Ahad, 6 Februari 2022

Pekerja kilang nyaris disengat lebah yang bersarang dalam topi keledarnya


Seorang pekerja kilang di Alor Gajah nyaris maut disengat sekumpulan lebah hutan selepas haiwan berbisa itu bersarang dalam topi keledar miliknya, petang semalam.


Dalam kejadian 4.25 petang itu, lelaki terbabit ke parkir motosikal untuk pulang ke rumah dan ketika hendak menyarung topi keledar, terkejut mendapati lebah bersarang di dalamnya.


Pegawai keselamatan kilang, Bakri Hamdin, 55, berkata sebaik dimaklumkan kejadian, dia menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah untuk memusnahkan lebah itu.


"Mujur dia tidak terus sarung topi keledar itu, jika tidak mungkin cedera disengat lebah. Terima kasih kepada anggota APM yang menghalau lebah terbabit," katanya.


Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.30 petang, lantas sekumpulan empat anggota ke lokasi dan tiba pada pukul 4.42 petang.


"Pada hari Sabtu, 5 Februari 2022, pukul 4.30 petang PDPA Alor Gajah telah menerima panggilan kecemasan berhubung kes lebah di sebuah kilang.


"Sejurus selepas tiba, anggota APM mengalihkan topi keledar itu ke kawasan selamat sebelum membakar kertas bagi menghalau lebah dan operasi selesai pukul 5.15 petang.


"Kejadian ini memang unik apabila lebah hinggap di dalam topi keledar. Kebiasaanya anggota kami banyak mengendalikan kes membakar sarang lebah atau tebuan di pokok selain di rumah penduduk," katanya ketika dihubungi.


Sekumpulan lebah bersarang dalam topi keledar seorang pekerja kilang di Alor Gajah, Melaka. - Foto APM Alor Gajah.


EmoticonEmoticon