Memaparkan catatan dengan label Covid-19. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Covid-19. Papar semua catatan

Ahad, 22 Ogos 2021

TMJ mahu jumpa 779 guru tolak vaksin di Johor

TMJ mahu jumpa 779 guru tolak vaksin di Johor


Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim akan bertemu dengan Pengarah Pendidikan Johor dan kira-kira 779 guru yang menolak menerima vaksin Covid-19, bagi mencari penyelesaian isu itu.


Memetik laporan Harian Metro, Tunku Ismail menerusi dua ciapan di akaun Twitter baginda hari ini bertitah, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat.


Tunku Mahkota Johor membuat ciapan berkenaan apabila seorang netizen berkongsi laporan berita Harian Metro berkenaan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19.


Baginda bertitah, keutamaan negeri Johor adalah untuk mengatasi pandemik ini secepat mungkin supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa.


Hari ini, Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, dilaporkan memaklumkan kira-kira 779 guru di negeri ini menolak untuk menerima vaksin Covid-19.


Mazlan dilaporkan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan mengenai kebaikan vaksin supaya golongan guru terbabit akan menerima vaksin.


Pelajar cacah tatu kod QR sijil vaksin di lengan

Pelajar cacah tatu kod QR sijil vaksin di lengan


Sebelum ini, pada bulan Jun lalu seorang lelaki di Thailand menjadi tular di media sosial apabila mengabdikan sijil perkahwinannya sebagai tatu kekal di lengan kanannya. Baca juga: Sebagai bukti cinta, lelaki cacah tatu kekal sijil kahwin di lengan.


Lukisan tatu itu dihiasi bunga berwarna hijau dan merah jambu serta memenuhi hampir keseluruhan lengan kanan lelaki itu, membuatkan Isterinya berasa terharu atas kesanggupan suaminya mencacah sijil perkahwinan mereka sebagai tatu.


Terbaru, seorang pelajar berusia 22 tahun di Itali turut tular di media sosial apabila dia mencacah tatu dengan imej kod QR sijil vaksin Covid-19 di lengannya.



Andrea Colonnetta berkata, beliau tidak terlalu memikirkan perkara itu sebelum mencacah tatu, tetapi memilih sesuatu yang praktikal selepas berbincang dengan pelukis tatu, Gabriele Pellerone.


Kini, pada lengannya terdapat kod QR yang juga pas hijau rasmi dikeluarkan kerajaan Itali. Pas berkenaan adalah bukti status berkaitan Covid-19 sama ada sudah menerima vaksin, baru sembuh daripada jangkitan Covid-19 atau disahkan negatif dalam tempoh 48 jam.


Sejak 6 Ogos lalu, pas berkenaan diperlukan untuk memasuki beberapa lokasi awam seperti panggung, muzium atau restoran. Colonnetta yang sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 mengakui ibu bapanya kurang memahami tindakan yang dibuat.


"Mereka meminta saya supaya berfikiran jauh sebelum melakukan sesuatu. Ia adalah sesuatu yang asli dan saya suka tampil berbeza," katanya kepada akhbar Calabria.


Satu video di media sosial menyaksikan Colonnetta memasuki restoran McDonald's dan mengangkat lengannya serta mengambil gambar tatu di lengannya.

Khamis, 19 Ogos 2021

Lelaki 'Bertapa' Dalam Gua 20 Tahun Keluar Ambil Suntikan Vaksin

Lelaki 'Bertapa' Dalam Gua 20 Tahun Keluar Ambil Suntikan Vaksin


Baru-baru ini tular kisah seorang lelaki dari Pirot, Serbia, yang tinggal di dalam gua selama 20 tahun keluar dari tempat pertapaannya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.


Menurut laporan akhbar The Sun pada 13 Ogos 2021, Panta Pertrovic, 70, mendapat tahu mengenai wabak tersebut daripada satu lawatannya ke pekan berhampiran pada tahun lepas.


Apabila dia sedar mengenai bahaya virus itu, dia mengatakan bahawa dia perlu mendapatkan vaksin secepat mungkin dan kini dia bersyukur kerana telah mendapatkannya.


