Rabu, 28 Januari 2026

PM hilang sabar, beri tempoh seminggu buat perubahan atau turun jawatan


Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada pimpinan tertinggi agensi penguat kuasa dengan menetapkan tempoh seminggu untuk menyatakan kesediaan memikul amanah dan melakukan pembaharuan atau bersedia diturunkan ke jawatan lebih rendah, susulan masih wujud kelemahan serius dalam aspek penguatkuasaan.


Perdana Menteri menegaskan, meskipun kerajaan mencatat pelbagai kejayaan dari segi ekonomi dan pemerintahan sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran, ruang untuk melakukan penambahbaikan masih luas dan tidak boleh dipandang ringan.


Katanya, kejayaan yang dicapai wajar diraikan, namun pada masa sama kerajaan perlu bersikap insaf dengan menilai secara jujur kekuatan dan kelemahan yang masih wujud, khususnya dalam kalangan agensi penguat kuasa.


"Tetapi kira-kira tiga tahun (kemudi kerajaan), saya merasakan ada ruang yang mesti (diperbaiki), kelemahan tidak boleh dihargai baik dari segi pencerobohan atau penyeludupan atau kegiatan-kegiatan gelap yang masih berlaku dan ada kalanya dengan ruang dan keizinan keadaan.


"Saya nak berikan kata-kata yang keras dan singkat, sudah sampai ketikanya di mana kita harus beri jawapan, kalau sudah diamanahkan dan rasanya kurang mampu menerima cabaran besar dan ujian berat dan pelawaan (penyelewengan) terlalu menarik, saya syorkan untuk dimaklumkan dalam tempoh seminggu ini kepada ketua-ketua jabatan, kepada saya sendiri atau menteri.


"Sila bagi tahu kita belum bersedia untuk mengambil (amanah sebagai pemimpin penguat kuasa). Tempoh satu minggu. Kenapa saya pilih untuk menyatakan ini? Kerana saya sampai ke tahap hilang kesabaran dan merasakan masih ada kelemahan dan ruang kelompangan yang wajib diperbaiki," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat YAB Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Penguatkuasaan Yang Berhubungan Dengan Jenayah Kewangan di Putrajaya hari ini.


Anwar berkata, sudah sampai masanya pimpinan tertinggi penguat kuasa memberikan jawapan sama ada mereka benar-benar bersedia memikul tanggungjawab besar yang diamanahkan atau mengakui ketidakmampuan menghadapi cabaran dan ujian, termasuk tarikan penyelewengan.


"Yang pegang jawatan (tinggi), yang (pangkat) bintang-bintang gemerlapan itu bukan calang-calang orang, bekerja puluhan tahun dan mendapat pengiktirafan sekian lama tapi bintang-bintang kegemerlapan ini harus juga mendorong kita dan memaksa kita melakukan sesuatu yang benar, jangan kita ambil sikap sambil lewa," katanya.


Tegasnya, tempoh seminggu diberikan kerana tahap kesabarannya sudah sampai ke kemuncak, selain merasakan negara yang mempunyai potensi tinggi ini tidak boleh terus terdedah kepada kebocoran, penyeludupan dan kelemahan integriti.


"Rakyat mengharap dan dahagakan pembaharuan. Kalau sanggup pikul tanggungjawab, lakukan sebaik mungkin. Jika memilih untuk berundur ke jawatan lebih rendah, saya akan hormat.


Anwar turut mempersoalkan bagaimana penyeludupan boleh berlaku secara terbuka dan kelemahan penguat kuasa seolah-olah membenarkan keterlanjuran berterusan, sambil mengingatkan bahawa jawatan tinggi dan pengiktirafan yang diterima seharusnya mendorong keberanian untuk bertindak tegas dan berintegriti.


Beliau menegaskan, pembaharuan hanya boleh dicapai jika semua pihak bekerja sebagai satu pasukan, menolak sikap sambil lewa serta berani menegakkan nilai kebenaran, keikhlasan, ihsan dan keadilan demi menyelamatkan bangsa dan negara.


"Apakah kita bersedia lakukan pembaharuan, bertanggungjawab untuk bawa perubahan sedaya upaya, kita bawa kebaikan untuk selamatkan bangsa dan negara serta saya memilih untuk meluahkan ini kerana betapa pun saya rasa tersinggung, saya masih menaruh (harapan).


"Saya tahu dalam lubuk hati kita kecil, masih ada keinginan untuk buat sesuatu. Ini naluri insan yang Allah jadikan kepada kita. Kita ada beberapa kebatasan, kelemahan tapi di benak hati kita, damai dan naluri kita, tentunya sebagai manusia, ada insan menginginkan sesuatu dan saya mendoakan kepada Allah, mudah-mudahan kita dapat lakukan sebaik mungkin," katanya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon