Sabtu, 25 Disember 2021

Kucing 'pencuri berbakat' bawa pulang pelbagai barangan termasuk dadah


Seekor kucing di New Zealand mempunyai reputasi sebagai 'pencuri berbakat' kerana sejak tiga tahun lalu, kucing bernama Keith itu sering membawa pulang barangan yang 'dicuri' dari rumah jiran, lapor laman berita Wionews pada 23 Disember 2021.


Kucing hitam berusia 5 tahun itu pernah 'mencuri' pelbagai barangan termasuk kemeja milik seorang pegawai, pakaian renang, dawai penyidai, but kaki keluli, pakaian dalam, kasut dan juga belut hidup.


Semasa perayaan musim panas, apabila hari siang lebih lama, Keith biasanya akan membawa pulang barangan curi lebih banyak. Kucing itu berkeliaran lebih jauh di sekitar pinggar bandar Christchurch untuk mencuri.


Namun, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kucing milik pasangan suami isteri, Ginny dan David Rumbold itu telah mencuri alat yang digunakan untuk menghisap ganja bersama paket berisi serbuk putih dipercayai dadah. Ginny segera membuangnya.


Namun, perbuatan Keith itu menyebabkan ia dalam perhatian polis. Seorang jurucakap polis menyatakan bahawa penemuan terbaharu Keith itu amat membimbangkan.


"Pasukan kami akan mengambil alat itu dan 'bercakap dengan Keith' berkenaan lokasi ia menjumpainya," katanya.


Keith masih terus-terusan mencuri, menjadikan pasangan itu terpaksa membungkus barangan yang dicuri Keith ke dalam dua buah kotak plastik dan meletakkannya di hadapan pagar rumah mereka untuk diambil kembali oleh pemiliknya.


"Saya memberitahunya berlian dan wang tunai adalah lebih baik, namun, itu masih belum berlaku," kata Ginny ketika pertama kali melaporkan aktiviti jenayah kucingnya itu ke laman web berita Stuff.


Katanya, antara barang kegemaran Keith untuk mencuri ialah but kaki keluli (kasut safety) yang dipakai oleh pekerja binaan. But itu akan dicuri oleh kucing tersebut setelah pekerja itu menanggalkannya ketika waktu rehat.


"Jangan sekali-kali seseorang melakukan sesuatu di tengah jalan, dia akan membawa pulang satu kasut dahulu, kemudian kembali untuk yang kedua," kata Ginny.


Menurutnya, untuk mengelak kasut dicuri, mereka akan meletakkan pemberat di dalam setiap kasut namun cara itu tetap tidak berjaya. Kucing yang mencuri itu berjaya mengheret kasut berkenaan pulang ke rumah.


Ginny dan suaminya David terkejut apabila kucing peliharaan mereka mencuri paket berisi dadah.


EmoticonEmoticon