Ahad, 23 Oktober 2022

Mike Tyson dedah punca sebenar tumbuk peminat dalam pesawat


Mike Tyson mengakui dia pening kepala akibat terhidu bau ganja sebelum menumbuk seorang peminat di dalam pesawat. Bekas petinju berusia 56 tahun itu dirakam berulang kali menumbuk Melvin George Townsend dalam penerbangan JetBlue pada April 2022 lalu.


Tyson mengakui dia menaiki penerbangan dari San Francisco ke Miami selepas berada di tengah-tengah 60,000 orang yang menghisap ganja.


Bercakap mengenai kejadian itu, Tyson memberitahu dalam rancangan Piers Morgan Uncensored bahawa dia tidak boleh tahan lagi melihat tingkah laku Townsend yang cuba mendekatinya dan tidak henti-henti melakukan provokasi.


"Pertama sekali, saya datang dari tempat bernama Hippie Hill di mana 60,000 orang di sana menghisap ganja. Jadi apabila saya berada di dalam pesawat, saya lapar, pening dan letih. Lelaki itu terus mendekati saya.


"Saya geram dan bertindak menumbuknya. Mujur pengawal peribadi saya menghentikan insiden itu," katanya.


Susulan kejadian itu, pendakwa raya sebuah daerah di California memaklumkan bahawa tidak akan memfailkan pertuduhan terhadap Tyson yang didakwa menumbuk seorang penumpang dalam pesawat yang dalam penerbangan.


"Kini kami menganggap kes ini ditutup," kata Pendakwa Raya Daerah Steve Wagstaffe.


Wagstaffe berkata, pejabatnya telah mengkaji video insiden tersebut dan laporan polis mengenai insiden pertengkaran yang berlaku pada 20 April lalu sebelum memutuskan untuk tidak melakukan pendakwaan.


Wagstaffe menambah, pejabatnya juga tidak akan memfailkan pendakwaan terhadap penumpang terbabit, yang juga enggan mendakwa Tyson.


Pada April lalu, TMZ menyiarkan rakaman video yang memaparkan Tyson menumbuk Townsend yang duduk di barisan belakangnya dengan menyatakan insiden tersebut berlaku selepas penumpang itu terus mengganggu bekas penunju tersebut setelah dia diminta berhenti melakukannya.


Seorang saksi di dalam pesawat memberitahu TMZ bahawa pada mulanya bekas juara heavyweight itu bersikap mesra dengan peminat yang meminta bergambar namun Townsend terus bercakap dengan Tyson yang mencetuskan kemarahan sebelum menumbuknya.


"Malangnya Tyson mengalami insiden dalam penerbangan dengan seorang penumpang yang agresif yang mula mengganggunya dan membaling botol ke arah beliau ketika beliau berada di tempat duduknya," kata wakil Tyson kepada Fox Business menerusi satu kenyataan ketika itu.


Mike Tyson menumbuk Townsend di dalam pesawat, April lalu. - Foto Agensi.


EmoticonEmoticon