Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan

Khamis, 25 November 2021

Angkasawan rakam imej menakjubkan letusan suria ketika ia mengeluarkan ledakan terbesar

Angkasawan rakam imej menakjubkan letusan suria ketika ia mengeluarkan ledakan terbesar


Seorang angkasawan dari Agensi Angkasa Lepas Eropah berjaya merakam imej letusan suria yang menerangi bahagian utara Bumi, lapor akhbar Daily Star pada 9 November 2021.


Thomas Pesquet yang berkongsikan imej itu di akaun Twitter miliknya berkata, letusan suria tersebut sedang mengeluarkan ledakan terbesarnya ketika rakaman diambil.


"Kami 'dipersembahkan' dengan ledakan terkuat yang ditemui sepanjang melakukan misi di Amerika Utara dan Kanada.


"Ledakan yang menakjubkan itu lebih tinggi dari orbit kami. Kami terbang tepat di atas pusat jajaran, dengan gelombang pantas dan kuat berlaku di sekitarnya," tulis Pesquet di Twitternya.



Penemuan itu dirakam hanya beberapa minggu selepas kejadian letusan suria besar meletus dari Matahari dalam salah satu ribut suria paling kuat pernah direkodkan.


Matahari melepaskan letusan yang paling berkuasa, iaitu suar suria kelas X1 yang memuncak pada 11.35 malam (waktu tempatan), 28 Oktober lepas. Suar suria ialah letusan sinaran besar-besaran dari matahari yang menghantar zarah bercas mengalir keluar dari bintang.


Pakar mengklasifikasikannya dalam sistem huruf, dengan ribut kelas C agak lemah, kelas M lebih sederhana dan suar kelas X antara yang paling kuat. Kelas X menandakan suar paling sengit, manakala nombor itu memberikan lebih banyak maklumat tentang kekuatannya.


"X2 adalah dua kali lebih sengit daripada X1, X3 adalah tiga kali lebih sengit dan seterusnya. Suar yang dikelaskan X10 atau lebih kuat dianggap luar biasa sengit," kata NASA dalam satu kenyataan.


Suar solar terbesar pernah dirakamkan NASA. - Foto Thomas Pesquet/NASA.

Selasa, 23 November 2021

Ahli Astronomi India Temui Beberapa Bintang Lebih Panas Daripada Matahari

Ahli Astronomi India Temui Beberapa Bintang Lebih Panas Daripada Matahari


Sepasukan ahli astronomi India dilaporkan telah menemui beberapa bintang yang dikatakan lebih panas daripada matahari, mempunyai medan magnet luar biasa kuat dan angin bintang (stellar) yang lebih kuat, lapor laman berita Wion News pada 20 November 2021.


Pasukan ahli astronomi berpangkalan di Pune itu menemui bintang-bintang tersebut dengan menggunakan Teleskop Radio Gergasi Metwave (GMRT). Lapan bintang itu tergolong dalam kelas yang jarang ditemui dikenali sebagai Pemancar Nadi Radio Urutan Utama (MRPs).


Kumpulan saintis diketuai oleh ahli astronomi Pusat Astrofizik Radio Nasional (NCRA) itu menemui kelas bintang yang jarang ditemui. Dalam satu kenyataan akhbar, NCRA berkata, pasukan tersebut turut menemui tiga lagi bintang seperti itu sebelum ini dengan menggunakan GMRT.


Daripada kesemua 15 bintang jenis MRP yang ditemui setakat ini, 11 daripadanya dijumpai dengan menggunakan GMRT yang dinaik taraf (uGMRT), dan lapan daripadanya ditemui pada 2021. Kata NCRA, ia berkat lebar jalur yang luas dan sensitiviti tinggi uGMRT.


"Penemuan ini adalah hasil tinjauan berterusan menggunakan GMRT yang dilancarkan khusus untuk tujuan menyelesaikan misteri bintang MRP," katanya.


Kejayaan program GMRT telah merevolusikan tanggapan tentang kelas bintang ini dan membuka cabang baharu dalam mengkaji magnetosfera eksotiknya, kata NCRA.


Menurut kenyataan itu lagi, MRP pertama ditemui pada tahun 2000, namun selepas GMRT dinaik taraf, semakin banyak penemuan bintang sedemikian dilaporkan beberapa tahun kebelakangan ini.


