Memaparkan catatan dengan label Covid-19. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Covid-19. Papar semua catatan

Rabu, 28 Julai 2021

Vaksin Sinovac dikatakan menyebabkan antibodi menurun selepas enam bulan dos kedua

Vaksin Sinovac dikatakan menyebabkan antibodi menurun selepas enam bulan dos kedua


Keberkesanan antibodi daripada suntikan vaksin Sinovac merosot dalam tempoh enam bulan selepas dos kedua bagi kebanyakan penerima tetapi suntikan ketiga boleh menggalakkan kekuatannya.


CNA memetik laporan Reuters melaporkan, suntikan ketiga vaksin itu boleh memberi kesan rangsangan yang kuat, menurut satu kajian makmal.


Penyelidik China melaporkan dapatan itu daripada kajian ke atas sampel-sampel darah orang dewasa yang sihat berusia antara 18 dengan 59 tahun dalam satu kertas yang diterbitkan baru-baru ini.


Bagi peserta yang menerima dua dos, dengan jarak dua atau empat minggu antara kedua-duanya, masing-masing hanya mempunyai tahap antibodi 16.9 peratus dan 35.2 peratus melebihi paras ambang enam bulan selepas dos kedua, menurut kertas kajian tersebut.


Bacaan tersebut berdasarkan data daripada dua kohort yang melibatkan lebih 50 peserta, sementara kajian itu memberikan dos ketiga kepada seramai 540 peserta.


Apabila peserta dalam beberapa kohort diberi dos ketiga, kira-kira enam bulan selepas suntikan kedua, sekali gus mempertahankan paras antibodi selepas lagi 28 hari meningkat tiga hingga lima kali ganda berbanding paras yang dilihat empat minggu selepas dos kedua, menurut kajian tersebut.


Kajian tersebut dijalankan pengkaji pihak berkuasa kawalan penyakit di wilayah Jiangsu, Sinovac dan institusi-institusi China lain.


Penyelidik mengingatkan bahawa kajian itu tidak menguji kesan antibodi terhadap varian yang lebih mudah berjangkit dan kajian lebih lanjut diperlukan untuk menilai tempoh kesan antibodi selepas suntikan ketiga.

Isnin, 26 Julai 2021

Harimau Bintang Salji Positif Covid-19 Di Zoo San Diego

Harimau Bintang Salji Positif Covid-19 Di Zoo San Diego


Haiwan juga tidak terlepas daripada ancaman Covid-19, dan tebaru seekor harimau bintang salji menjadi mangsa jangkitan virus itu di Zoo San Diego, California selepas disahkan positif Covid-19.


Harimau yang diberi nama Ramil berusia 9 tahun itu disahkan mengidap wabak pandemik itu selepas penjaganya menyedari ia batuk dan selsema pada Khamis.


Najis haiwan itu diuji oleh kakitangan zoo dan di makmal. Kedua-dua ujian itu mengesahkan kehadiran virus itu, kata zoo itu melalui kenyataannya pada Jumaat.


Ramli hanya mempunyai sebelah mata. - Foto Agensi.

Ramil tidak menunjukkan sebarang simptom lain bagaimanapun ia mempunyai kontak rapat dengan harimau bintang salji betina dan dua lagi harimau Siberia. Kakitangan zoo merasakan kesemua binatang itu sudah terdedah dan mereka dikuarantin.


Tidak jelas bagaimana Ramil dijangkiti. Pada Januari, lapan gorila di Taman Tema Safari Zoo San Diego juga dijangkiti Covid-19 bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang simptom.


Pada awal tahun ini, zoo itu menerima vaksin ujian bagi digunakan untuk melindungi haiwan di situ dari jangkitan Covid-19 bagaimanapun Ramil belum disuntik.


Gorila di Zoo San Diego dijangkiti Covid-19 pada Januari 2021 lalu. - Foto fail EPA.

