Sabtu, 13 Januari 2024

Penghuni kondominium di Bukit Jalil cederakan pengawal keselamatan sudah didakwa


Polis mengesahkan seorang lelaki yang terbabit dalam video tular mencederakan pengawal keselamatan kondominium di Bukit Jalil telah didakwa di Mahkamah Jalan Duta, semalam.


Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi dan suspek adalah lelaki tempatan yang juga penduduk di kondominium terbabit.


Semakan polis mendapati dua rakaman video yang tular menunjukkan seorang lelaki cuba melanggar seorang pengawal keselamatan dan mencederakan pekerja sebuah kondominium di Bukit Jalil, Cheras, berlaku pada 5 Januari lalu.


"Suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati tentang penghalang yang diletakkan di laluan keluar bangunan tersebut.


"Lelaki itu telah bertengkar dengan pengawal keselamatan dan mencederakan seorang pekerja yang kebetulan berada di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sehubungan itu, Ridzuan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan suspek telah dituduh di bawah seksyen yang sama di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.


"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam," tegasnya.


Tangkap layar video tular seorang lelaki mencederakan pengawal keselamatan warga asing di sebuah kondominium di Bukit Jalil, Cheras, Kuala Lumpur, 5 Januari lalu.


EmoticonEmoticon