Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Sabtu, 8 Januari 2022

Kereta terbang buatan Perancis berharga RM3.78 juta akan berada di pasaran tahun depan

Kereta terbang buatan Perancis berharga RM3.78 juta akan berada di pasaran tahun depan


Syarikat permulaan Perancis, Maca merancang untuk menguji kereta terbang atau 'carcopter' yang dibangunkan oleh firmanya di sebuah litar lumba tahun ini, lapor akhbar Daily Mail pada 5 Januari 2022.


Kenderaan terbang yang dijana kuasa hidrogen itu dilaporkan bernilai hampir 665,000 pound (RM3.78 juta).


Kenderaan mesra alam itu mampu mencapai kelajuan maksimum 249.4 kilometer sejam, sekali gus memberikan pengalaman seperti memandu kereta Formula One.


Kenderaan terbang itu juga tidak menghasilkan sebarang pelepasan karbon dioksida (CO2) dan boleh dikitar semula sepenuhnya.


Firma itu juga berharap agar carcopter dapat menggantikan kereta Formula One dalam bidang sukan.


Maca S11 Carcopter dilancarkan pada malam majlis pembukaan Pameran Elektronik Pengguna 2022 di Las Vegas.


Selain dilengkapi dengan tiga kipas berkuasa rendah, kenderaan itu mempunyai casis logam dan rangka diperbuat daripada karbon, linen dan kayu.


"Maca menggunakan bahan api berasaskan hidrogen pembakaran bersih, juga membolehkan masa penerbangan yang lebih lama berbanding penggunaan bahan api lain," kata ketua pegawai operasi Thierry de Boisvilliers.


Maca, yang bekerjasama rapat dengan Airbus dalam ciptaan itu memaklumkan carcopter itu akan berada di pasaran menjelang Jun 2023.


'Carcopter' Maca S11 telah diperkenalkan pada malam pembukaan Pameran Elektronik Pengguna 2022 di Las Vegas. - Foto Daily Mail.

Selasa, 4 Januari 2022

Polis pecah tingkap kereta kerana patung disangka bayi, terpaksa bayar ganti rugi RM1,243

Polis pecah tingkap kereta kerana patung disangka bayi, terpaksa bayar ganti rugi RM1,243


Tindakan dua anggota polis yang memecah cermin tingkap kereta milik seorang wanita, kerana menyangka dia meninggalkan bayi tanpa pengawasan akhirnya sia-sia kerana 'bayi' itu sebenarnya adalah sebuah anak patung, lapor Daily Mail pada 31 Disember 2021.


Amy McQuillen, 36, ketika kejadian sedang membeli-belah bersama anak perempuannya, Darci McQuillen, 10, apabila polis menerima laporan yang menyatakan bahawa terdapat seorang 'bayi' ditinggalkan di dalam kereta miliknya. 


Sebelum meninggalkan kereta, Darci bertindak mengikat anak patungnya, yang dia namakan Elliot berharga £60 (RM282) itu pada kerusi kereta sorong bayi.


Sekembalinya mereka kira-kira 15 minit kemudian, Amy 'disambut' dua pegawai polis yang berdiri di sebelah kereta jenama Nissan Qashqai miliknya dalam keadaan cermin pecah.



Situasi bertambah serius apabila salah seorang pegawai polis cuba menahannya dengan menggari tangannya, dan bertanya kepadanya adakah dia meninggalkan seorang 'bayi' dalam kereta tanpa pengawasan, lapor laman berita Teeside Live.


"Mereka menggari tangan kanan saya. Saya memberitahu mereka bahawa ia merupakan anak patung, lalu mereka membuka gari tersebut.


"Saya tidak tahu sama ada ingin menangis atau ketawa. Namun, saya juga mungkin bertindak sedemikian jika berada di tempat mereka kerana patung itu berada di kerusi bayi. Mereka memohon maaf selepas itu," jelasnya.


Polis memberitahu Amy bahawa mereka akan membayar ganti rugi £264 (RM1,243) untuk membaiki kerosakan pada tingkap keretanya.


Amy McQuillen mendakwa dikasari anggota polis yang cuba menyelamatkan anak patung yang disangka bayi di dalam kereta.

Ahad, 14 November 2021

Masuk Hutan Simpan Tanpa Permit Sah, 50 Pendaki Ditahan

Masuk Hutan Simpan Tanpa Permit Sah, 50 Pendaki Ditahan


HULU SELANGOR - Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menahan seramai 50 individu kerana melakukan aktiviti pendakian tanpa permit sah di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Semangko di sini, semalam.


Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, kesemua pendaki berusia 21 hingga 50 tahun itu dikesan menerusi operasi khas penguatkuasaan JPNS bermula kira-kira pukul 8 pagi.


