Ahad, 12 September 2021

Tentera Laut Itali Dikejutkan Penemuan Ikan Pelik Berwajah Khinzir, Badan Seperti Ikan Jerung


Ikan berwajah pelik. Sekumpulan petugas kapal tentera laut Itali terkejut apabila melihat seekor ikan yang baru dibawa naik dari laut, kelihatan mukanya seperti Khinzir namun memiliki badan seperti ikan jerung.


Menurut laporan Mirror pada 9 September 2021, ikan itu mula-mula dikesan oleh seorang pegawai tentera sebelum mereka menarik naik ketika berada di perairan Darsena Medicea di bandar Portoferraio, Itali.


Semasa menarik ikan itu naik, mereka menyangkakan ia adalah ikan jerung biasa yang bermutasi dengan muka kelihatan seperti khinzir. Namun, ikan itu dikenal pasti sebagai Oxynotus Centrina iaitu jerung yang sangat jarang ditemukan.


Haiwan itu biasanya hidup sejauh 700 meter di bawah permukaan laut. Ikan itu disenaraikan dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Mengenai Pemuliharaan Semula Jadi (IUCN) sebagai terancam kerana jarang dilihat.



Walaupun jerung itu ditemukan sejak tiga minggu lalu, penemuannya menjadi tular ketika gambar haiwan laut kelihatan pelik dimuat naik dalam media sosial. Hantaran itu menerima ratusan komen termasuk kritikan daripada netizen yang mendakwa jerung itu ditangkap dan dibunuh dengan sengaja.


Sebaik dikeluarkan dari air, ikan besar itu dibawa ke pejabat pelabuhan untuk kajian dan dilepaskan semula ke laut. Yuri Tiberto dari Elba Aquarium memberitahu media tempatan bahawa ikan itu tidak biasa untuk dilihat oleh penduduk tempatan kerana ia jarang ditemui.


"Ikan ini biasanya disebut 'ikan Khinzir' kerana ketika keluar dari air, ia kelihatan seperti sesuatu. Di kepulauan Tuscan begitu kaya dengan pelbagai hidupan, ikan ini selalu ditemui.


"Saya sering terima laporan mengenai penemuan ikan ini yang berakhir di jaring nelayan tempatan. Ikan besar ini kebanyakan mendiami Lautan Atlantik Timur dan Laut Tengah dan terkenal dengan kepalanya yang lebar dan muncung tumpulnya yang gemuk," katanya.


Seekor ikan jerung yang dikatakan berwajah Khinzir.


EmoticonEmoticon