, Jepun tidak disenaraikan dalam peta. Portal Kompas melaporkan tindakan itu dilakukan kerana pemimpin Osaka dipercayai enggan dunia tahu mengenai kewujudan bandar berkenaan.


Difahamkan, terdapat kemudahan pengangkutan awam seperti kereta api disediakan untuk ke Kamagasaki dalam masa yang singkat. Namun, penduduk di bandar itu masih sukar menjana pendapatan sekalipun banyak peluang pekerjaan di Jepun.


Malah, mereka juga tidak tahu bagaimana nasib setiap hari sama ada boleh mendapatkan wang untuk kelangsungan hidup atau terpaksa beratur untuk mengambil makanan di dapur umum. Keadaan bandar begitu daif sehingga banyak orang di kawasan itu kehilangan tempat tinggal dan bermalam di jalanan secara berkumpulan.


Selain itu, ada juga gambar yang menunjukkan nilai persahabatan dan bagaimana penduduk bersama-sama melalui kehidupan yang getir. Beberapa gambar suasana di Kamagasaki menunjukkan gelandangan tidur dan mabuk di kaki lima. Bekas gelandangan, Masharu Takezawa berkata, tiada wanita dan kanak-kanak dapat dilihat di Kamagasaki.


"Ini dunia lelaki," kata Takezawa, seorang yang berjaya di Kamagasaki.


Foto: Ten Thousand Things

Foto: technicallyjuris

Ahad, 7 Mac 2021

Lelaki buncit dikatakan paling kacak bagi suku Bodi di Ethiopia

Lelaki buncit dikatakan paling kacak bagi suku Bodi di Ethiopia


Ethiopia, sebuah negara di Afrika Timur, di wilayah negara ini terdapat banyak suku kaum dengan ritual dan tradisi yang menarik. Kebanyakan suku Ethiopia tinggal di sudut terpencil di lembah Sungai Omo, salah satunya suku kaum Bodi yang mempunyai keistimewaan tersendiri yang mungkin kamu tidak jangkakannya.


Bagi suku kaum tersebut, mereka menganggap lelaki yang mempunyai perut buncit itu dikatakan sebagai lelaki yang paling kacak. Mungkin bagi kamu sedikit pelik, tetapi pandangan itu berubah apabila berada dalam suku kaum ini. Suku Bodi Ethiopia menganggap perut itu ukuran kecantikan seseorang lelaki.


Upacara Ka'el Perayaan Tahun Baru


Kekacakan seseorang diukur melalui ritual pelik 'upacara Ka'el' iaitu golongan lelaki muda perlu meminum darah dan susu lembu untuk dinobatkan sebagai lelaki bertubuh gemuk. Enam bulan selepas perlawanan dimulakan, lelaki-lelaki itu muncul untuk menayangkan bentuk badan mereka agar terpilih sebagai pemenang.


Kini, ritual yang sudah jarang diamalkan itu menjadi subjek daripada beberapa gambar luar biasa yang diambil oleh jurugambar amatur dari Perancis, Eric Lafforgue. Dia telah menghabiskan masa bersama masyarakat suku Bodi ketika melakukan perjalanan di sebelah barat daya Ethiopia untuk mengikuti perayaan Tahun Baru Bodi atau upacara Ka'el.



Malangnya, upacara Ka'el dan cara hidup tradisional suku Bodi itu kini terancam berikutan rancangan kerajaan untuk memindahkan kira-kira 300,000 orang dari kawasan tersebut. Suku ini mengamalkan upacara Ka'el antara bulan Jun dan Julai, bergantung kepada bulan purnama dan hujan, mereka akan menyambut tahun baru dalam gaya tradisional.


Setiap keluarga dibenarkan menghantar seorang lelaki yang belum berkahwin untuk menyertai pertandingan tersebut. Jika terpilih, mereka harus berhenti melakukan aktiviti harian dan tidak boleh keluar dari rumah atau melakukan aktiviti seks mengikut masa yang ditentukan.


