Selasa, 7 Disember 2021

Gara-gara cinta ditolak, lelaki bertindak membakar kereta milik seorang wanita


SERDANG - Gara-gara cinta ditolak, seorang lelaki bertindak membakar kereta milik seorang wanita dalam kejadian di Pangsapuri Seri Pagi, Taman Bukit Serdang di sini pada Ahad lalu.


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.20 pagi ketika mangsa berada di rumah. Kejadian itu disedari jiran yang segera memaklumkan kepada mangsa.


"Mangsa turun ke bawah pangsapuri untuk melihat keretanya dan mendapati pihak bomba sedang memadamkan kebakaran. Sebuah kenderaan lain yang diparkir bersebelahan kereta mangsa turut musnah terbakar.


"Hasil penelitian daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, polis menahan seorang lelaki berumur 29 tahun di sekitar kawasan Bandar Kinrara, Puchong kerana disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.


Anbalagan berkata, polis merampas sebuah motosikal, sepasang kasut dan pakaian serta pemetik api yang digunakan semasa kejadian. Hasil soal siasat, suspek mendakwa membakar kereta mangsa kerana tidak puas hati selepas cintanya ditolak sejak setahun lalu.


Katanya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif dadah. Suspek direman lima hari bermula semalam sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.


Terdahulu, tular di media sosial rakaman CCTV berdurasi satu minit 28 saat menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal berhenti berhampiran kereta mangsa lalu menyimbah sesuatu dipercayai minyak dan menyalakan pemetik api.


Rakaman CCTV menunjukkan suspek menyimbah minyak dan membakar kereta mangsa.


EmoticonEmoticon