Isnin, 9 Mei 2022

Perbicaraan pembunuhan dihentikan selepas monyet curi bukti kes


Perbicaraan pembunuhan seorang warga India pada Rabu lalu terpaksa dihentikan, selepas seekor monyet telah mencuri beberapa bukti penting sebelum ia sampai ke mahkamah, lapor akhbar Daily Mail pada 6 Mei 2022.


Menurut akhbar Times of India, monyet itu telah mencuri paket bukti yang mengandungi 15 bahan termasuk sebilah pisau yang didakwa digunakan untuk membunuh.


Kes berkenaan membabitkan pembunuhan Shashikant Sharma yang mayatnya ditemui berhampiran balai polis Chandwaji di Jaipur, negeri Rajasthan pada 2016.


Ketika itu, keluarganya telah melaporkan dia hilang tiga hari sebelum mayatnya ditemui. Selepas ia ditemui, mereka menghalang jalan utama di wilayah itu mendesak pihak berkuasa untuk menangkap pelakunya.


Di bawah tekanan masyarakat, polis menahan dua lelaki lima hari kemudian, Rahul dan Mohanlal Kandera, kedua-duanya dari Chandwaji. Mereka kemudian didakwa membunuh.


Bukti utama kes itu termasuk pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh Sharma, telah dikumpul dan dimasukkan ke dalam paket bukti, dan sedia untuk digunakan di mahkamah apabila kes dibicarakan.


Semasa pra-perbicaraan, polis Jaipur terpaksa mengakui insiden kecurian berkenaan kepada mahkamah. Pengakuan tersebut dibuat menerusi sekeping nota bertulis yang diserahkan kepada mahkamah selepas mereka diarah mengemukakan bukti kes.


Polis berkata dalam jawapan bertulis mereka kepada mahkamah, bahawa monyet itu merampas 15 bukti dan melarikan diri. Polis berkata konstabel yang ditugaskan menjaga bungkusan itu telah digantung tugas.


Menurut NDTV India, bukti itu disimpan sementara di bawah pokok oleh konstabel kerana kekurangan ruang di kemudahan audit di Malkhana.


Susulan itu, sepucuk surat telah dihantar kepada Penguasa Polis Luar Bandar Jaipur, meminta beliau menjelaskan kejadian itu dan bagaimana seekor monyet dapat mencuri bukti kes.


EmoticonEmoticon