Sabtu, 13 November 2021

Kanak-Kanak Dakwa Pernah Hidup Di Planet Marikh, Dilahirkan Semula Di Bumi Untuk Selamatkan Manusia


Seorang budak lelaki di Rusia mendakwa pernah hidup di planet Marikh sehinggalah perang nuklear memusnahkan atmosfera dan semua tamadun di planet itu, lapor laman berita The Sun pada 10 November 2021.


Boriska Kipriyanovich, kemudian dilahirkan semula di Bumi untuk menyelamatkan manusia, dan mampu mengingati kehidupannya yang terdahulu. Dia membuat dakwaan berkenaan dalam satu video yang menjadi tular pada tahun 2017.


Dilaporkan, ketika itu, Boriska hanya berusia 11 tahun. Menerusi video tersebut, Boriska memberi amaran kepada penduduk di bumi kononnya kepupusan dan konflik berpanjangan akan berlaku.


Boriska turut mendakwa spesies makhluk musnah di tempat asalnya akibat konflik nuklear yang berlaku ribuan tahun lalu dan dia bimbang Bumi akan mengalami nasib yang sama. Katanya, meskipun planet itu musnah, masih ada yang terselamat selepas membina tempat perlindungan dan menghasilkan senjata baharu.


Dakwanya, dia dilahirkan semula di Bumi bersama ramai lagi yang sama 'jenis' dengannya bagi menyelamatkan manusia. Boriska merujuk dirinya dan rakan sejenisnya sebagai 'anak indigo'. Dia mendakwa pertama kali melawat Bumi sebagai perintis makhluk Marikh pada zaman Mesir.


"Saya ingat pada masa itu, ketika berusia 14 atau 15 tahun. Makhluk Marikh telah melancarkan peperangan setiap masa jadi saya terpaksa menyertai serbuan udara dengan seorang rakan," kata Boriska dalam temu bual tersebut.


Menurut Boriska, kapal angkasa Marikh sangat rumit. Ia berlapis dan boleh terbang di seluruh alam semesta. Boriska turut mendakwa makhluk Marikh boleh mencapai ketinggian 7 kaki, penuaan terhenti sekitar 30-35 tahun dan bernafas dalam karbon dioksida.


Sementara itu, ibu kepada Boriska berkata, dia mengetahui anak lelakinya merupakan bayi luar biasa sejurus selepas dilahirkan. Malah, wanita itu mendakwa anaknya mampu mengangkat kepala sendiri ketika hanya berusia dua minggu selepas dilahirkan.


Sekumpulan doktor pula mendakwa Boriska sudah mula bercakap beberapa bulan selepas dilahirkan serta mampu membaca dan melukis ketika berusia satu tahun setengah.


Boriska Kipriyanovich membuat dakwaan itu dalam satu video yang menjadi tular pada 2017. - Foto YouTube.


EmoticonEmoticon