"Virus itu tidak memilih mangsa. Ia akan datang ke sini, ke gua saya juga. Saya ingin dapatkan kesemua tiga dos termasuk dos tambahan. Saya juga ingin menggalakkan setiap penduduk agar mendapatkan vaksinasi mereka," katanya.


Tambah Pertrovic, dia tidak memahami mengapa terdapat sebilangan individu yang mempunyai pandangan skeptikal mengenai virus Covid-19, dan ada yang tidak mahu menerima suntikan vaksin.


Pertrovic pada 20 tahun lepas berpindah ke sebuah gua kecil di sebuah kawasan pergunungan untuk mengelak daripada berhubungan dengan masyarakat.



Dia yang pernah bekerja sebagai seorang buruh mengambil keputusan untuk menjadi seorang pertapa di dalam gua kerana mahu hidup bersendirian.


"Saya tidak bebas di bandar. Kebiasaannya, terdapat seseorang yang akan mengganggu anda, sama ada anda bertengkar dengan isteri, jiran atau polis. Di sini, tiada sesiapa yang mengganggu saya," jelasnya.


'Rumah' Pertrovic hanya boleh diakses menerusi pendakian curam. Rakan-rakannya hanya terdiri daripada ayam, kucing, anjing dan babi hutan. 


Makanan rujinya pula adalah cendawan dan ikan yang ditangkap dari sebatang anak sungai berdekatan selain dia turut pergi ke pekan sesekali untuk mencari sisa makanan dari tong sampah.


Panta Pertrovic hidup di dalam gua berbekalkan bantuan yang diberikan kepadanya termasuk bantuan makanan. - Foto AFP.

Panta Pertrovic sedar akan kepentingan mendapatkan suntikan Covid-19. - Foto AFP.

Isnin, 16 Ogos 2021

Wanita Dakwa Jadi 'Manusia Magnet' Selepas Terima Vaksin Covid-19

Wanita Dakwa Jadi 'Manusia Magnet' Selepas Terima Vaksin Covid-19


Sejak bulan Mei lagi, viral beberapa video yang mengaitkan badan lekat magnet atau besi selepas diberi vaksin. Bukan hanya di Malaysia, ia juga heboh diperkatakan di Indonesia mengenai duit syiling yang dikatakan mampu melekat di tempat suntikan vaksin.


Terbaru, seorang wanita dari California, Amerika Syarikat turut mendakwa bahawa barangan besi melekat pada badannya seperti magnet selepas dia menerima suntikan vaksin Pfizer, lapor laman berita HuffPost pada 13 Ogos 2021 lalu.


Amelia Miller yang ditemu bual dalam saluran berita One America News berkata, dia berubah menjadi 'manusia magnet' selepas menerima vaksin Covid-19 pada Jun lepas.


"Mulut saya mula berasa seperti rasa besi yang amat kuat. Saya kemudianya teringat akan beberapa laporan sebelum ini bahawa terdapat sebilangan orang yang mendakwa mereka mempunyai kebolehan magnetik selepas menerima suntikan vaksinasi.


"Pada awalnya, saya tidak mempercayainya kerana menyangkakan kesemua video itu satu penipuan dan orang melakukannya kerana ingin mendapatkan populariti dalam media sosial," katanya.



Bagaimanapun, gadis itu mendakwa, dia secara tiba-tiba boleh melekatkan pelbagai jenis besi pada kulitnya dan dalam beberapa minit, dia dapat merasa seperti rasa besi di dalam mulutnya.


Ketika ingin menunjukkan kebolehan magnetiknya dalam sesi temu bual tersebut, Miller berjaya melekatkan sekeping besi pada badannya, namun malangnya, besi kedua terjatuh.


Pembaca berita yang menemu bualnya, Dan Ball kemudiannya secara spontan mengakui dia tidak tahu bagaimana untuk memberi respons kepada aksi Miller itu.