Kata NCRA, kejayaan tinjauan dengan uGMRT mencadangkan bahawa tanggapan semasa MRP adalah objek yang jarang ditemui mungkin tidak betul. Sebaliknya, ia mungkin lebih biasa, tetapi sukar untuk dikesan.


"Ini disebabkan oleh fakta bahawa denyutan radio kelihatan hanya pada masa tertentu, dan fenomena itu kebanyakannya boleh diperhatikan pada frekuensi radio rendah.


"Ini adalah julat frekuensi di mana uGMRT menonjol sebagai teleskop paling sensitif di dunia. Kepekaan tinggi uGMRT dan keupayaannya untuk membuat imej resolusi tinggi memainkan peranan penting dalam membolehkan pemulihan isyarat berdenyut daripada pelbagai jenis sinaran datang dari langit.


 "Ini digabungkan dengan kempen pemerhatian strategik, membolehkan ahli astronomi mengatasi kesukaran, dan mendedahkan sifat sebenar objek ini," Kata NCRA.


Matahari bukanlah bintang paling panas di alam semesta ini. - Foto AFP.

Teleskop Radio Gergasi Metwave (GMRT). - Foto Wikipedia.

Ahad, 21 November 2021

Penemuan oksigen di Bulan berita baik untuk kelangsungan hidup berbilion manusia selama 100,000 tahun

Penemuan oksigen di Bulan berita baik untuk kelangsungan hidup berbilion manusia selama 100,000 tahun


Kajian yang dilakukan oleh Agensi Angkasa Australia dengan kerjasama Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) mengesan kehadiran sejumlah besar oksigen di Bulan, lapor The Conversation pada 11 November 2021.


Berdasarkan kuantiti, oksigen yang ditemui itu mencukupi untuk kelangsungan hidup berbilion manusia selama 100,000 tahun. Bagaimanapun, oksigen yang terdapat di Bulan belum lagi dalam bentuk gas atau sebatian untuk digunakan manusia seperti yang ada di Bumi.


Oksigen di situ masih terperangkap dalam regolit Bulan. Satu meter padu regolit Bulan mengandungi 1.4 tan mineral termasuk 630 kilogram oksigen. Manusia memerlukan kira-kira 800 gram oksigen setiap hari.


Dengan 630 kilogram oksigen adalah mencukupi untuk keperluan pernafasan manusia selama dua tahun. Lapisan regolit di seluruh permukaan Bulan dikatakan mencukupi untuk membekalkan kehidupan sekurang-kurangnya lapan bilion manusia dalam tempoh 100,000 tahun.


Regolit itu sendiri adalah lapisan bahan di sekeliling Bulan yang asli dan belum disentuh. Berdasarkan pengiraan, regolit mengandungi 45 peratus oksigen di dalamnya. Bagaimanapun, oksigen terikat rapat ke dalam mineral seperti hidrogen, neon dan argon.


Ia memerlukan tenaga dan teknologi canggih untuk memisahkan oksigen dan membentangkannya sebagai gas untuk digunakan seperti yang terdapat di bumi pada hari ini.


Untuk mengekstrak oksigen daripada regolit masih jauh dari realiti. Ia memerlukan banyak kajian bagi menjawab persoalan sama ada manusia boleh hidup di Bulan atau tidak.


Penemuan oksigen di permukaan bulan dikatakan berita baik untuk kelangsungan hidup manusia. - Gambar hiasan.

Sabtu, 20 November 2021

Misi Manusia Ke Marikh Tingkatkan Peluang Makhluk Asing Ceroboh Bumi Memusnahkan Ekosistem

Misi Manusia Ke Marikh Tingkatkan Peluang Makhluk Asing Ceroboh Bumi Memusnahkan Ekosistem


Satu kajian mendapati bahawa misi manusia ke planet Marikh telah meningkatkan potensi serangan makhluk asing ke atas Bumi, lapor akhbar Daily Star pada 17 November 2021.


Laporan baharu daripada seorang pakar dalam bidang ekologi dan spesies penceroboh, Profesor Anthony Ricciardi menyatakan bahawa makhluk asing dari Marikh boleh memusnahkan ekosistem di Bumi.


"Bahaya yang datang bukan daripada 'lelaki hijau' yang tiba dengan piring terbang, tetapi daripada pencemaran mikrobiologi daripada persekitaran luar Bumi.