Ahad, 25 Julai 2021

Lelaki anti perintah berkurung tumbuk kuda polis di Australia diburu

Lelaki anti perintah berkurung tumbuk kuda polis di Australia diburu


Negeri New South Wales terus merekodkan peningkatan kes Covid-19, malah menjadi jumlah jangkitan kedua tertinggi bagi tahun ini. Sebanyak 141 kes baharu direkodkan, iaitu lebih rendah berbanding 163 kes (tertinggi) yang dicatatkan semalam.


Peningkatan itu menyebabkan perintah berkurung di Sydney akan dilanjutkan sehingga hujung bulan ini. Bagaimanapun ia mendapat bantahan daripada beberapa penduduk kerana berang dengan arahan duduk di rumah.


Penunjuk perasaan yang membantah melemparkan pelbagai objek ke arah pihak berkuasa. Polis Australia turut mencari seorang penunjuk perasaan yang menumbuk kuda polis ketika menyertai protes anti perintah berkurung di bandar Sydney, semalam.


Protes di beberapa bandar utama Australia itu berlaku selepas pihak berkuasa melaksanakan sekatan ketat termasuk perintah berkurung bagi mengekang penularan Covid-19.


Kumpulan penunjuk perasaan yang tidak memakai pelitup muka dan menjaga jarak sosial dilihat merusuh dan bertempur dengan polis, dan dianggarkan lebih 50 orang ditahan dalam protes yang berlangsung.


Polis New South Wales meminta mana-mana saksi yang mengenali suspek yang merupakan seorang lelaki supaya tampil ke balai polis untuk memberi maklumat. Polis memaklumkan, kuda yang diberi nama Tobruk itu tidak mengalami kecederaan.


Suasana lengang di restoran berhampiran Sydney Opera House yang ditutup akibat perintah berkurung. - Foto AFP.

Selasa, 13 Julai 2021

Payudara membesar selepas terima suntikan vaksin Pfizer

Payudara membesar selepas terima suntikan vaksin Pfizer


Program imunisasi atau suntikan vaksin sedang dijalankan di seluruh dunia sebagai langkah untuk menangani penularan wabak Covid-19. Sehubungan itu, ada beberapa laporan mengenai kesan sampingan setelah menerima suntikan tersebut.


Terbaru, seorang remaja perempuan dari Norway menjadi tular di media sosial apabila mendedahkan selepas terima suntikan vaksin, ia memberi kesan sampingan luar biasa buatnya, lapor Sputnik News pada 11 Julai 2021.


Gadis bernama Emma,17, itu berkata, selepas mendapat suntikan vaksin Pfizer beberapa minggu lalu, payudaranya membesar dan saiz pakaian dalamnya berubah dengan ketara.


"Saiz payudara saya kini menjadi tumpuan apabila memuat naik video di laman TikTok. Ramai kenalan yang menegur perubahan ini.


"Apabila saya membuat carian online, rupanya ramai wanita di Amerika Syarikat yang turut mendapat kesan sampingan pembesaran payudara seperti saya," katanya.


Seorang pakar kesihatan memberitahu stesen penyiaran Norway, NRK bahawa kesan sampingan itu mungkin berkaitan dengan kelenjar yang membengkak selepas mendapat suntikan vaksin dan ia bukan satu simptom yang membimbangkan.


"Kami telah melihat beberapa kes di mana kelenjar payudara wanita sedikit membengkak selepas disuntik vaksin," kata Ketua Doktor di Pusat Diagnostik Payudara Nordland Hospital.


Backmann berkata, penerima vaksin yang mengalami kesan sampingan itu boleh menjalani imbasan mamogram selepas empat minggu menerima suntikan jika berasa risau dengan keadaan tersebut.


Gadis bernama Emma dari Norway yang mendakwa saiz payudara membesar selepas terima suntikan vaksin Pfizer.

Rabu, 30 Jun 2021

Saintis Cipta Pelitup Muka Canggih Boleh Kesan Virus Covid-19

Saintis Cipta Pelitup Muka Canggih Boleh Kesan Virus Covid-19


Pelitup separuh muka atau face mask dah jadi satu aksesori wajib di seluruh dunia, dikategorikan sebagai 'perisai' paling penting dalam menghadapi musuh tidak kelihatan Covid-19. Pelitup muka kini antara barangan yang mudah dijumpai di mana-mana untuk kemudahan pelanggan.


Pemakaiannya dikatakan sebagai kaedah pencegahan penting mengelakkan penyebaran 60 peratus penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus itu. Sebab itu lah ramai yang menggunakan peluang ini untuk menghasilkan pelitup muka yang dilihat makin hari makin canggih.


Baru-baru ini, sekumpulan saintis dari Universiti Harvard mencipta sejenis pelitup muka yang boleh mengesan kehadiran virus Covid-19 dalam udara ketika individu memakainya.


Lapor akhbar The Sun, 29 Jun 2021, semalam, mengatakan pelitup muka itu menggunakan sejenis fabrik yang mempunyai sensor yang mampu mengubah warnanya sekiranya udara mengandungi virus tersebut.


Saintis-saintis itu mendakwa, pelitup muka itu dapat mengesan Covid-19 menyamai ketepatan ujian makmal, malah mengambil masa kurang 90 minit untuk menghasilkan keputusan.


"Kami telah memuatkan kesemua peralatan makmal ke dalam sensor kecil yang boleh diletakkan dalam pelitup muka. Ia menggabungkan ketepatan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) dengan ujian antigen yang berkos rendah dan pantas," ujar saintis dari Universiti Harvard, Dr. Peter Nguyen.



Pelitup muka tersebut diperbuat menggunakan enzim yang bertindak balas terhadap bahan kimia dalam virus Covid-19. Sensor pada bahagian tepi pelitup muka tersebut boleh mengesan kehadiran virus Covid-19 dan mengubah warna pelitup muka.


Fungsinya boleh dihidupkan dengan cara menekan satu butang khas yang akan kekal normal sehingga virus dikesan memasuki ke dalam pelitup muka. Ia kemudiannya akan bertindak balas dengan enzim sekali gus menyebabkan warna pelitup muka berubah.


"Warna tersebut akan berubah pada bahagian dalam pelitup muka bagi tujuan privasi," kata Nguyen.


Sementara itu, tambahnya, selain pelitup muka, biosensor tersebut boleh diintegrasikan dengan pakaian lain bagi menyediakan perlindungan bergerak kepada pemakai.


Bagaimanapun, buat masa ini, hanya prototaip yang telah dicipta, dan pasukan saintis berharap agar mana-mana pihak tampil untuk menghasilkan alat tersebut untuk dijual di pasaran.


Prototaip pelitup muka yang boleh mengesan kehadiran virus Covid-19. - Foto Institut Wyss Universiti Harvard.

Ahad, 27 Jun 2021

Banjir Menyebabkan Kubur Terhakis Dan Ratusan Mayat Mangsa Covid-19 Dihanyutkan

Banjir Menyebabkan Kubur Terhakis Dan Ratusan Mayat Mangsa Covid-19 Dihanyutkan


Banjir bermusim yang berlaku di Sungai Ganges menyebabkan ratusan mayat yang ditanam berhampiran sungai berkenaan mula terdedah di permukaan, dan ratusan lagi mayat yang dihanyutkan ditemui terkumpul.


Seorang pegawai di bandar di utara India, Neeraj Kumar Singh berkata, hampir 150 mayat perlu diuruskan bagi proses pembakaran setakat tiga minggu lalu.


"Kami tidak menggali semula kubur, tetapi hanya yang terapung dan mayat yang dapat dilihat akibat kenaikan paras air akan menjalani upacara pembakaran.


