Sabtu, 30 April 2022

Sering dengar bunyi pelik, rupanya 5 ekor beruang tinggal di bawah rumah

Gambar Hiasan.

Seorang penyewa rumah di kejiranan berdepan tasik di South Lake Tahoe di California, bimbang apabila menerima beberapa 'tetamu' yang tidak dikenali tinggal di bawah rumahnya, lapor CNN pada 26 April 2022.


Selama berbulan-bulan tinggal di situ, penyewa yang enggan dikenali itu berkata, dia sesekali mendengar bunyi seperti dengusan di bawah lantai papan.


Mereka ada bertanya kepada jiran sama ada mereka mendengar bunyi yang sama, tetapi semuanya memaklumkan tidak mendengar bunyi dimaksudkan. Minggu lalu, lebih banyak bunyi bising didengar dan mendorong mereka untuk mempercayai bunyi itu mungkin beruang.


Penyewa kemudian memanggil kumpulan pencinta haiwan, Liga Beruang, untuk memeriksa rumah itu. Selepas pemeriksaan dibuat, mereka menemui seekor beruang hitam betina bersama empat anaknya.


Pengarah eksekutif Liga Beruang, Ann Bryant berkata kepada CNN, beruang itu berkemungkinan berhibernasi di bawah rumah berkenaan, sejak awal Disember lalu. Bunyi yang didengari penyewa itu berkemungkinan beruang berdengkur, menyusu atau berguling.


"Beruang tidak berhibernasi sepenuhnya kerana haiwan itu berada dalam keadaan lesu," katanya.


Menurutnya, apabila Liga Beruang dipanggil ke rumah pada hari Isnin, beruang dewasa itu dilihat dalam perjalanan keluar dari bawah rumah, tetapi tiba-tiba berhenti untuk duduk di bahagian hadapan halaman.


Ini menyebabkan pegawai percaya bahawa dia mungkin mempunyai anak di bawah rumah, dan sedang menunggu mereka keluar dengan selamat. Selepas menyuluh lampu suluh lebih jauh ke kawasan itu, pegawai melihat sepasang mata melilau ke arah mereka di sudut paling belakang rumah.


Mereka menganggarkan usia anak-anak beruang itu lebih kurang setahun, dan mula membincangkan taktik untuk mengeluarkan mereka dari bawah. Namun akhirnya anak-anak beruang itu keluar sendiri dan bertemu dengan ibu mereka.


"Tiba-tiba keluar seekor anak, dua anak, tiga anak, empat anak.. nasib baik beruang tidak meninggalkan kerosakan pada rumah. Dalam kes lain, pemilik rumah mungkin tidak bertuah," kata Bryant. - Sumber CNN.


Gambat beruang yang sempat dirakam. - Foto Bear League.


EmoticonEmoticon