Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Isnin, 27 September 2021

Meninggal Dunia Selepas Pulang Daripada Melakukan Aktiviti Berbasikal

Meninggal Dunia Selepas Pulang Daripada Melakukan Aktiviti Berbasikal


Seorang lelaki meninggal dunia di hadapan rumahnya selepas pulang daripada melakukan aktiviti berbasikal di kawasan sekitar rumahnya di Taman Mutiara, Sungai Kob, Kulim, hari ini.


Difahamkan, dalam kejadian 7.10 pagi itu, mangsa yang berusia 52 tahun baru pulang daripada kayuh basikal, dan sebaik tiba di hadapan rumah, mangsa melakukan senaman ringan sebelum dia secara tiba-tiba jatuh dan pengsan.


Beberapa ahli keluarga mangsa cuba memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR), sebelum mereka menghubungi ambulans.


Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, kakitangan hospital yang tiba mendapati mangsa sudah meninggal dunia.


"Siasatan mendapati, mangsa mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi dan dia sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 sebelum ini.


"Pemeriksaan lanjut mendapati, mangsa sebelum ini pernah dijangkiti virus itu pada 28 Ogos lalu dan sembuh selepas menjalani kuarantin selama 14 hari," katanya.


Menurutnya, setakat ini siasatan mendapati tiada unsur jenayah berlaku dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. Jenazah dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian mangsa.


Ahli keluarga cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada seorang lelaki yang rebah selepas pulang menunggang basikal di depan rumahnya di Taman Mutiara, Sungai Kob. - Foto PDRM.

Khamis, 16 September 2021

Lelaki Yang Digelar 'Tarzan Sebenar' Membesar Dalam Hutan 40 Tahun Meninggal Dunia

Lelaki Yang Digelar 'Tarzan Sebenar' Membesar Dalam Hutan 40 Tahun Meninggal Dunia


Seorang lelaki di Vietnam yang digelar 'Tarzan sebenar' kerana dibesarkan di dalam hutan selama 40 tahun, sebelum kembali ke kampung halamannya pada tahun 2013 lalu, dilaporkan meninggal dunia.


Menurut laporan akhbar The Sun pada 13 September 2021, Ho Van Lang, 52 tahun meninggal dunia akibat kanser hati pada 6 September lalu. Lelaki itu hanya menghabiskan lapan tahun terakhir hayatnya bersama masyarakat bertamadun.


Dia tinggal bersama bapanya Ho Van Thanh di sebuah kampung terpencil di negara ini selepas kedua-duanya keluar dari hutan di daerah Tra Bong. Baca juga: Lebih 40 tahun sembunyi dalam hutan, lelaki ini fikir dunia masih dalam peperangan.


Sebelum itu, dua beranak itu hidup dalam hutan seperti kisah filem terkenal Hollywood, dengan memakai pakai dibuat daripada daun selain memburu haiwan untuk dijadikan makanan. Mereka juga langsung tidak berhubung dengan dunia moden lebih empat dekad.



Thanh yang merupakan veteran tentera, mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung kecilnya pada 1972 bersama Lang yang ketika itu berusia dua tahun selepas letupan bom tentera Amerika Syarikat mengorbankan isteri dan dua anaknya yang lain.


Thanh dikatakan mengalami 'fobia mendalam untuk kembali kerana dia tidak percaya bahawa Perang Vietnam telah berakhir' sebelum ditemui oleh penduduk tempatan pada tahun 2013.


Sepanjang tinggal di hutan, dua beranak itu makan sayur-sayuran, buah-buahan, madu dan pelbagai jenis daging termasuk monyet, tikus, ular, cicak, katak, kelawar, burung dan juga ikan. Namun, orang ramai percaya penyesuaian terhadap kehidupan moden merupakan sesuatu yang sukar bagi Lang.


