Ahad, 12 September 2021

Setahun Simpan Mayat Ibu Untuk Terus Terima Wang Pencen Hingga RM240 Ribu

Gambar hiasan.

Seorang lelaki di Austria dilaporkan menyimpan mayat ibunya di dalam sebuah bilik bawah tanah selama lebih setahun, sambil terus menerima wang pencen milik wanita itu, lapor Badan Penyiaran British (BBC) pada 10 September 2021.


Lelaki berusia 66 tahun itu 'membekukan' jasad ibunya yang dikatakan meninggal dunia akibat sakit tua pada Jun tahun lalu sebelum menyimpannya di sebuah bilik bawah tanah.


Kejadian itu disahkan oleh polis di negara itu, dan pihak polis percaya lelaki itu telah menerima wang pencen milik wanita berusia 89 tahun itu yang berjumlah £42,000 (RM240,988) secara haram.


Pihak polis menerusi satu kenyataan berkata, penipuan tersebut terbongkar selepas seorang posmen yang menghantar faedah pencen kepada wanita itu di wilayah Tyrol tidak dibenarkan berjumpa dengannya.


Ketua Unit Penipuan Keselamatan Sosial Polis, Helmut Gufler berkata, polis menggeledah dan menemui jasad wanita itu. Suspek kemudian mengaku menyembunyikan kematian ibunya daripada pihak berkuasa Austria bagi membolehkannya menikmati faedah pencen wanita berkenaan.


"Lelaki itu meletakkan mayat ibunya yang meninggal dunia secara semula jadi di dalam sebuah bilik bawah tanah dan menutupi bau mayat menggunakan pek ais yang ditukar secara berkala, manakala cecair badan diserap dengan kain pembalut.


"Ada ketikanya ketika buntu idea, dia turut meletakkan pasir penyerap najis kucing yang menyebabkan lama-kelamaan jasad ibunya terawet secara semula jadi," katanya kepada ORF Tirol seperti dipetik Al-Jazeera.


Gufler kemudian berkata, ketika disoal siasat lelaki tersebut mengaku tidak bekerja dan tiada pendapatan. Bayaran pencen ibunya akan terhenti jika dia melaporkan kematian wanita itu.


Suspek turut memberitahu abangnya bahawa ibu mereka sedang menerima rawatan di sebuah hospital dan tidak wajar dilawati kerana wanita itu menghidap nyanyuk dan mungkin tidak akan mengenali anaknya.


EmoticonEmoticon