Rabu, 12 Ogos 2026

Pijak, pukul cucu tiri guna tangan dan kaki hingga maut, suri rumah didakwa membunuh


Suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi, hari ini, atas tuduhan membunuh cucu tirinya, akhir bulan lalu.


Tertuduh, Nurul Farhana Laili Shah, 39, faham akan pertuduhan itu, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Hafizah Abdul Rajak.


Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa membunuh Nur Anggun Dahlia Abdullah, 16 bulan, di Jalan SS6/13, Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, antara jam 12.30 tengah hari, 30 Julai lalu hingga 9.30 pagi, 31 Julai lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa, manakala tertuduh diwakili peguam Lydiana Mansor.


Mahkamah kemudian menetapkan 12 Disember nanti untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia, bedah siasat dan asid deoksiribonukleik (DNA). Tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh.


Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, seorang wanita yang juga nenek tiri kepada seorang bayi perempuan ditahan selepas disyaki mendera sehingga mendatangkan kematian kepada bayi berkenaan.


Beliau dilaporkan berkata, wanita itu menjaga bayi berkenaan sejak dia lahir selepas ibu bayi tidak sah taraf itu yang juga remaja berusia 18 tahun meninggalkan anaknya di bawah jagaan wanita itu memandangkan dia masih lagi menuntut di sebuah kolej vokasional di negeri ini.


"Pada peringkat awal, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mengabaikan mangsa sehingga meninggal dunia selepas wanita itu membuat laporan polis mendakwa bayi berkenaan meninggal dunia ketika tidur.


"Namun, bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan oleh trauma di bahagian perut dan dada akibat objek tumpul.


"Terdapat juga kesan luka dan lebam di badan bayi berkenaan dipercayai akibat daripada perbuatan penganiayaan ke atasnya sehingga menyebabkannya meninggal dunia," katanya.


Ab Rahaman turut dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati wanita warga tempatan itu memijak dan memukul mangsa menggunakan tangan dan kakinya sebelum kertas siasatan kemudian diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


EmoticonEmoticon