Isnin, 13 November 2023

Lelaki mengamuk sebelum menikam perut sendiri guna pisau


Seorang lelaki yang mengalami masalah mental mengamuk sebelum menikam perutnya sendiri menggunakan sebilah pisau di Jalan Mashuri, Sibu, semalam.


Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata pihak polis yang tiba di tempat kejadian selepas menerima laporan kira-kira pukul 12.20 tengah hari mendapati lelaki itu sedang mengamuk dengan menggunakan sebilah parang dan sebilah pisau.


"Pihak polis cuba menenangkan lelaki terbabit, tetapi dia bertindak agresif lalu menikam beberapa kali perutnya menggunakan pisau. Lelaki tersebut mengalami luka pada bahagian perut akibat kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan.


Zulkipli berkata, lelaki berkenaan berjaya ditangkap oleh pihak polis sebelum dia dibawa ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan dan siasatan awal mendapati lelaki tersebut mengalami masalah mental.


"Perkara ini disahkan oleh ahli keluarganya. Kes juga telah dirujuk kepada Bahagian Psikiatri Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan lanjut. Tiada sebarang insiden melibatkan orang awam yang lain berlaku," katanya.


Menurut lapor Borneo Network, difahamkan lelaki berusia 35 tahun itu seorang penagih dadah yang disyaki mengalami gangguan mental merayau-rayau bersenjatakan parang sebelum ditahan.


Anggota polis menahan lelaki yang mengamuk selepas menikam perutnya menggunakan pisau di Jalan Mashuri, Sibu. - Foto Facebook.


EmoticonEmoticon