Khamis, 24 Februari 2022

Lelaki Nigeria berjaya cipta dapur guna kuasa air


Seorang lelaki warga Nigeria yang menetap di kawasan Jekadafari, negeri Gombe dilaporkan mencipta dapur memasak tanpa gas yang boleh berfungsi dengan hanya menggunakan air.


Menurut laporan laman berita Legit pada 17 Februari 2022, Hadi Usman, 67, mencipta dapur yang tidak memerlukan gas atau minyak tanah dalam menghasilkan api untuk memasak.


Menurut media tempatan, juruteknik elektronik itu berjaya menghasilkan inovasi berkenaan kerana ingin mengurangkan kos penggunaan gas dan minyak tanah.


Sebuah video di laman YouTube memaparkan situasi ketika Hadi menunjukkan bagaimana dapur tanpa gas itu berjaya menghasilkan api.


Lelaki yang pernah memasang pemancar radio serta mengendalikan stesen radio komuniti suatu masa dulu itu mahu institusi-institusi berkaitan membantu mempatenkan hasil inovasinya.


"Pada 23 januari 1980, Gasakiya Ta Fi Kwabo, tabloid vernakular yang diterbitkan oleh Akhbar Nigeria melaporkan bagaimana saya memasang pemancar radio, dan mengendalikan stesen radio komuniti di metropolis Gombe," katanya.


Beliau juga mahu wujudkan kerjasama dalam memastikan ciptaan terbaharunya itu dihasilkan secara besar-besaran, dan berharap institusi berkaitan boleh menyokong ke arah mempatenkan projek ini untuk pengeluaran.


"Sekurang-kurangnya, ia dapat membantu mereka tanpa perlu membeli minyak tanah atau gas dan boleh memasak menggunakan air," katanya.


Sementara itu, hasil ciptaannya ini dipercayai telah menarik perhatian global dari Amerika Syarikat, Jerman dan negara lain untuk menyokong penciptaannya walaupun masih belum disahkan.


Dapur memasak itu menggunakan tekanan air untuk menghasilkan api. - Foto SensorSpot, PR Nigeria.


EmoticonEmoticon