Selasa, 9 April 2024

Pemandu pelancong maut ditimpa bongkah batu jatuh dari atas bukit


Seorang pemandu pelancong maut selepas ditimpa bongkah batu yang jatuh dari atas bukit ketika mengunjungi sebuah kawasan pelancongan di Taman Saikat, Gunung Rapat, Ipoh semalam.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada pukul 11.30 pagi.


Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika lelaki tempatan berusia 44 tahun itu mengunjungi lokasi pelancongan tersebut bersama pelancong warga Vietnam.


"Semasa berada di lokasi kejadian, satu bongkah batu dianggarkan seberat lima kilogram telah terjatuh dan menimpa kepala mangsa.


"Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya, semalam.


Menurut beliau, hasil pemeriksaan oleh pakar forensik daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian mangsa kerana kecederaan di kepala akibat ditimpa batu.


Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas tubuh mangsa tidak menjumpai sebarang unsur jenayah.


"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.


Bongkah batu yang jatuh dan menimpa kepala seorang pemandu pelancong di kawasan pelancongan di Taman Saikat, Gunung Rapat, Ipoh, pada Isnin. - Foto Ihsan pembaca (Gambar kecil: Abang Zainal Abidin).


EmoticonEmoticon