Sabtu, 28 Ogos 2021

Menang Pingat Emas, Bonnie Bakal Terima Habuan RM1 Juta dan Pencen Tetap RM5,000 Sebulan


Atlet paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin akan menerima habuan RM1 juta selepas memenangi pingat emas pertama negara pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 menerusi acara powerlifting kategori bawah 72 kilogram (kg).


Bukan hanya RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) yang akan diraih oleh Bonnie dan pencen bernilai RM5,000 sebulan, dia juga akan turut menerima ganjaran bernilai RM100,000 daripada penaja FWD Takaful Berhad.


Pada aksi yang berlangsung di Tokyo International Forum itu, Bonnie melakukan angkatan dengan bebanan seberat 228kg, sekali gus mencipta rekod baharu temasya tersebut.


Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, ganjaran yang akan diterima setiap pemenang pingat masih sama seperti edisi sebelum ini.


"Ya, ganjaran yang akan diterima Bonnie sebagai pemenang pingat emas masih sama seperti edisi Rio sebelum ini, iaitu RM1 juta. Bagaimanapun, kali ini ada sedikit penambahan daripada penaja.


"Oleh itu, setiap pemenang pingat akan menerima ganjaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) serta pihak kerajaan," katanya kepada pemberita pada sidang media secara maya semalam.


Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau akan berbincang dengan pihak kerajaan berhubung ganjaran kepada setiap pemenang.


"Apa yang saya sering sebutkan, amat penting untuk kerajaan fikirkan langkah untuk mantapkan kebolehan atlet serta bagaimana mahu pastikan kehidupan mereka lebih terjamin selepas karier tamat.


"Dengan semangat Malaysia boleh, saya yakin ada banyak lagi atlet yang boleh harumkan nama negara. Kejayaan Bonnie ini akan menjadi pembakar semangat untuk atlet lain membawa emas atau sekurang-kurangnya mengharumkan nama Malaysia dalam apa juga acara," katanya.


Berdasarkan Shakam sedia ada sejak 2012, atlet yang berjaya meraih pingat emas akan menerima RM1 juta serta pencen tetap RM5,000 sebulan, pingat perak RM300,000 serta pencen tetap RM3,000 sebulan dan pingat gangsa RM100,000 serta pencen tetap RM2,000 sebulan.


Bonnie meraih pingat emas dalam acara powerlifting kategori bawah 72 kilogram pada saingan temasya Paralimpik hari ini.


EmoticonEmoticon