"Bakteria dan kulat boleh melekat pada kapal angkasa dan bertahan untuk hidup ketika kenderaan angkasa pulang ke Bumi, sekali gus memberi ancaman kepada ekosistem planet ini," katanya.


Tegasnya, disebabkan kosnya yang besar kepada sektor sumber dan kesihatan manusia, pencerobohan biologi merupakan isu bio-keselamatan global yang memerlukan penyelesaian rentas sempadan yang ketat.


"Era penerokaan angkasa lepas membawa risiko baharu iaitu pencerobohan. Ia juga dikhuatiri organisma serupa dari Bumi boleh bertahan dalam perjalanan ke planet lain dan mempunyai kesan yang sama di sana," katanya.


Sementara itu, Ricciardi turut memberi amaran bahawa interaksi perumah parasit boleh menjadi ancaman, seperti yang ditulisnya dalam jurnal BioScience.


"Penyelidikan dalam sains berkaitan pencerobohan telah menghasilkan pandangan baru untuk epidemiologi, evolusi pesat, hubungan antara biodiversiti dan dinamik interaksi pemangsa dan perumah parasit.


"Protokol untuk pengesanan awal, penilaian bahaya, tindak balas pantas dan prosedur pembendungan, yang kini digunakan untuk spesies invasif di Bumi boleh disesuaikan untuk menangani bahan cemar dari angkasa lepas yang berpotensi," katanya.


Misi manusia ke marikh membuatkan makhluk asing lebih mudah menceroboh Bumi. - Foto Getty Images.

Khamis, 18 November 2021

Asteroid Bersaiz 190 Meter Hentam Orbit Bumi Hujung Minggu Ini

Asteroid Bersaiz 190 Meter Hentam Orbit Bumi Hujung Minggu Ini


Sebelum ini, Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) telah memberi amaran bahawa asteroid besar akan menghentam Bumi pada bila-bila masa. Agensi itu juga menyeru supaya kajian global tentang ancaman asteroid terhadap planet Bumi dilakukan.


Pentadbir NASA Jim Bridenstine percaya, asteroid prospek akan memusnahkan kehidupan manusia dengan menghentam Bumi bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh, atau dilihat sebagai adegan sains fiksyen seperti dalam filem Hollywood.


Memetik laporan akhbar Daily Star pada 16 November 2021 lalu, agensi itu baru-baru ini mendedahkan bahawa sebuah asteroid bersaiz lebih besar daripada London Eye diramal menghentam orbit Bumi pada hujung minggu ini.


Asteroid dinamakan sebagai 2016 JG12 itu pertama kali dikesan pada 3 Mei 2016. Ia kini berada pada jarak hanya 5.98 juta kilometer dari Bumi dan berdiameter kira-kira 190 meter. Bila diukur dengan jarak cahaya, asteroid itu hanya 19 saat dari Bumi.


Meskipun asteroid tersebut akan mengambil masa sedikit lama untuk tiba di orbit Bumi, ahli-ahli astronomi akan memantau rapat pergerakannya kerana jaraknya dianggap tidak begitu jauh.


Sekiranya pergerakannya kekal berada pada trajektori yang sama dan sekadar melintasi Bumi berbanding menghentam planet ini, asteroid tersebut boleh dilihat sekitar pukul 12.23 tengah malam (waktu tempatan), Sabtu ini.


Menurut the-sky.org, asteroid itu akan bergerak pada kelajuan 7 kilometer sesaat pada jarak 5.52 juta kilometer di Bumi. Bagaimanapun, saintis belum dapat mengenal pasti lokasi ia boleh dilihat.


Jika asteroid itu menghentam Bumi, mungkin kesannya sebesar ini. - Foto Getty Images.

Sabtu, 13 November 2021

Bulan Pernah Pecah, Serpihannya Asteroid Kamo Oalewa Berdekatan Dengan Bumi

Bulan Pernah Pecah, Serpihannya Asteroid Kamo Oalewa Berdekatan Dengan Bumi


Para saintis mengenal pasti ketulan kecil yang menjejaki orbit bumi adalah asteroid Kamo Oalewa yang berasal dari bulan, lapor laman berita The Guardian pada 11 November 2021.


Asteroid itu pernah ditemukan pada 2016, namun sehingga kini agak sedikit maklumat mengenainya. Pemerhatian baharu meyakini saintis ia adalah serpihan dari bulan yang terapung di angkasa akibat pelanggaran bulan purba.


