Sabtu, 13 Januari 2024

Janda amuk libas kekasih guna pisau hingga mangsa mengalami kecederaan


TAWAU - Akibat perselisihan faham, seorang janda berusia 24 tahun bertindak agresif melibas kekasihnya menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di Batu 4, Jalan Apas pada Ahad lalu.


Tindakan itu mengakibatkan kekasihnya, lelaki yang berusia 30 tahun mengalami cedera di bahagian lengan dan betis kanan dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang dikatakan tinggal bersama sejak lima bulan yang lalu.


Dalam kejadian itu, mangsa bersama teman wanitanya dalam perjalanan ke rumah mangsa dengan menaiki kenderaan e-hailing. ketika berada di dalam kenderaan, berlaku salah faham dan pertengkaran mulut mangsa dengan suspek.


"Setibanya di rumah, teman wanitanya terus berlari masuk ke dapur dalam keadaan menangis dan keluar dari dapur sebelum masuk ke bilik mangsa dengan membawa sebilah pisau.


"Suspek terus bertindak agresif melibas mangsa hingga cedera di bahagian lengan kanan dan kiri serta bahagian betis kanan mangsa.


"Tindakan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan kesan calar. Malah, suspek turut bertindak merosakkan harta benda termasuk beberapa keping cermin tingkap bilik mangsa menggunakan pisau tersebut," katanya dalam satu kenyataan.


Jasmin berkata, mangsa kemudiannya bertindak membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut dan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah menjalankan serbuan dan tangkapan ke atas suspek.


"Ketika kejadian itu, mangsa cuba memujuk teman wanitanya dan cuba merampas pisau daripada suspek. Selepas berjaya merampas pisau, suspek terus diam dan tidak lagi bertindak agresif. Keesokkannya suspek tiada di rumah sebelum mangsa membuat laporan polis," katanya.


Menurut beliau, siasatan mendapati suspek penganggur dan mempunyai tiga jenayah lampau membabitkan dadah dan judi.


Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.


Jasmin Hussin.


EmoticonEmoticon