Khamis, 7 Oktober 2021

Lelaki Makan Daging Mentah Dan Organ Haiwan Sejak 3 Tahun Lalu


Seorang lelaki di Omaha, Nebraska, Amerika Syarikat mendedahkan tabiat pemakanannya yang hanya mengambil daging mentah termasuk ayam sejak tiga tahun lalu, lapor akhbar New York Post pada 5 Oktober 2021.


Weston Rowe, 39, memakan makanan yang tinggi kandungan protein seperti daging lembu, hati, ayam dan organ haiwan lain. Rowe percaya bahawa tabiat pemakanannya itu membantu meningkatkan tenaganya.


Biarpun sering diberi amaran berkenaan bakteria salmonella, tetapi Rowe mengatakan telah memakan beratus-ratus kilogram daging ayam mentah namun dia tidak pernah sakit.


"Ini sangat kontroversi, tetapi saya percaya bahawa daging mentah mempunyai keseimbangan bakteria di dalamnya yang berfungsi secara simbiotik dengan tubuh kita.


"Saya berada dalam kesihatan yang lebih baik dari segi fizikal dan mental, lebih baik berbanding sebelum ini," kata Rowe kepada Caters News Agency.



Tambah Rowe, dia tidak lagi memakan makanan diproses dan menghabiskan sekitar AS$140 (RM586) seminggu untuk makanannya. Kini 99 peratus daripada makanannya adalah daging mentah dan dia tidak pernah jatuh sakit akibat tabiat tersebut.


Sajian terbesarnya adalah makan tengah hari yang terdiri daripada daging lembu mentah bersama mentega dan otak biri-biri. Rowe juga tidak meletakkan penambah perisa pada daging mentah sambil menambah bahawa dia tidak memerlukannya.


Rowe mengubah dietnya (kini memakan daging mentah) apabila menyedari bahawa fungsi otaknya menjadi perlahan, tahap tenaganya berkurangan dan menderita ekzema. Katanya, ahli keluarga dan rakan-rakannya menyokong cara diet dan gaya hidupnya.


Rowe menyifatkan tenaganya bertambah selepas makan daging mentah. - Foto Cater.

Menu Rowe yang terdiri daripada protein mentah dan sayur-sayuran. - Foto Cater.


EmoticonEmoticon