Kamo Oalewa merupakan antara satelit separa bumi iaitu kategori asteroid yang mengorbit matahari dan paling hampir dengan bumi dengan jarak kira-kira 14.4 juta kilometer.


Walaupun asteroid itu adalah dekat daripada aspek astronomi, dan saiznya sebesar roda Ferris, ia tetap sukar dikesan kerana asteroid itu lebih samar daripada bintang paling samar yang boleh dilihat dengan mata kasar.


Teleskop Binokular Besar di Gunung Graham di selatan Arizona, adalah teleskop bumi paling canggih itu digunakan untuk membuat pemerhatian tersebut.


"Saya melihat melalui setiap spektrum asteroid berhampiran bumi yang kami ada akses, dan tiada yang sepadan," kata Ben Sharkey, pelajar PhD di Universiti Arizona.


Selepas terlepas peluang untuk memerhati lebih lanjut asteroid tersebut pada April 2020 berikutan penutupan teleskop semasa penularan Covid-19, pasukan itu menemui bahagian terakhir teka-teki pada 2021.


Ahli astronomi mendapati spektrum cahaya yang dipantulkan dari asteroid tersebut sepadan dengan batu angkasa bulan dari misi Apollo Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA).


Gambaran asteroid Kamo Oalewa yang terletak antara bumi dan bulan. - Foto University Of Arizona.
Kanak-Kanak Dakwa Pernah Hidup Di Planet Marikh, Dilahirkan Semula Di Bumi Untuk Selamatkan Manusia

Kanak-Kanak Dakwa Pernah Hidup Di Planet Marikh, Dilahirkan Semula Di Bumi Untuk Selamatkan Manusia


Seorang budak lelaki di Rusia mendakwa pernah hidup di planet Marikh sehinggalah perang nuklear memusnahkan atmosfera dan semua tamadun di planet itu, lapor laman berita The Sun pada 10 November 2021.


Boriska Kipriyanovich, kemudian dilahirkan semula di Bumi untuk menyelamatkan manusia, dan mampu mengingati kehidupannya yang terdahulu. Dia membuat dakwaan berkenaan dalam satu video yang menjadi tular pada tahun 2017.


Dilaporkan, ketika itu, Boriska hanya berusia 11 tahun. Menerusi video tersebut, Boriska memberi amaran kepada penduduk di bumi kononnya kepupusan dan konflik berpanjangan akan berlaku.


Boriska turut mendakwa spesies makhluk musnah di tempat asalnya akibat konflik nuklear yang berlaku ribuan tahun lalu dan dia bimbang Bumi akan mengalami nasib yang sama. Katanya, meskipun planet itu musnah, masih ada yang terselamat selepas membina tempat perlindungan dan menghasilkan senjata baharu.


Dakwanya, dia dilahirkan semula di Bumi bersama ramai lagi yang sama 'jenis' dengannya bagi menyelamatkan manusia. Boriska merujuk dirinya dan rakan sejenisnya sebagai 'anak indigo'. Dia mendakwa pertama kali melawat Bumi sebagai perintis makhluk Marikh pada zaman Mesir.


"Saya ingat pada masa itu, ketika berusia 14 atau 15 tahun. Makhluk Marikh telah melancarkan peperangan setiap masa jadi saya terpaksa menyertai serbuan udara dengan seorang rakan," kata Boriska dalam temu bual tersebut.


Menurut Boriska, kapal angkasa Marikh sangat rumit. Ia berlapis dan boleh terbang di seluruh alam semesta. Boriska turut mendakwa makhluk Marikh boleh mencapai ketinggian 7 kaki, penuaan terhenti sekitar 30-35 tahun dan bernafas dalam karbon dioksida.


Sementara itu, ibu kepada Boriska berkata, dia mengetahui anak lelakinya merupakan bayi luar biasa sejurus selepas dilahirkan. Malah, wanita itu mendakwa anaknya mampu mengangkat kepala sendiri ketika hanya berusia dua minggu selepas dilahirkan.


Sekumpulan doktor pula mendakwa Boriska sudah mula bercakap beberapa bulan selepas dilahirkan serta mampu membaca dan melukis ketika berusia satu tahun setengah.


Boriska Kipriyanovich membuat dakwaan itu dalam satu video yang menjadi tular pada 2017. - Foto YouTube.