Ahad, 6 Ogos 2023

Ganja punya pasal, lelaki cuba terjun dari tingkat lapan


Tekanan dan pengambilan ganja dipercayai menjadi punca lelaki warga Jerman cuba terjun dari tingkat lapan sebuah kondominium di Pattaya, Thailand, lapor laman berita Thaiger pada 5 Ogos 2023.


Pegawai Balai Polis Mueang Pattaya menerima panggilan mengenai cubaan lelaki Jerman itu pada Rabu, 2 Ogos, dan bergegas ke tempat kejadian di Soi Boon Kanchanaram.


Sebaik tiba di lokasi, polis menemui Heinz Edgar Eugen berusia 60 tahun hanya memakai seluar dalam hitam, bertenggek di luar pagar balkoni dan bersedia untuk melompat.


Polis melaporkan bahawa bilik Eugen berada di tingkat lapan, tingkat atas kondominium itu. Eugen bertindak membaling objek ke arah polis selepas mereka cuba meyakinkannya untuk masuk ke dalam.


Isteri Eugen, yang identitinya tidak didedahkan, memberitahu Channel 3 bahawa suaminya mula menggunakan ganja untuk mengurangkan tekanan tuntutan mahkamah yang berterusan di negara asalnya.


Menurutnya, pengambilan ganja secara berlebihan menyebabkan suaminya hilang pertimbangan kira-kira jam 3 pagi sebelum mengatakan enggan hidup lagi.



Isterinya berkata, Eugen kemudian bergegas ke balkoni dan memanjat keluar dari pagar pelindung untuk terjun dan itu yang memaksanya meminta bantuan daripada polis.


Pegawai polis dan seorang jurubahasa berusaha sedaya upaya untuk memujuk Eugen supaya tidak melompat.


Lelaki Jerman itu dengan gugup terus bergerak di sepanjang pagar, menyukarkan pegawai untuk mendekatinya.


Eugen kemudian menanggalkan seluar dalamnya dan selepas lebih tujuh jam, pegawai akhirnya berjaya menangkap warga asing itu apabila dia duduk seterusnya mengheretnya masuk.


Mereka kemudian memindahkan Eugen ke hospital dan kakitangan cuba membantunya berehat.


Eugen kekal dalam keadaan panik dan takut kepada orang di sekelilingnya, enggan menceritakan apa yang mendorongnya melakukan perbuatan itu.


Sementara polis masih belum melaporkan perkembangan kes sama ada Eugen akan didakwa mengganggu ketenteraman dan berkelakuan tidak senonoh. - Sumber The Thaiger.


Eugen dipujuk selama tujuh jam sebelum berjaya ditangkap. - Foto Pattaya Mail.


EmoticonEmoticon