"Kawasan ini sejauh satu kilometer persegi dan kami menjangkakan terdapat sekitar 500 hingga 600 mayat terkubur di sini. Langkah berjaga-jaga diambil ketika menjalankan upacara terakhir bagi kesemua mayat," katanya kepada AFP.


Sebahagian besar mayat berkenaan adalah mangsa Covid-19 sekitar April dan Mei ketika India dilanda lonjakan jangkitan yang menyebabkan kemasukan ke hospital meningkat mendadak.


Sesetengah keluarga tidak mampu membeli kayu api bagi upacara pembakaran dan bertindak menghanyutkan mayat dalam sungai, menyebabkan ada yang dibawa arus Sungai Ganges ke tebing pasir berdekatan dengan sungai.


Banjir akibat hujan monsun tahunan menyebabkan lebih banyak mayat dijumpai, sekali gus menimbulkan keraguan mungkin jumlah kematian akibat Covid-19 di India melebihi satu juta.


Dalam serti kata lain, kadar kematian sebenar adalah beberapa kali ganda lebih tinggi berbanding kematian rasmi yang dilaporkan iaitu hampir 400,000.


Sesetengah keluarga tidak mampu membeli kayu api bagi upacara pembakaran dan mayat hanya dihanyutkan dalam sungai, menyebabkan ada yang dibawa arus Sungai Ganges ke tebing pasir berdekatan dengan sungai. - Foto AFP.

Banjir akibat hujan monsun tahunan menyebabkan lebih banyak mayat dijumpai. Hampir 150 mayat perlu diuruskan bagi proses pembakaran setakat tiga minggu lalu. - Foto AFP.

Kakitangan pembersihan kerajaan India dilihat mengumpulkan mayat yang terdedah selepas banjir di Sungai Ganges menghakis kubur cetek mereka di tebing berdekatan untuk upacara pembakaran. - Foto AFP.

Selasa, 15 Jun 2021

Penduduk Yang Sudah Divaksin Dapat Hadiah Lembu

Penduduk Yang Sudah Divaksin Dapat Hadiah Lembu


Pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan tempatan di negeri masing-masing dalam usaha mencapai tahap imuniti kelompok yang tinggi, bagi menggalakkan orang ramai menerima suntikan vaksin bagi membendung penularan Covid-19.


Bulan lalu, penduduk di Amerika Syarikat ditawarkan sepaket ganja secara percuma kepada orang ramai yang mengambil suntikan vaskin di bandar Washington, dalam usaha membendung penularan wabak itu, lapor CNN.


Di Filipina pula, hadiah lumayan diberikan kepada penduduk yang sudah divaksin di bandar San Luis di Pampanga berdekatan Manila, kerajaan perbandaran akan menghadiahkan seekor lembu bernilai AS$628 (RM2,600).


Pegawai Pengurusan Bencana, Ardee Taruc berkata, haiwan itu disumbangkan oleh penderma tempatan dan sangat bermakna kerana San Luis merupakan kawasan pertanian.


"Hadiah lembu mungkin tidak bermakna di tempat lain, tetapi tidak di sini. Seekor lembu mampu mengeluarkan seseorang daripada belenggu kemiskinan. Sekiranya lembu betina, petani dapat menjual susunya," katanya.


Filipina merekodkan bilangan penduduk yang sudah menerima satu dos vaksin sebanyak empat peratus iaitu bersamaan 110 juta penduduk dan 1.4 peratus sudah menerima dos kedua.


Ramai penduduk yang enggan menerima suntikan vaksin selepas mendengar berita mengenai penduduk negara lain yang pengsan, terkena serangan jantung serta mati selepas dicucuk.


Dalam perkembangan sama, bermula Julai depan di Las Pinas, seramai 10 penduduk yang sudah menerima suntikan vaksin akan berpeluang memenangi pakej barangan keperluan bernilai lebih AS$100 (RM411).