Jumaat, 17 Disember 2021

Kelibat Long Tiger dirakam CCTV lari di lorong belakang beberapa buah premis


Kelibat seorang lelaki yang dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) dikatakan mirip 'Long Tiger' iaitu tertuduh yang melarikan diri, ketika hadir pada prosiding di sebuah mahkamah di Johor, kelmarin, tular di aplikasi TikTok.


Dalam video itu memaparkan seorang pemuda memakai baju berwarna putih berkepala botak lari di sebuah lorong belakang beberapa buah premis. Turut kelihatan tangan lelaki itu yang dibaluti sehelai kain putih.


Walau bagaimanapun tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian tersebut dirakam. Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna laman sosial tersebut meninggalkan pelbagai komen dan reaksi.


Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam kenyataan hari ini berkata, faktor sempadan daerah Tangkak dan Melaka yang dekat berkemungkinan mendorong Long Tiger lari dan bersembunyi di Melaka.


"Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 33, dari Penjara Sungai Udang dibawa untuk tuduhan di Mahkamah Majistret Tangkak. Memang Tangkak dan Melaka bersempadan.


"Itu yang Long Tiger kemungkinan lari ke sana dan Ketua Polis Melaka juga ada buat kenyataan mengenai perkara itu," katanya.


Dalam pada itu, empat anggota polis disiasat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana cuai menyebabkan orang tahanan lari.


Dalam kejadian pada pukul 11.55 pagi Rabu lalu, Long Tiger berjaya meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan bermula di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.


Pada 8 Ogos lalu, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengurung dan mengugut pekerjanya di Jalan Gambir 7, Bandar Baru Bukit Gambir di Tangkak.


Pada hari sama, Long Tiger turut membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan di bawah Seksyen 376 kerana merogol seorang gadis berusia 21 tahun di Taman Sri Jaya Bukit Gambir.


Berkaitan: 'Long Tiger' Lolos Lokap, Polis Melaka Tubuh Team Pantas Kesan Suspek.


Tangkap layar CCTV yang memaparkan kelibat seorang lelaki mirip 'Long Tiger' selepas lolos dari mahkamah di Johor kelmarin.


EmoticonEmoticon