Katanya, operasi di laluan pendakian Gunung Gap HSK itu dijalankan hasil maklumat awam mengenai aktiviti pendakian besar-besaran yang dianjurkan individu persendirian tanpa pengetahuan pihaknya.


"Semakan dibuat ke atas semua pendaki berdasarkan data permit sah yang diperoleh daripada PHDHS. Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 50 individu atas kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit sah," katanya.


Jelas Ahmah Fadzil, operasi itu disertai sepasukan 19 pegawai Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor (PHDHS) dan dua anggota polis dari Balai Polis Kuala Kubu Bharu.


Operasi ini berakhir pada jam 6 petang dan semua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut. Semua ditahan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.


"Kesalahan memasuki HSK tanpa permit sah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan)," katanya dalam kenyataan hari ini.


Antara pendaki yang ditahan oleh pegawai PHDHS di HSK Semangko, Hulu Selangor semalam (Sabtu).

Selasa, 2 November 2021

Seludup 5 Wanita Thailand, Anggota PGA Bersama Dua Rakan Didakwa

Seludup 5 Wanita Thailand, Anggota PGA Bersama Dua Rakan Didakwa


Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama dua individu didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini atas pertuduhan menyeludup lima wanita pendatang asing tanpa izin (PATI), awal bulan lalu.


Tertuduh, Muhd. Nor Hafifi Khanapiah 33, yang berpangkat koperal didakwa melakukan kesalahan tersebut bersama dua rakannya, Mohd. Azhar Mohammad, 28 dan Muhammad Rahmat Muhammad, 33.


Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama-sama telah menyeludup lima migran wanita warga Thailand iaitu Yuyanee Yusoh, Nuriyah Mama, Romlah Saa, Haleemoh Chairesai dan Rorpee-Ah Dorloh.


Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di sekatan jalan raya Lalang Pepuyu, Tanah Merah kira-kira pukul 10 malam pada 6 Oktober lalu. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Wan Badrul Munir Mohd. Hamdy.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 20A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala hanya Muhammad Rahmat diwakili peguam bela Shaharuddin Mohamed. Mahkamah menetapkan 9 Disember depan untuk memanggil dan merekodkan keterangan kesemua migran yang terlibat dalam kes itu.


Akhbar sebelum ini melaporkan, cubaan seorang anggota polis berpangkat koperal menyeludup PATI untuk dijadikan pekerja restoran gagal apabila dia diberkas bersama dua rakannya di tepi jalan di Lalang Pepuyu, Tanah Merah.


Anggota PGA itu mengambil PATI dari pangkalan haram berhampiran Sungai Golok untuk dibawa bekerja di kedai makan di Selangor dan dipercayai menyewa MPV tersebut pada kadar RM450 sehari untuk melakukan aktiviti tersebut.


Anggota polis membawa ketiga-tiga tertuduh ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, hari ini. - Foto Utusan Malaysia.

Rabu, 20 Oktober 2021

Tunggang Motosikal Secara Berbahaya, Empat Individu Ditahan Tiga Lagi Diburu

Tunggang Motosikal Secara Berbahaya, Empat Individu Ditahan Tiga Lagi Diburu


Polis menahan empat lelaki termasuk seorang pelajar sekolah dipercayai antara tujuh individu yang sebelum ini menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, tindakan tujuh individu itu tular dalam sebuah video di media sosial, baru-baru ini.


Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Trafik Port Dickson dengan kerjasama pegawai dan anggota Trafik Ibu pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah menahan empat penunggang motosikal itu yang berusia antara 17 tahun hingga 18 tahun.


"Kesemua suspek ditahan pada pukul 1 hingga 4 pagi di lokasi berasingan di kawasan Bukit Rambai dan Cheng Melaka. Salah seorang daripada suspek yang ditahan adalah pelajar sekolah manakala tiga lagi pekerja kurier dan operator kilang," katanya.


Jelas Aidi Sham, keempat-empat suspek ditahan selama tiga hari bermula hari ini di IPD Port Dickson bagi siasatan lanjut, dan kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu atau menunggang secara melulu dan bahaya.


Katanya, jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara kurang lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 dan hilang kelayakan lesen memandu lebih lima tahun.


Dalam pada itu, Aidi Sham berkata, pihak polis sedang berusaha mengesan baki tiga lagi penunggang motosikal yang dikenali sebagai Upa, Darwisy dan Afiq yang terlibat dalam rakaman video yang tular tersebut.


Sebelum ini, berita tempatan melaporkan, polis sedang mengesan tujuh individu yang menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson seperti dipaparkan dalam video yang tular di media sosial pada Ahad lalu.


Video tersebut memaparkan aksi sekumpulan penunggang motosikal seramai tujuh orang menunggang motosikal dengan cara membongkok badan, bersaing sesama sendiri dan membuat aksi zig zag dipercayai membahayakan diri sendiri dan pihak lain.