"Saya hilang kata-kata dan ingin menamatkan temubual ini setakat ini. Saya mengucapkan terima kasih atas cerita anda kerana terdapat lebih banyak maklumat di luar sana dan orang ramai bertanya mengenai kesahihan video tersebut serta bagaimana ia boleh berlaku," ujar Ball.


Dalam pada itu, saintis-saintis memberitahu bahawa tiada bukti menunjukkan bahawa vaksin Covid-19 boleh menjadikan seseorang itu magnetik. Sekiranya keadaan itu berlaku, ia berkemungkinan disebabkan oleh keadaan kulit yang melekit.


Miller cuba menunjukkan kebolehannya yang boleh melekatkan barangan besi pada badannya ketika ditemu bual oleh One America News.

Sabtu, 14 Ogos 2021

Wanita Berdiri Di Puncak Burj Khalifa Bangunan Tertinggi Dunia Tanpa Rasa Gentar

Wanita Berdiri Di Puncak Burj Khalifa Bangunan Tertinggi Dunia Tanpa Rasa Gentar


Aksi berani seorang pramugari tanpa rasa gentar berdiri di atas puncak bangunan tertinggi di dunia adalah sebahagian promosi yang dilakukan syarikat penerbangan milik Emiriah Arab Bersatu (UAE), Emirates Airlines selepas negara itu dimasukkan dalam senarai hijau United Kingdom (UK).


Memetik laporan Daily Mail pada 9 Ogos 2021, pramugari yang mengenakan pakaian seragam syarikat penerbangan Emirates Airlines itu sempat mengukir senyuman sambil berdiri atas platform kecil puncak menara Burj Khalifa yang setinggi 829.6 meter di Dubai.


Pramugari itu sebenarnya merupakan penerjun payung terjun (skydiver) dan personaliti media sosial, memegang beberapa plakad tertera 'UAE dimasukkan dalam senarai hijau UK membuatkan kami berasa seperti berada di puncak dunia.. Fly Emirates.. terbang lebih baik'.


Kemasukan warga Britain ke negara itu ditangguhkan sejak awal tahun ini telah dibuka kembali selepas Pejabat Luar UK mengeluarkan UAE dari senarai Merah dan memasukkan ia ke dalam senarai hijau pada Ahad.



Kelonggaran tersebut memberi laluan kepada pelancong yang menerima vaksin penuh Covid-19 dapat pulang dari negara itu tanpa perlu dikuarantin. Bagaimanapun, mereka mesti mengambil ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas dan perlu mengambil ujian lanjutan pada hari ketibaan atau sebelum hari kedua mereka di Britain.


Emirates Airlines berkongsi video promosi itu yang dirakam menggunakan dron dan memaklumkan perjalanan ke UK kini menjadi mudah selepas 8 Ogos. Jurucakap syarikat penerbangan itu memberitahu Gulf Today, penggambaran di atas puncak menara itu sudah mendapat kebenaran dan dijayakan oleh beberapa organisasi tempatan.


'Pramugari' berkenaan, Nicole Smith Ludvik menyifatkan aksi tersebut adalah salah satu aksi paling menakjubkan dan menarik yang pernah dilakukannya. Rata-rata warga maya teruja dengan perkongsian video berkenaan dan meluahkan kekaguman terhadap aksi Ludvik beraksi di atas puncak bangunan 163 tingkat itu.


Walaupun video berkenaan hanya berdurasi 33 saat, namun proses pembikinannya bukan mudah. Ia dikongsikan menerusi video belakang tabir yang memaparkan pelbagai latihan perlu dilalui Ludvik sebelum penggambaran. Selain itu, aspek keselamatan turut menjadi keutamaan.


Antara latihan yang dilakukan Ludvik sebelum penggambaran berdiri di Puncak Burj Khalifa dibuat.

Ludvik yang berpakaian pramugari berdiri atas puncak menara Burj Khalifa di Dubai.

