Selasa, 7 Disember 2021

Tak jumpa mangsa kemalangan, rupanya melambung ke bumbung bengkel kereta


BACHOK - Seorang remaja melambung ke bumbung bengkel kereta selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Pak Badol, Bachok, dalam kejadian 11 pagi, hari ini.


Mangsa, Wan Mohamad Sabaruddin Wan Zakaria, 19, melambung pada ketinggian lebih tiga meter, apabila motosikal ditunggang bertembung sebuah kereta Honda Civic yang dipandu lelaki berusia 36 tahun.


Pemilik bengkel, Abdul Sukri Mohamad, 59, berkata, ketika kejadian dia sedang membaiki kereta sebelum terdengar dentuman kuat dan melihat sebuah kereta dan motosikal terbabas di pagar rumahnya.


Katanya, ketika memeriksa kedua kenderaan itu, penduduk kampung hanya menemui pemandu kereta namun tidak menemui penunggang motosikal tersebut.


"Kami mencari-cari pemandu motosikal di sekitar kawasan kemalangan namun hairan kerana tidak menemui mangsa. Beberapa minit kemudian, barulah ada bunyi orang bergerak atas bumbung dan saya menyedari mangsa kemalangan berada atas bumbung bengkel saya.


"Kerana ketinggian bumbung, penduduk menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba untuk menurunkan mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan, hari ini.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 11.32 pagi.


Katanya, seramai tujuh anggota bersama 11 anggota daripada agensi penyelamat lain seperti polis, APM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terbabit dalam tugas menyelamat mangsa kemalangan.



"Kami mengambil masa 10 minit menggunakan tiga unit tangga, satu unit pengusung dan tali pengikat untuk menurunkan mangsa yang tercedera," katanya.


Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kemalangan berlaku apabila Honda Civic dipandu seorang lelaki dari Melor cuba memotong Perodua Kancil namun bertembung motosikal arah bertentangan.


Menurutnya, kejadian menyebabkan penunggang motosikal melambung atas bumbung dari jarak lima meter manakala kereta merempuh pagar bengkel. Kemalangan turut membongkar kegiatan jenayah apabila polis menemui dadah jenis heroin seberat tiga gram dan 102 biji pil kuda dalam kereta berkenaan.


"Rampasan membabitkan nilaian RM3,020 selain pemandu kereta ditahan polis. Ujian air kencing turut mendapati mangsa positif methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan dadah," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala kes dadah disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. - Sumber Harian Metro.



EmoticonEmoticon