Ahad, 24 Januari 2021

Kenapa Jasad pemimpin dunia diawet?

Jasad pemimpin pertama Soviet, Vladimir Lenin.


Pelbagai cara dilakukan untuk memperingati pemimpin negara dan salah satunya adalah, mengawet mayat mereka. Stuff.co.nz melaporkan ada yang beranggapan jasad si mati itu akan kekal selamanya. Malah, ada yang dijadikan sebagai pameran bagi tontonan kelompok tertentu termasuk parti yang dipimpin semasa hayat individu berkenaan.


Namun, kebiasaannya, mayat pemimpin ini diawet untuk mengenang jasa mereka kepada masyarakat dan negara. Jasad pemimpin pertama Soviet, Vladimir Lenin (Russia) diletakkan di dalam keranda kaca dengan tangannya terletak pada pahanya, mayat yang diawet itu sekali imbas kelihatan seperti patung lilin.


Kisah pengewatan mayat Lenin, apabila dia mati pada Januari 1924, tidak ada orang yang merancang untuk menyimpan mayatnya sebegini lama. Selepas menjalani bedah siasat, mayat itu diawet buat sementara waktu bagi mengelak ia reput dan selama empat hari ia diletakkan di keranda terbuka di Rumah Kesatuan di tengah Moscow.


Orang ramai datang menziarah mayat berkenaan walaupun suhu ketika itu negatif 7 darjah Celsius. Kerajaan kemudian memindahkan keranda itu ke sebuah dewan di Dataran Merah. Memandangkan cuaca amat sejuk, mayat berkenaan tidak mereput walaupun sudah 56 hari dia mati.


Pegawai Soviet mengambil keputusan untuk mengawetnya secara kekal apabila cuaca semakin panas. Walaupun saintis berjaya mengekalkan tulang, otot, kulit dan tisu lain, namun semua organ dalamannya sudah dikeluarkan.


Otaknya dikeluarkan untuk dikaji oleh ‘Institut Otak’ Soviet yang ditubuhkan tidak lama selepas kematian Lenin dengan tujuan untuk mengkaji ‘keupayaan luar biasanya.’ Kepingan otak itu masih disimpan hingga ke hari ini di Pusat Neurologi di Akademi Sains Russia.


Jasadnya yang sudah berusia 96 tahun kini dipamerkan di sebuah dewan di Red Square dan orang ramai boleh melihatnya secara percuma setiap hari, kecuali Isnin, Jumaat dan Ahad, bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.


Beberapa lagi Jasad pemimpin dunia diawet setelah meninggal


Mayat Joseph Stalin turut diawet. Beliau salah seorang pemimpin Kesatuan Soviet dicurigai diracun pada 5 Mac 1953 dan meninggal dunia pada 9 Mac 1953, mayatnya diletakkan di sisi Lenin namun kemudiannya dipindahkan ke lokasi lain.


Mayat pemimpin China, Mao Zedong juga diawet dan ditempatkan di Dataran Tiananmen di Beijing untuk lawatan umum. Pemimpin itu pernah meminta supaya mayatnya dibakar, namun jasadnya kemudian diawet selepas dia meninggal dunia.


Jasad mendiang pemimpin Vietnam, Ho Chi Minh pula diawet dan disimpan di Ba Dinh, Hanoi lokasi beliau membaca Proklamasi Kemerdekaan Vietnam pada 1945. Disimpan di dalam bekas kaca, jasadnya dilihat kecil namun bagi rakyat negara itu, jasanya begitu besar terutama ketika membebaskan negaranya dari belenggu penjajahan.


Mayat pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il juga diawetkan. Jasad bapa kepada pemimpin Korea Utara ketika ini, Kim Jong Un itu diletakkan di Istana Peringatan Kumsusan, Pyongyang. Jong Il meninggal dunia pada 2011. Mayatnya diawetkan di sebuah pusat yang sama mengawet Lenin dan Ho Chi Minh.


Bekas Presiden Venezuela, Hugo Chavez juga diawetkan untuk tontonan ahli partinya. Namun, berikutan masalah teknikal dan faktor cuaca, jasadnya mengalami kerosakan pada 2013. Dia kemudiannya dikebumikan di Muzium Cuartel de la Montana.


EmoticonEmoticon