Khamis, 3 Jun 2021

Harimau dahan tercekik berkeliaran, gemparkan penduduk


Penduduk di Kampung Bukit Bertam, dekat Selama, Ipoh, digemparkan dengan kehadiran seekor harimau dahan yang dikatakan berkeliaran berhampiran kediaman mereka, semalam.


Kehadiran harimau jantan spesies 'clouded leopard' itu disedari penduduk kira-kira pukul 10.50 pagi. Haiwan yang kelihatan kurus dan kelaparan itu dilihat berkeliaran di sekitar rumah penduduk, kemungkinan bagi mencari makanan.


Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk pada 10.50 pagi dan berjaya menangkap harimau dianggarkan berusia antara tujuh dan lapan tahun itu kira-kira setengah jam kemudian.


Katanya, harimau dahan itu dipercayai keluar dari kawasan Hutan Simpan Bintang Hijau yang terletak berhampiran, berdasarkan pemerhatian anggota, tiada sebarang kecederaan pada haiwan itu, namun, ia seolah-oleh tercekik seperti cuba memuntahkan sesuatu.



"Haiwan itu berjaya ditangkap pada pukul 11.24 pagi dan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk rawatan.


"Pemeriksaan lanjut akan dijalankan oleh doktor veterinar termasuk ujian air kencing dan sampel darah bagi mengesan sama ada terdapat kecederaan atau masalah kesihatan lain," katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata, kali terakhir pihaknya menerima aduan mengenai penemuan harimau dahan adalah di Kampung Baru Ulu Kerian yang dipercayai keluar dari hutan sama pada 8 April lepas.


Harimau dahan yang dijumpai berkeliaran di Kampung Bukit Bertam, Semalam.

Harimau dahan yang dijumpai berkeliaran di Kampung Bukit Bertam, Semalam.


EmoticonEmoticon