Makanan-makanan bagi membolehkan mereka mendapat tubuh yang gemuk itu diperolehi dalam bentuk darah lembu dan susu campuran yang disajikan secara teratur oleh kaum wanita di kampung mereka.



"Lembu merupakan haiwan suci bagi suku Bodi dan disebabkan itu, ia tidak dibunuh. Darah diambil dengan cara membuat lubang pada pembuluh darah lembu tersebut menggunakan tombak atau kapak dan kemudian, mereka menutup lubang tersebut dengan tanah liat," kata Lafforgue.


Tambahnya, disebabkan keadaan cuaca yang panas, golongan lelaki tersebut perlu minum dua liter darah dan susu lembu sebelum ia menjadi beku.


"Mangkuk pertama terdiri daripada darah dan perlu diminum ketika matahari terbit tetapi tidak semua mereka sanggup meminumnya sebelum ia menjadi beku.


"Ini kerana mereka akan muntah setiap kali cuba untuk minum darah tersebut tetapi mereka perlu mengamalkan tabiat itu jika ingin menjadi gemuk," katanya.



Pada hari pertandingan berlangsung, golongan lelaki itu akan menutup bahagian tubuh mereka menggunakan tanah liat dan abu, sebelum keluar dari rumah untuk berjalan ke lokasi upacara dijalankan. Namun, disebabkan berat badan mereka, ramai yang cuba menggunakan jalan pintas.


"Beberapa orang daripada mereka mempunyai tubuh yang begitu besar sehingga tidak mampu untuk berjalan lagi. Malah, salah seorang daripada mereka meminta saya menumpangkan mereka hingga ke lokasi upacara berlangsung.


"Ketika perjalanan, dia kembali meminum susu dan darah lembu kerana ingin terus menggemukkan badannya sehingga ke detik-detik terakhir pertandingan," jelas beliau.


Upacara itu termasuklah ritual berjalan dalam sebuah lingkaran di sekitar pohon suci selama beberapa jam, dan ditonton oleh kaum lelaki yang lain. Mereka juga mendapat bantuan daripada golongan wanita yang akan memberikan mereka minuman beralkohol.



Setelah seorang pemenang dipilih, upacara tersebut berakhir dengan penyembelihan lembu menggunakan seketul batu dan kemudian mereka akan memeriksa bahagian perut dan darah lembu itu untuk melihat masa depan sama ada baik atau sebaliknya.


Selain dinobatkan sebagai lelaki yang paling gemuk, acara ini adalah salah satu tarikan untuk para wanita menjadikan mereka sebagai suami. Lelaki suku kaum tersebut percaya, semakin besar badan mereka semakin ramai wanita yang menginginkannya.


Setelah upacara berakhir, golongan lelaki itu kembali menjalani kehidupan normal. Sebahagian daripada mereka berjaya mendapatkan kembali berat badan asal dengan mengambil kuantiti makanan yang sedikit selama beberapa minggu. Tetapi beberapa minggu kemudian, generasi berikutnya akan kembali bersaing untuk mendapatkan gelaran lelaki tergemuk.


Menjadi seorang lelaki gemuk merupakan impian setiap anak-anak suku Bodi tetapi beberapa minggu selepas upacara tersebut, pemenang akan kembali mendapatkan berat badan normal mereka, tetapi dia akan tetap dikenang sebagai seorang pahlawan selama hayatnya," tambah Lafforgue.

Sabtu, 30 Januari 2021

Pantai buatan terbesar di dunia milik Malaysia di Jerman, mampu memuatkan 8,000 pengunjung

Pantai buatan terbesar di dunia milik Malaysia di Jerman, mampu memuatkan 8,000 pengunjung


Tropical Islands Resort merupakan sebuah resort tropika tiruan yang terletak di Kreausnick, Jerman. Ia dikatakan mempunyai kolam tertutup tropika terbesar di dunia yang boleh memuatkan sehingga 8,000 pelawat setiap hari. Ia juga taman air tertutup terbesar di dunia pada keluasan 710,000 kaki persegi.


Syarikat dari Malaysia telah membeli hangar ini (sebuah kapal terbang zepplin satu ketika dulu) dan estet di sekeliling dengan harga 17.5 juta dan mengubah hangar nie menjadi pusat peranginan dengan habitat tropika buatan manusia. Ia dibuka pada 19 Diesmber 2004.


Resort ini mempunyai persekitaran yang eksotik dengan hutan hujan tropika, pantai, pokok palma, matahari buatan, orkit, dan birdsong. Dibina didalam kubah yang besar dan lengkap dengan hutan mini yang tersendiri. Hangar kapal terbang yang diubahusai menjadi taman tema dan pantai didalam bangunan ini menjadi salah satu tarikan utama di Jerman.



Resort ini teletak di Briesen, sebahagian daripada Halbe di Dahme-Spreewald, Brandenburg, Jerman iaitu kira-kira 60 kilometer selatan-tenggara Berlin. Resort ini terletak di dalam hangar yang tidak digunakan berkeluasan 1,181 kaki panjang, 689 kaki lebar dan 351 kaki tinggi. Pada isipadu 194,000,000 kaki padu, ia berdiri sebagai salah sebuah bangunan terbesar dunia mengikut isipadu dan dewan terbesar dunia tanpa sokongan tiang di dalam.


Mempunyai hampir 50,000 jenis tumbuhan yang hidup di hutan mini di dalam Tropical Island Resort, dengan suhu tetap iaitu 32 darjah celsius didalamnya walaupun suhu diluar hampir mencecah paras beku.


Pengunjung yang berasal dari negara tropika mungkin lebih selasa berada di dalam bangunan. Tapi bagi mereka yang biasa hidup dengan empat musim majoriti lebih suka berada di luar, sebab itu di resort ini turut dibina kolam di luar bangunan dan dibuka sepanjang tahun.


 Waktu terbaik untuk bermain dan merasa suasana sejuk di luar adalah ketika musim panas. Ini kerana ketika musim sejuk suhu di Berlin, akan sangat turun drastik, bahkan sampai di bawah titik beku. Kalau Kamu masih mahu berenang di sini, mungkin seluruh anggota badan bakal kaku kesejukan. 





Ahad, 24 Januari 2021

Kenapa Jasad pemimpin dunia diawet?

Kenapa Jasad pemimpin dunia diawet?

Jasad pemimpin pertama Soviet, Vladimir Lenin.


Pelbagai cara dilakukan untuk memperingati pemimpin negara dan salah satunya adalah, mengawet mayat mereka. Stuff.co.nz melaporkan ada yang beranggapan jasad si mati itu akan kekal selamanya. Malah, ada yang dijadikan sebagai pameran bagi tontonan kelompok tertentu termasuk parti yang dipimpin semasa hayat individu berkenaan.


Namun, kebiasaannya, mayat pemimpin ini diawet untuk mengenang jasa mereka kepada masyarakat dan negara. Jasad pemimpin pertama Soviet, Vladimir Lenin (Russia) diletakkan di dalam keranda kaca dengan tangannya terletak pada pahanya, mayat yang diawet itu sekali imbas kelihatan seperti patung lilin.


Kisah pengewatan mayat Lenin, apabila dia mati pada Januari 1924, tidak ada orang yang merancang untuk menyimpan mayatnya sebegini lama. Selepas menjalani bedah siasat, mayat itu diawet buat sementara waktu bagi mengelak ia reput dan selama empat hari ia diletakkan di keranda terbuka di Rumah Kesatuan di tengah Moscow.


Orang ramai datang menziarah mayat berkenaan walaupun suhu ketika itu negatif 7 darjah Celsius. Kerajaan kemudian memindahkan keranda itu ke sebuah dewan di Dataran Merah. Memandangkan cuaca amat sejuk, mayat berkenaan tidak mereput walaupun sudah 56 hari dia mati.


Pegawai Soviet mengambil keputusan untuk mengawetnya secara kekal apabila cuaca semakin panas. Walaupun saintis berjaya mengekalkan tulang, otot, kulit dan tisu lain, namun semua organ dalamannya sudah dikeluarkan.


Otaknya dikeluarkan untuk dikaji oleh ‘Institut Otak’ Soviet yang ditubuhkan tidak lama selepas kematian Lenin dengan tujuan untuk mengkaji ‘keupayaan luar biasanya.’ Kepingan otak itu masih disimpan hingga ke hari ini di Pusat Neurologi di Akademi Sains Russia.


Jasadnya yang sudah berusia 96 tahun kini dipamerkan di sebuah dewan di Red Square dan orang ramai boleh melihatnya secara percuma setiap hari, kecuali Isnin, Jumaat dan Ahad, bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.


Beberapa lagi Jasad pemimpin dunia diawet setelah meninggal


Mayat Joseph Stalin turut diawet. Beliau salah seorang pemimpin Kesatuan Soviet dicurigai diracun pada 5 Mac 1953 dan meninggal dunia pada 9 Mac 1953, mayatnya diletakkan di sisi Lenin namun kemudiannya dipindahkan ke lokasi lain.


Mayat pemimpin China, Mao Zedong juga diawet dan ditempatkan di Dataran Tiananmen di Beijing untuk lawatan umum. Pemimpin itu pernah meminta supaya mayatnya dibakar, namun jasadnya kemudian diawet selepas dia meninggal dunia.


Jasad mendiang pemimpin Vietnam, Ho Chi Minh pula diawet dan disimpan di Ba Dinh, Hanoi lokasi beliau membaca Proklamasi Kemerdekaan Vietnam pada 1945. Disimpan di dalam bekas kaca, jasadnya dilihat kecil namun bagi rakyat negara itu, jasanya begitu besar terutama ketika membebaskan negaranya dari belenggu penjajahan.


Mayat pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il juga diawetkan. Jasad bapa kepada pemimpin Korea Utara ketika ini, Kim Jong Un itu diletakkan di Istana Peringatan Kumsusan, Pyongyang. Jong Il meninggal dunia pada 2011. Mayatnya diawetkan di sebuah pusat yang sama mengawet Lenin dan Ho Chi Minh.


Bekas Presiden Venezuela, Hugo Chavez juga diawetkan untuk tontonan ahli partinya. Namun, berikutan masalah teknikal dan faktor cuaca, jasadnya mengalami kerosakan pada 2013. Dia kemudiannya dikebumikan di Muzium Cuartel de la Montana.

Isnin, 7 Disember 2020

Mesin kod rahsia Nazi ditemui di dasar Laut Baltik

Mesin kod rahsia Nazi ditemui di dasar Laut Baltik


Sekumpulan penyelam Jerman menemukan mesin pemecah kod rahsia Enigma milik Nazi di dasar Laut Baltik. Mesin itu digunakan tentera Nazi untuk menghantar mesej berkod ketika Perang Dunia Kedua. Penemuan unik itu diserahkan kepada muzium pada hari Jumaat, 04 Disember 2020 lalu untuk dibaik pulih. 


Mesin kod legenda itu ditemukan bulan lalu ketika penyelam berkenaan mencari pukat terbiar di Teluk Gelting di timur laut Jerman. Penyelam itu asalnya dalam misi kumpulan alam sekitar, WWF.


Ketua penyelam, Florian Huber, berkata, salah seorang penyelam naik ke permukaan dan memberitahu ada pukat dengan mesin taip lama. Kumpulan itu bagaimanapun menyedari mereka sebenarnya menemukan artifak sejarah dan memaklumkan kepada pihak berkuasa.


