Ahad, 21 Mei 2023

Singa makan tuan, polis temui 'cebisan' anggota badan di tempat kejadian


Seorang pemilik zoo mini maut dibaham singa ketika memberi makan binatang buas tersebut, manakala polis hanya dapat menemui anggota badannya di tempat kejadian, lapor portal berita Daily Star pada 21 Mei 2023.


Jozef B, 56, yang dikenali sebagai Joe Exotic dan berasal dari Britain, dibunuh dengan kejam oleh haiwan peliharaannya sendiri pada Selasa lalu (16 Mei) di zoo kecil miliknya di Oskerda, Slovakia.


Pemilik zoo itu mempunyai permit untuk memelihara binatang buas tetapi ia telah tamat tempoh pada 2019, manakala Jozef tidak memperbaharuinya sehinggalah dia mati dibaham singa-singa tersebut.


Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Peter berkata: "Dia sangat sombong, dia tidak tahu bagaimana cara untuk berkelakuan. Dia mendera haiwan dan keadaan binatang itu sangat teruk."


Ini bukan kali pertama singa Jozef membawa kemudaratan serius kepada orang ramai. Pada 2019, seorang wanita berusia 29 tahun cedera ketika 'bermain' dengan seekor harimau di zoo tersebut.


Jozef berkata pada masa itu: "Kami terus beroperasi dan tiada siapa yang berisiko di sini."


Polis berkata mereka dimaklumkan oleh keluarga Jozef apabila dia tidak pulang dari memberi makan kepada haiwan itu.


Polis tempatan membunuh dua ekor singa selepas menemui bahagian tubuh manusia milik Jozef. Pihak berkuasa kini mempertimbangkan untuk membunuh semua singa dan harimau di zoo itu. - Sumber Daily Star.


Jozef B yang berusia 56 tahun dikenali sebagai Joe Exotic dibaham singa peliharaannya di Oskerda, Slovakia baru-baru ini. - Foto Newsflash.


EmoticonEmoticon