Aksi tujuh penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.

Ahad, 10 Oktober 2021

Gali Parit Tengah Jalan, Pemandu Jengkaut Berang Rempuh Ford Ranger

Gali Parit Tengah Jalan, Pemandu Jengkaut Berang Rempuh Ford Ranger


Baru-baru ini, sebuah rakaman video tular di media sosial memaparkan sebuah jengkaut merempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger, dinaiki dua beranak di kebun kelapa sawit dekat Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Labu Kubong, Teluk Intan, Rabu lalu.


Berikutan itu, polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan. Tangkapan ke atas suspek berusia 47 tahun dan dua lelaki berusia 28 tahun itu dijalankan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada jam 4.05 petang pada Sabtu.


Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian itu bermula selepas suspek tidak berpuas hati dengan mangsa berusia 24 tahun kerana mengorek jalan di tepi kebunnya untuk dijadikan parit sebagai laluan air.


Katanya, mangsa memberitahu suspek yang laluan itu dibuat kerana kawasan tersebut telah dinaiki air tambahan lagi, ia berada dalam kawasan kebunnya yang seluas 1.8 hektar.


"Semasa mangsa dan bapanya tiba di kebun mereka pada pukul 2.30 petang, Rabu lalu, mereka mendapati laluan yang digali pada sebelah pagi telah ditimbus oleh suspek dan beberapa individu lain.


"Mangsa dan bapanya telah menjelaskan kepada suspek tujuan laluan berkenaan digali namun lelaki itu tidak berpuas hati sehingga menyebabkan pertengkaran mulut sebelum dia bertindak menampar leher mangsa.


"Pada masa sama, jengkaut yang digunakan untuk menimbus laluan itu telah melanggar kereta Ford Ranger milik bapa mangsa, sehingga kenderaan itu mengalami kerosakan sebelum pemandunya turun dan mengejar bapa mangsa menggunakan tukul besi," katanya.


Menurut Ahmad Adnan, siasatan mendapati, laluan yang digali oleh mangsa adalah laluan utama bagi pekebun-pekebun kelapa sawit di kawasan berhampiran. Katanya, mangsa telah mengorek lubang di tengah laluan untuk mengalirkan air agar air tidak bertakung di kawasan kebun miliknya.


Jelasnya, disebabkan parit di gali di tengah jalan, maka ia menyukarkan pekebun sawit yang lain kerana terpaksa menggunakan laluan jauh untuk pergi kebun mereka. Tanah mangsa berkeluasan lebih kurang 1.8 hektar di mana tanah itu adalah milik bapanya dan diusahakan oleh lelaki itu untuk penanaman anak pisang.


Tambah beliau, bertindak atas laporan yang dibuat mangsa, ketiga-tiga suspek diberkas polis semalam dan reman akan dipohon di Mahkamah Masjistret Teluk Intan hari ini. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/427/506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan, khianat dan ugutan jenayah. - Sumber Utusan Malaysia.


Sebuah jengkaut melanggar kenderaan pacuan empat roda berikutan pertengkaran membabitkan sekumpulan individu dan dua beranak di kebun kelapa sawit di RTB Labu Kubong, Teluk Intan.

Sabtu, 2 Oktober 2021

Ular Sawa Seberat 70kg Kenyang Telan Kambing Ditangkap

Ular Sawa Seberat 70kg Kenyang Telan Kambing Ditangkap


TANJUNG MALIM - Seekor ular sawa seberat 70 kilogram (kg) ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selepas reptilia itu kekenyangan menelan seekor kambing di sebuah kandang di Jalan Besar, Behrang Stesen di sini semalam.


Reptilia itu ditemukan oleh salah seorang pekerja kandang kambing berusia 39 tahun ketika beliau sedang membersihkan kandang tersebut. 


Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mualim, Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 2.30 petang semalam (1 September 2021).


Katanya, seramai empat anggota APM dikerahkan ke tempat kejadian bagi menangkap ular sawa berkenaan yang sedang berlingkar di kandang kambing.



"Reptilia itu baru menelan seekor kambing di kandang tersebut dan ditangkap dalam masa 10 minit menggunakan peralatan khas. 


"Ular sawa berkenaan tidak melawan ketika ditangkap kerana kekenyangan selepas menelan seekor kambing," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurut Shahrizal, ini merupakan kejadian pertama berlaku di kandang itu dan APM membawa ular berkenaan pulang ke pejabat terlebih dahulu. 


"Ular ini dibawa ke pejabat dahulu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sungkai," katanya.


Anggota APM Daerah Mualim menangkap ular sawa seberat 70kg yang menelan seekor kambing di Behrang Stesen dekat Tanjung Malim, Perak, semalam. - Foto APM.