Ahad, 14 Ogos 2022

Pembinaan kapal tempur pesisir pantai bukan projek 'halimunan'


Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menafikan dakwaan pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) adalah projek 'halimunan' seperti dakwaan segelintir pihak, sebaliknya lima daripada enam kapal tersebut kini dalam pembinaan.


"Bukan kapal halimunan tetapi kapal yang dibina menggunakan metal (logam) sebenar bukan daripada kayu. Ini bukan replika ini kapal sebenar," kata Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Ir Azhar Jumaat.


Katanya, setakat ini lima kapal LCS dalam pembinaan iaitu 60 peratus untuk kapal pertama diikuti 48 peratus (kapal kedua), 43 peratus (kapal ketiga), 36 peratus (kapal keempat) dan 22 peratus bagi kapal kelima.



"Daripada RM6 bilion yang diperuntukkan untuk projek ini, sebanyak RM1.8 bilion kelengkapan dan sistem sudah dipasang pada kelima-lima kapal tersebut.


"Sebanyak RM1.7 bilion kelengkapan dan sistem pula berada dalam gudang," katanya dalam taklimat sempena lawatan media ke limbungan BNS di Pangkalan TLDM Lumut pada Jumaat lalu.


Menurut Azhar, pihaknya juga menggunakan peruntukan yang diberi itu untuk kos lain seperti pengurusan projek, insurans, bekalan elektrik, penyediaan infra untuk proses pembinaan dan beberapa kos lain.


"Dakwaan berlaku ketirisan sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa dan BNS menyerahkan kepada pihak terlibat membuat siasatan dan keputusan.


Beliau menegaskan, pihak­nya memiliki kebolehan dan kemampuan untuk menyiapkan projek tersebut dan yakin anak tempatan mampu melakukannya termasuk dalam memastikan semua 6,000 peralatan dan kelengkapan dapat dipasang siap dalam kapal tersebut.


"Tiada isu mengenai kemampuan untuk menyiapkan projek ini, beri kami peluang untuk membuktikan rakyat tempatan mampu membina LCS dan BNS adalah satu-satunya syarikat perkapalan di Malaysia yang boleh melakukannya termasuk membangunkan sendiri reka bentuk kapal itu yang kini di peringkat 95 peratus.


"Seramai 140 jurutera bekerja bagi menyiapkan reka bentuk kapal manakala 35 jurutera dihantar ke Perancis untuk dilatih bagi proses ini," jelasnya.


Mengulas lanjut, beliau berkata, pembinaan lima kapal LCS berkenaan juga mencapai proses memberangsangkan. Bagaimanapun katanya, untuk jangkaan masa semua kapal berkenaan dapat disiapkan beliau tidak dapat mengulas lanjut dan akan dimaklumkan oleh kerajaan.


Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman dilaporkan berkata, nilai keseluruhan kontrak projek LCS adalah RM9 bilion. - Sumber Utusan Online.


Salah satu daripada kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang kini dalam pembinaan di Boustead Naval Shipyard di Lumut. - Foto Utusan Online.

Isu LSC mendapat perhatian Kabinet yang mengarahkan SPRM dan Pejabat Peguam Negara bertindak. - Foto Utusan Online.


EmoticonEmoticon