Isnin, 12 Disember 2022

Dhaka lumpuh, sekitar 200 ribu orang berarak desak Perdana Menteri letak jawatan


Ibu kota Bangladesh, Dhaka, lumpuh dengan polis antikeganasan diletakkan dalam keadaan siap siaga ketika puluhan ribu penyokong parti pembangkang telah berkumpul untuk mendesak Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan dan pilihan raya diadakan, lapor akhbar Aljazeera pada 10 Disember 2022.


Protes pada hari Sabtu itu adalah yang terbesar di Bangladesh sejak 2009 apabila kerajaan pimpinan parti Liga Awami berkuasa. Perhimpunan itu diadakan beberapa hari selepas pasukan keselamatan menyerbu ibu pejabat pembangkang Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) pada Selasa, serta menembak sebilangan aktivis di luar ibu pejabat tersebut menyebabkan seorang maut dan puluhan lagi cedera.


Penunjuk perasaan berkumpul di padang sukan Golapbagh, selatan Dhaka, kelmarin, di mana orang ramai melaungkan "Sheikh Hasina adalah pencuri undi". Sehari sebelumnya, aktivis-aktivis BNP mengumumkan bahawa mereka menjangkakan sekitar 200,000 orang akan mengambil bahagian.


"Ia merupakan lautan manusia. Kerajaan cuba menggagalkan demonstrasi ini dengan pelbagai cara termasuk menyekat pergerakan bas-bas di lebuh raya serta perkhidmatan bas bandar turut dihentikan.


"Saya berharap agar kerajaan menyedari keadaan ini. Jika kerajaan menerima mesej perarakan besar-besaran ini dan berundur daripada kuasa, 'kerosakan' mungkin hanya minimum," kata Naib Pengerusi BNP, Shamsuzzaman Dudu.



Menurut Shamsuzzaman, parti tersebut menuntut 10 permintaan dengan matlamat untuk mengembalikan semula demokrasi semasa perhimpunan tersebut termasuk pengunduran kerajaan, pembubaran Parlimen, pembentukan kabinet sementara yang berkecuali dan pengguguran semua kes terhadap ahli dan pemimpin BNP yang ditahan baru-baru ini.


Sejak BNP mengumumkan penganjuran perhimpunan itu, polis telah meningkatkan kawalan keselamatan dengan mengerahkan tambahan 30,000 anggota di jalan-jalan serta mewujudkan lebih 12 pusat pemeriksaan di seluruh Dhaka.


Timbalan Pesuruhjaya Polis Metropolitan Dhaka bagi media, Faruk Hossain memberitahu Arab News bahawa Pasukan Taktikal dan Senjata Khas (SWAT) dan pasukan antikeganasan berada dalam mod berjaga-jaga.


"Kami telah mengambil segala langkah yang perlu untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman awam," jelasnya.


Hasina telah menolak gesaan agar beliau meletak jawatan dan mengumumkan Rabu lalu bahawa pilihan raya umum hanya akan diadakan pada Januari 2024.


Beliau dipilih semula sebagai Perdana Menteri Bangladesh untuk penggal ketiga berturut-turut pada 2018 dengan terdapat tuduhan meluas peniupuan undi berlaku dalam pilihan raya umum berkenaan. - Sumber Aljazeera.


Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina telah mengetuai parti Liga Awami, yang diasaskan oleh bapanya, sejak 1981. - Foto Associated Press.


EmoticonEmoticon