Isnin, 9 Ogos 2021

Penyanyi Siti Sarah Meninggal Dunia Akibat Covid-19

Penyanyi Siti Sarah Meninggal Dunia Akibat Covid-19


Penyanyi Siti Sarah, 37, disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), selepas bertarung nyawa akibat Covid-19.


Penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir jam 5.13 pagi, selepas ditidurkan pada 4 Ogos lalu. Lebih menyedihkan, Sarah meninggal dunia tanpa sempat menatap wajah bayi lelaki dikandungnya yang selamat dikeluarkan secara pembedahan pada Jumaat lalu.


Terdahulu, Siti Sarah dimasukkan ke hospital itu pada Rabu lalu selepas mengalami batuk teruk dan tahap oksigen menurun akibat jangkitan Covid-19. Siti Sarah yang hamil tujuh bulan ketika itu kemudiannya ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan.



Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki diberi nama Ayash Affan. Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan Covid-19 sejak 27 Julai lalu, selepas mereka sekeluarga menjalani ujian saringan selepas pembantu rumah disahkan positif virus terbabit.


Pasangan itu berkahwin pada 26 Februari 2011. Hasil perkahwinan, pasangan ini juga mempunyai tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.


Sementara itu, jenazah Siti Sarah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, hari ini. 


Shuib berkata, dia bersyukur apabila Allahyarham isterinya diberi peluang untuk dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan ibunya. Urusan tayamum dan solat jenazah akan diuruskan pihak hospital.


"Pada awalnya saya tak pasti sama ada urusan pengebumian dapat dibuat di lokasi sama arwah ibunya. Namun, sebaik tiba di sini saya bersyukur pihak hospital membenarkan jenazah isteri dikebumikan di sana. Entah kenapa saya terasa lokasi itu adalah tempat terbaik untuk arwah isteri saya," katanya.

Ahad, 1 Ogos 2021

Kongsi sewa banglo, 20 remaja ditahan berpesta dadah dan seks

Kongsi sewa banglo, 20 remaja ditahan berpesta dadah dan seks


Gara-gara kemaruk seks dan ketagih dadah disebabkan lama tidak bertemu, pasang kekasih antara 20 individu ditahan di sebuah inap desa di Taman Starhill, Bukit Gambir di Georgetown, awal pagi tadi.


Mereka yang ditahan terdiri 13 lelaki dan 7 wanita berusia 17 hingga 25 tahun itu diberkas polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK) kira-kira pukul 12.30 malam tadi.


Ketika serbuan, semua lelaki dan wanita tempatan yang bekerja sebagai operator kilang, penghantar makanan dan pembantu kedai berada di ruang tamu rumah banglo tiga tingkat tersebut.


Sumber berkata, individu terbabit dikatakan sanggup merentas daerah iaitu datang dari kawasan Balik Pulau dan Bayan Lepas semata-mata mahu melepaskan gian dadah bersama rakan termasuk kemaruk seks dengan pasangan kekasih.


Menurutnya, turut ditemui semasa pemeriksaan dijalankan adalah bungkusan dadah dipercayai jenis syabu dan kondom di ruang tamu berkenaan termasuk set karaoke.


"Mereka terkedu melihat kehadiran anggota polis dan tidak sempat melarikan diri disebabkan kawasan kediaman banglo dikepung.


"Siasatan mendapati mereka menyewa inap desa itu pada harga RM800 untuk satu malam iaitu dari pukul 3 petang semalam hingga hari ini. Mereka (lelaki) berkongsi duit sewa sebanyak RM70 seorang.


"Hasil soal siasat ke atas beberapa pasangan kekasih mendapati mereka datang ke situ untuk berhibur kerana sudah lama tidak bertemu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.


Jelas sumber itu, kesemua mereka yang didapati positif dadah kini ditahan reman selama empat hari sehingga 4 Ogos ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais mengesahkan tangkapan tersebut.


Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)Akta Dadah Berbahaya 1952.


Seramai 20 individu ditahan di sebuah inap desa di Taman Starhill, Bukit Gambir, Pulau Pinang kerana disyaki berpesta dadah dan seks pada 1 Ogos 2021.