Sabtu, 27 Januari 2024

Wanita berusia 67 tahun rugi RM4 juta ditipu sindiket pelaburan saham


Wanita warga emas terpaksa berputih mata apabila kerugian RM4 juta selepas menjadi mangsa penipuan dengan sindiket pelaburan saham.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga suri rumah berusia 67 tahun, kelmarin.


"Siasatan awal dilakukan mendapati mangsa melihat iklan pelaburan itu semasa melayari laman sosial dan seterusnya menekan pautan diberikan.


"Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan itu dan diberikan kelas, tips dan nota berkaitan pelaburan ditawarkan.


"Malah, mangsa juga dijanjikan pulangan sebanyak 380 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di Kuala Lumpur, semalam.


Beliau berkata, mangsa yang terpedaya dengan taktik yang digunakan telah membuat pindahan wang ke 11 akaun syarikat yang diarahkan.


Katanya, jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan bernilai kira-kira RM4 juta.


"Sehingga kini, mangsa tidak pernah menerima sebarang pulangan keuntungan dan siasatan dijalankan polis di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya. - Sumber Harian Metro.


Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.


EmoticonEmoticon