Pengembara, Alvaro Cerezo berkata, dia begitu sedih melihat keadaan dua beranak itu dan merasai penderitaan dialami Lang sejak sebulan lalu. Cerezo sebelum ini pernah merasai kehidupan bersama-sama Lang di dalam hutan selama seminggu dan menulis buku tentang kehidupan lelaki itu.


"Saya sedih melihat pemergian Lang, namun saya tahu ia sesuatu yang baik kerana saya tahu dia menderita beberapa bulan terakhir sebelum meninggal dunia. Saya tidak menganggap dia sesuai untuk hidup dalam suasana moden kerana tidak mampu menerima perubahan drastik.


"Dia menghabiskan seluruh hidupnya tinggal di hutan dan apabila dia berada dalam dunia moden, Lang makan makanan yang diproses dan minum minuman beralkohol," kata Alvaro Cerezo.


Ahad, 12 September 2021

Setahun Simpan Mayat Ibu Untuk Terus Terima Wang Pencen Hingga RM240 Ribu

Setahun Simpan Mayat Ibu Untuk Terus Terima Wang Pencen Hingga RM240 Ribu

Gambar hiasan.

Seorang lelaki di Austria dilaporkan menyimpan mayat ibunya di dalam sebuah bilik bawah tanah selama lebih setahun, sambil terus menerima wang pencen milik wanita itu, lapor Badan Penyiaran British (BBC) pada 10 September 2021.


Lelaki berusia 66 tahun itu 'membekukan' jasad ibunya yang dikatakan meninggal dunia akibat sakit tua pada Jun tahun lalu sebelum menyimpannya di sebuah bilik bawah tanah.


Kejadian itu disahkan oleh polis di negara itu, dan pihak polis percaya lelaki itu telah menerima wang pencen milik wanita berusia 89 tahun itu yang berjumlah £42,000 (RM240,988) secara haram.


Pihak polis menerusi satu kenyataan berkata, penipuan tersebut terbongkar selepas seorang posmen yang menghantar faedah pencen kepada wanita itu di wilayah Tyrol tidak dibenarkan berjumpa dengannya.


Ketua Unit Penipuan Keselamatan Sosial Polis, Helmut Gufler berkata, polis menggeledah dan menemui jasad wanita itu. Suspek kemudian mengaku menyembunyikan kematian ibunya daripada pihak berkuasa Austria bagi membolehkannya menikmati faedah pencen wanita berkenaan.


"Lelaki itu meletakkan mayat ibunya yang meninggal dunia secara semula jadi di dalam sebuah bilik bawah tanah dan menutupi bau mayat menggunakan pek ais yang ditukar secara berkala, manakala cecair badan diserap dengan kain pembalut.


"Ada ketikanya ketika buntu idea, dia turut meletakkan pasir penyerap najis kucing yang menyebabkan lama-kelamaan jasad ibunya terawet secara semula jadi," katanya kepada ORF Tirol seperti dipetik Al-Jazeera.


Gufler kemudian berkata, ketika disoal siasat lelaki tersebut mengaku tidak bekerja dan tiada pendapatan. Bayaran pencen ibunya akan terhenti jika dia melaporkan kematian wanita itu.


Suspek turut memberitahu abangnya bahawa ibu mereka sedang menerima rawatan di sebuah hospital dan tidak wajar dilawati kerana wanita itu menghidap nyanyuk dan mungkin tidak akan mengenali anaknya.

Sabtu, 28 Ogos 2021

Menang Pingat Emas, Bonnie Bakal Terima Habuan RM1 Juta dan Pencen Tetap RM5,000 Sebulan

Menang Pingat Emas, Bonnie Bakal Terima Habuan RM1 Juta dan Pencen Tetap RM5,000 Sebulan


Atlet paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin akan menerima habuan RM1 juta selepas memenangi pingat emas pertama negara pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 menerusi acara powerlifting kategori bawah 72 kilogram (kg).


Bukan hanya RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) yang akan diraih oleh Bonnie dan pencen bernilai RM5,000 sebulan, dia juga akan turut menerima ganjaran bernilai RM100,000 daripada penaja FWD Takaful Berhad.


Pada aksi yang berlangsung di Tokyo International Forum itu, Bonnie melakukan angkatan dengan bebanan seberat 228kg, sekali gus mencipta rekod baharu temasya tersebut.


Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, ganjaran yang akan diterima setiap pemenang pingat masih sama seperti edisi sebelum ini.


"Ya, ganjaran yang akan diterima Bonnie sebagai pemenang pingat emas masih sama seperti edisi Rio sebelum ini, iaitu RM1 juta. Bagaimanapun, kali ini ada sedikit penambahan daripada penaja.


"Oleh itu, setiap pemenang pingat akan menerima ganjaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) serta pihak kerajaan," katanya kepada pemberita pada sidang media secara maya semalam.


Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau akan berbincang dengan pihak kerajaan berhubung ganjaran kepada setiap pemenang.


"Apa yang saya sering sebutkan, amat penting untuk kerajaan fikirkan langkah untuk mantapkan kebolehan atlet serta bagaimana mahu pastikan kehidupan mereka lebih terjamin selepas karier tamat.


"Dengan semangat Malaysia boleh, saya yakin ada banyak lagi atlet yang boleh harumkan nama negara. Kejayaan Bonnie ini akan menjadi pembakar semangat untuk atlet lain membawa emas atau sekurang-kurangnya mengharumkan nama Malaysia dalam apa juga acara," katanya.


Berdasarkan Shakam sedia ada sejak 2012, atlet yang berjaya meraih pingat emas akan menerima RM1 juta serta pencen tetap RM5,000 sebulan, pingat perak RM300,000 serta pencen tetap RM3,000 sebulan dan pingat gangsa RM100,000 serta pencen tetap RM2,000 sebulan.


Bonnie meraih pingat emas dalam acara powerlifting kategori bawah 72 kilogram pada saingan temasya Paralimpik hari ini.

Jumaat, 27 Ogos 2021

Bomba Terima Panggilan Kecemasan Ancaman Ular Rupanya Ketam Nipah

Bomba Terima Panggilan Kecemasan Ancaman Ular Rupanya Ketam Nipah


Disangka ular rupanya ketam nipah. Itu yang ditemukan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar selepas menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Alor Janggus, pada khamis lalu apabila menerima panggilan kecemasan khidmat khas ancaman ular.


Ketua BBP Alor Setar, Ahmad Naufal Abdullah berkata, pada jam 10.02 pagi, pihaknya menerima panggilan kecemasan ancaman ular. Sepasukan anggota dengan sebuah jentera diketuai Zulkifle Mat Esa tiba di lokasi jam 10.18 pagi.


"Setibanya di lokasi, anggota kami melakukan pemantauan serta pencarian di kawasan yang dilaporkan iaitu di dapur. Ketika itu terdapat benda bergerak di bahagian rak pinggan mangkuk. Hasil pencarian yang dilakukan mendapati ia hanyalah seekor ketam nipah yang terlepas," katanya.


Situasi menggelikan hati itu turut dikongsi di laman Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Alor Setar memberitahu, mereka dihubungi oleh sebuah keluarga yang menyangka rumah mereka dimasuki seekor ular.


"Khidmat khas ancaman ular. Sekali ketam daa yang mengancam. Jaga-jaga dik, disepit ketam itu nanti. Apa pun, stay safe yer semua. Terima kasih pemanggil sebab percayakan bomba," tulis dalam perkongsian itu.


Pengguna Facebook yang terhibur dengan hantaran tersebut sempat bergurau-senda mengenai penemuan melucukan berkenaan. "Harap-harap tuan rumah jamulah sikit ketam masak lemak nenas dengan kailan ikan masin esok ya," katanya.


"Aku dulu duduk kampung rumah dekat dengan paya bakau, jadi ketam jalan sampai rumah aku. Aku hantar dia balik paya bakau esok dia datang lagi. Apa yang dia cari pun tak tahulah. Ketam batu ini memang boleh hidup lama di darat," kata seorang lagi netizen.


Anggota bomba menunjukkan ketam nipah yang disangka ular. - Foto ihsan bomba.

Khamis, 26 Ogos 2021

Pemburu Melepaskan Tembakan Disangka Burung, Lelaki Maut Ditembak

Pemburu Melepaskan Tembakan Disangka Burung, Lelaki Maut Ditembak


Seorang lelaki maut ditembak apabila seorang pemburu yang menyangkanya seekor burung di kawasan hutan Nanga Dayu iaitu antara sempadan RH Uding, Ulu Budu, Saratok dengan RH Anthony, Sungai Merah, Dayu Pakan, semalam


Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin, berkata dalam kejadian jam 4 petang, mangsa yang dikenali sebagai Nissa Jamu, 29, meninggal dunia di tempat kejadian.


Katanya, sebelum kejadian, mangsa dan dua rakannya bergerak dari RH Anthony dan mereka berehat seketika di kawasan itu sebelum memulakan pemburuan.


"Suspek pula adalah lelaki 45 tahun yang memburu sendirian dari arah Ulu Budu, Saratok. Apabila tiba di lokasi, dia didakwa melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka seekor burung.


"Selepas tembakan itu, suspek ke tempat mangsa dan mendapati dia telah tersalah tembak. Dia didakwa meminta maaf kepada dua rakan mangsa dan pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Andam berkata, bagaimanapun suspek tampil menyerah diri di Balai Polis Julau dan ditahan kira-kira 2 pagi hari ini. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut.


Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati lebih 15 kesan tembakan dijumpai di belakang badan dan kepala mangsa. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Katanya, kes juga disiasat mengikut seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM 10,000 atau kedua-duanya.


Senapang, peluru serta peralatan yang dirampas daripada suspek yang menembak seorang lelaki ketika berburu di kawasan hutan Nanga Dayu, Pakan. - Foto Melvin Joni.

Selasa, 24 Ogos 2021

Pembaca Meter TNB Cedera Digigit Anjing Ketika Bertugas

Pembaca Meter TNB Cedera Digigit Anjing Ketika Bertugas


Seorang pembaca meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) cedera di tangan kanannya akibat digigit seekor anjing ketika menjalankan tugas di Jalan Api-Api 1, Taman Megah Ria, Johor Bahru, Johor, kelmarin (Ahad).


Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd. Faridzuan Nordin, 27, dikatakan telah diterkam oleh anjing yang meluru keluar dari sebuah rumah di taman perumahan itu apabila pintu pagar kecil dibuka.


Difahamkan, pintu pagar kecil itu dibuka oleh cucu pemilik rumah tersebut. Menerusi perkongsian yang tular di media sosial semalam, mangsa dan anak pemilik anjing kemudian dilaporkan bergelut dengan anjing berkenaan beberapa minit sebelum haiwan itu melepaskan gigitan.


Mangsa yang kesakitan dan terkejut kemudiannya dilaporkan meminta bantuan di aplikasi WhatsApp dengan menghantar gambar digigit anjing pada 12.15 tengah hari.


Susulan itu, beberapa orang rakan sekerja berhampiran segera datang ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa dan membawanya ke klinik untuk mendapatkan suntikan dan rawatan susulan.


Mangsa bagaimanapun dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk membuat pemeriksaan dan rawatan lanjut. Insiden digigit anjing itu menyebabkan mangsa mengalami luka akibat gigitan di lengan kanan yang agak serius, ibu jari tangan kiri dan calar-calar di bahagian kaki kiri.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan telah menerima laporan yang dibuat mangsa pada hari sama kejadian berlaku.


"Mangsa bagaimanapun secara sukarela menarik balik laporan itu setelah perbincangan dibuat oleh kedua-dua belah pihak. Kes telah diselesaikan dengan baik," jelas beliau.


Seorang pembaca meter TNB cedera selepas digigit anjing dalam kejadian di Taman Megah Ria, Johor Bahru, Johor.