Sementara itu, Ketua Jabatan Arkeologi Schleswig-Holstein, Ulf Ickerodt, berkata mesin itu akan dipulihara pakar daripada muzium arkeologi. Proses pemuliharaan itu termasuk penyahgaraman kerana ia sudah berada di dasar Laut Baltik selama tujuh dekad, sekali gus dijangka mengambil masa setahun. Selepas selesai, Enigma akan dipamerkan di muzium berkenaan.



Gambar diedarkan World Wildlife Fund (WWF) menunjukkan mesin Enigma yang ditemukan di dasar Laut Baltik di timur laut Jerman.

Dalam perkembangan sama, sejarawan tentera laut daripada Persatuan Tentera Laut Jerman, Jann Witt memberitahu agensi berita DPA bahawa beliau percaya mesin yang memiliki tiga rotor atau dinamo itu, dibuang daripada kapal perang Jerman pada hari-hari terakhir perang.


Menurut sumber lain, beberapa saat sebelum Nazi Jerman menyerah pada Mei 1945, tentera mereka diperintahkan menenggelamkan sekitar 50 kapal selam U-Boot, termasuk juga mesin-mesin Enigma.


Pada Perang Dunia ke-2, Enigma dipakai Nazi untuk mengirim dan menerima pesan rahsia. Namun, para pakar pihak Berikat di Bletchley Park yang dipimpin oleh Alan Turing berhasil memecahkan kode mesin ini sehingga menjadi salah satu penentu kemenangan Sekutu atas Nazi.


Ketika itu, Kuasa Berikat bertungkus-lumus untuk memecahkan kod yang dihasilkan mesin Enigma Jerman itu yang berubah setiap 24 jam. Kejayaan ahli Matematik  British, Alan Turing yang dianggap bapa komputer moden benar-benar dianggap pahlawan besar, kini wajahnya tercetak di pecahan 50 poundsterling.


Kejayaan itu membantu Kuasa Berikat untuk menterjemah mesej radio penting mengenai pergerakan tentera Jerman. Sejarawan percaya kejayaan itu memendekkan tempoh perang sebanyak dua tahun.


Kisah itu diadaptasi kepada filem pada 2014 dengan judul The Imitation Game yang menampilkan pelakon British yang juga calon Anugerah Oscar, Benedict Cumberbatch yang membawa watak Turing.


Selasa, 24 November 2020

Misteri pemuda sesat jumpa Dinosaur di hutan Gombak

Misteri pemuda sesat jumpa Dinosaur di hutan Gombak

 

Kisah ini berlaku beberapa tahun lepas apabila 3 orang pemuda warga asing, pekerja buruh binaan berjalan kaki ke tempat kerja melalui sebuah hutan di Gombak. Selepas beberapa minit berjalan kaki, salah seorang pemuda tadi sesat di dalam hutan tersebut.


Pemuda yang baru sebulan datang di Malaysia itu pada asalnya masuk ke belukar, kerana tidak tahan hendak membuang air kecil. Sebaik saja dia keluar dari belukar, rakan-rakannya tadi sudah tidak kelihatan. Dia meneruskan perjalanan itu seorang diri ke tapak pembinaan, tempat mereka berkerja. Tanpa disedari pemuda itu telah pun tersesat selama 1 jam, dia mula rasa gelisah.


Oleh kerana dia berada di dalam hutan seorang diri dan belum mempunyai telefon bimbit untuk menghubungi rakannya, pemuda itu menjadi cemas, risau dan semakin ketakutan. Namun, dia tetap meneruskan perjalanan mencari jalan keluar. Ketika itu, pemuda berkenaan ternampak seakan ada orang lain di situ, dia berasa lega kerana boleh bertanya dan mendapatkan pertolongan.


Semakin pemuda ini menghampiri dan cuba memanggil, benda yang dilihatnya tadi tetap berada ditempat yang sama dan tidak bergerak. Lebih pelik apabila objek yang dilihatnya itu agak besar dari manusia biasa. Apabila telah berada lebih dekat, alangkah terkejutnya dia apabila melihat rupanya sosok yang disangka orang itu sebenarnya seekor Dinosaur besar yang amat mengerunkan.


Kakinya menjadi lemah, jantungnya berdegup laju dan dia tidak dapat berjalan dengan betul. Pemuda itu berupaya cuba berlari meninggalkan makhluk tersebut. Oleh kerana terkejut yang amat sangat, pemuda itu yang terjatuh terus merangkak berlari sejauh 1 kilometer dari tempat kejadian sambil menjerit meminta pertolongan.



Bukan itu saja, pemuda itu juga melihat beberapa lagi Dinosaur gergasi di hutan itu ketika melarikan diri. Dengan muka yang agak pucat dan kepenatan, pemuda ini bertanya dengan dirinya sendiri, "Adakah itu hantu... tidak mungkin ada Dinosaur di zaman moden ini?" sahutnya.


Pemuda itu akhirnya bertemu semula dengan rakan-rakan yang kebetulan tengah mencarinya. Selepas bertenang dan pulih dari rasa terkejutnya, dia menceritakan kejadian itu, namun tidak seorang pun di antara mereka tahu berkaitan makhluk penunggu berkenaan. Dengan perasaan takut dan cemas mereka cepat-cepat meninggalkan kawasan itu terus ke tempat kerja.


Apabila tiba di tempat kerja, mereka menceritakan kejadian tadi pada rakan-rakan sekerja yang lain. Kebetulan ada seorang warga tempatan mengetahui misteri disebalik hutan itu, dan menceritakan kisah tentang kewujudan Dinosaur tersebut. Sangkaan mereka melesat apabila mengetahui rupanya kumpulan Dinosaur gergasi itu adalah replika yang dibuat khas sekitar 25 tahun lalu.



Ia sangat cantik, unik seakan benar-benar hidup. Ternyata imaginasi, kemahiran dan ketelitian cara penghasilan replika Dinosaur itu sangat halus dan mengagumkan, menampilkan pelbagai spesies replika Dinosaur dan diletakkan di hutan ini. Berpuluh tahun lalu, hutan ini adalah kawasan Mimaland iaitu sebuah teman tema terbesar di Malaysia ketika itu. Replika Dinosaur ini adalah salah satu tarikan pelancong berkunjung di taman tema tersebut satu masa lalu.


Mimaland adalah sebuah taman tema yang menjadi pilihan ramai selepas memulakan operasi pada 1971, sebelum wujudnya taman tema moden seperti Sunway Lagoon dan Wetworld Water Park Shah Alam. Mimaland mula dibuka pada 1971 di Ulu Gombak dan ditutup sepenuhnya pada 1994 selepas tragedi demi tragedi yang menimpa. Ramai yang percayai kejadian tragedi itu ada unsur mistik yang belum terjawap.


Mimaland terkenal dengan replika Dinasour dan gelungsur air gergasi yang tiada di tempat lain. Taman tema ini juga bercirikan idea moden dilengkapi kolam renang terbesar di Asia Tenggara ketika itu, chalet dan restoran terapung, tasik untuk aktiviti bersampan, memancing dan banyak lagi menarik di Mimaland. Sehingga kini, replika Dinasour ini masih kelihatan di sini.


Mimaland yang terbiar sejak 1994 dan ditumbuhi hutan tebal menjadikan kawasan ini tersenarai tempat paling seram di Malaysia. Taman tema Mimaland 24 tahun terbiar di Ulu Gombak kini menjadi bandar berhantu.


Baca: Misteri Mimaland 24 tahun terbiar di Ulu Gombak kini menjadi bandar hantu