Rabu, 24 Januari 2024

Bapa mabuk tendang, pukul anak perempuan guna kerusi hingga kena 12 jahitan


Seorang remaja perempuan dimasukkan ke hospital selepas ditendang dan dipukul dengan pelbagai objek oleh bapanya sehingga menerima 12 jahitan di kepala, awal pagi tadi.


Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam di sebuah rumah di Kampung Kendong Baru, Kota, di Rembau, dipercayai berlaku ketika suspek berusia 47 tahun itu dalam keadaan mabuk.


Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, pelajar sekolah berusia 17 tahun itu dikejarkan ke Hospital Tampin selepas ditendang di bahagian perut selain dipukul menggunakan kerusi, bakul dan besi papan seterika.


Menurutnya, polis di kaunter aduan Balai Polis Kota menerima panggilan telefon dari orang awam menyatakan rakannya telah dipukul bapa sendiri kira-kira pukul 12.15 tengah malam.


"Polis segera ke lokasi dan menahan suspek kira-kira jam 12.30 tengah malam di hadapan rumahnya dalam keadaan mabuk. Mangsa pula telah di bawa ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan lanjut.


"Remaja itu mengalami luka di bahagian kiri kepala dan telah menerima 12 jahitan selain luka serta leban di bahagian tangan dan bahu kanan. Mangsa akan di rujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah untuk pemeriksaan lanjut pakar perubatan," katanya hari ini.


Hazri berkata, polis sedang mengesan saksi kejadian yang juga teman wanita suspek.


Tambahnya, suspek mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah dan kini direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.


Tangkap layar pelajar sekolah cedera parah selepas dipukul dan ditendang ayahnya dalam kejadian di Kendong, Rembau, awal pagi tadi. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon