Ahad, 18 April 2021

Nostalgia 'Feri Malaysia 1986' Pengangkutan Awam Menghubungkan Semenanjung Dan Borneo


Generasi muda mungkin tak tahu bahawa pada pertengahan tahun 1980-an, terdapat perkhidmatan feri di antara Sabah/Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang dikenali sebagai Feri Malaysia. Bagi yang pernah menaiki perkhidmatan ini pasti meninggalkan banyak nostalgia dan kenangan suka duka yang masih diingati.


Feri Malaysia ialah jenama sebuah kapal penumpang yang pernah wujud di Malaysia. Nama kapal tersebut yang didaftarkan secara rasmi di Pelabuhan Klang, Selangor pada tahun 1986, ialah Cruise Muhibah. Perjalanan feri ini bermula di pelabuhan Kuantan (Pahang) dan akan ke Kuching (Sarawak) dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu (Sabah).


Feri sepanjang 134 meter ini mempunyai 7 lantai deck. Ianya boleh memuatkan sehingga 700 orang dan boleh membawa 100 buah kereta sekaligus. Jangkamasa perjalanan adalah selama dua hari dengan melalui sektor perjalanan Kuantan - Kota Kinabalu.


Dibeli daripada Helsinki, Finland dengan harga RM50 juta. Idea ni datang dari Tun Mahathir yang mendapat inspirasi daripada kejayaan perkhidmatan feri di negeri Scandinavia iaitu antara Finland, Norway dan juga Denmark. Matlamatnya ialah supaya wujud satu khidmat pengangkutan alternatif bagi merapatkan hubungan antara penduduk Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.



Feri Malaysia yang berasal dari Helsinki, Finland, berjaya disiapkan pada 1986. Ia belayar selama sebulan dari Finland sebelum tiba di Pelabuhan Klang pada 6 Ogos 1986. Sultan Pahang kemudian membuat pelancaran rasmi khidmat Feri Malaysia pada 31 Ogos 1986 di Pelabuhan Kuantan, Pahang.


Ia merupakan sebuah feri persiaran yang pertama dan terbesar milik kerajaan Malaysia. Dengan beratnya 7,900 tan, mampu untuk berlayar selaju 19 batu nautika. Dilengkapi kemudahan seperti restoran, kafeteria, kolam renang, bar, disko, bilik mesyuarat, kabin, surau dan lain-lain.


Pada 18 Oktober 1987, perkhidmatan feri Malaysia ini telah mengalami kebakaran pada ruang enjin utama iaitu pada jam 2.45 petang yang mana pada ketika itu ia hampir mendekati destinasi Kuantan. Lokasinya adalah kira-kira 5 kilometer dari Pulau Tioman, Pahang.


Terdapat tiga ratus orang penumpang dan empat puluh buah kenderaan yang terdapat didalamnya pada ketika itu. Namun, kesemua penumpang telah berjaya diselamatkan oleh dua buah kapal muatan kargo dan membawa semua penumpang ke Pelabuhan Kuantan pada hari yang sama.


Setelah kebakaran berjaya dipadamkan akhirnya Feri Malaysia terdampar di lautan Pahang buat seketika. Menurut laporan kemalangan seperti yang dinyatakan oleh akhbar NST, antara punca berlakunya insiden tersebut adalah kerana kapal asal yang dibeli dari Finland ini sudah pun terlalu lama dan berusia 16 tahun.


Akhirnya, selepas tahun 1989, perkhidmatan Feri Malaysia ini tidak lagi beroperasi kerana dikatakan kos operasinya yang terlalu tinggi berbanding keuntungan yang mereka perolehi. Sumber: Orang KataArkib Negara




EmoticonEmoticon