Khamis, 25 Januari 2024

Perselisihan faham dua pemancing 'berebut sungai' selesai


Perselisihan faham antara dua pemancing di Sungai Lubok Kepong, Segamat di Johor pada hari Isnin, 22 Januari lalu dapat diselesaikan dengan baik.


Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, pihaknya telah menerima dua laporan polis daripada individu berkaitan bertujuan mahu menyelesaikan perselisihan faham tersebut secara baik.


"Polis telah mengesan dan mengambil maklum penyebaran kenyataan dan perkongsian video di media sosial berkaitan perselisihan faham dua pemancing di Sungai Lubok Kepong, Segamat pada Isnin lalu.


"Perselisihan faham yang berlaku hanya melibatkan dua individu sahaja dan satu perjumpaan melibatkan mereka bersama Polis Daerah Segamat, Jabatan Perikatan Daerah Segamat, ketua kampung turut dibuat sejurus laporan polis diterima.


"Alhamdulillah, ia dapat menjernihkan isu secara kerjasama yang baik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.



Sementara itu, Ahmad Zamry turut menasihati orang ramai agar menghentikan penyebaran atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak tepat terhadap isu berkenaan.


"Kedua-dua pihak telah membuat laporan polis, jadi perkara sudah selesai. Kita harap perkara ini tak perlu dipanjang-panjangkan lagi," ujar beliau.


Sebelum ini tular video seorang lelaki mendakwa sebuah sungai dipercayai di Muar, Johor merupakan milik bapanya dan lelaki terbabit seolah-olah 'menyerang' individu yang sedang memancing di atas bot.


Dalam perbalahan kecil yang berlaku itu, individu yang diserang lelaki berkenaan turut mempertahankan keberadaannya untuk memancing di kawasan tersebut dengan berkata bahawa sungai merupakan milik semua orang.


Dia turut menjelaskan bahawa tiada sebarang racun atau tuba yang digunakan semasa menangkap ikan sekali gus berasa hairan dengan tindakan lelaki terbabit.


Video berkenaan menjadi tumpuan ramai dan mendapat tontonan lebih 3.6 juta.


Kedua-dua pemancing tersebut telah menyelesaikan perselisihan faham yang berlaku dengan baik. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon