Selasa, 25 Mei 2021

Bongkah ais terbesar dunia, lebih besar dari Perlis kini hanyut di lautan


Tahukah anda, sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin banyak bongkah ais yang terpisah daripada bongkah asal yang jauh lebih besar. Bongkah ais yang hanyut ini sekaligus boleh mengakibatkan kemusnahan pada banyak hidupan liar, menghakis dasar laut dan mengganggu ekosistem di bawah air.


Bahagian utama di Semenanjung Larsen Ice Shelf yang dalam keadaan stabil lebih 10,000 tahun juga mula pecah, dalam tempoh beberapa hari pada 1995 dan kemudiannya berlaku lagi pada 2002. Ini diikuti bongkah ais yang pecah berhampiran Wilkins Ice Shelf pada 2008 dan 2009.


Terbaharu, sebuah lagi bongkah ais terbesar di dunia, panjang 175 kilometer, lebar 25 kilometer, terpisah dari lokasi asalnya di Antartika dan kini hanyut di Laut Weddell, menurut Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA), yang dilaporkan minggu lepas.


Bongkah ais yang diberi nama A-76 itu bersaiz 70 kali lebih besar dari bandar Manhattan. Bongkah ais itu mempunyai ukuran panjang 170 kilometer dan lebar 25 kilometer dengan keluasan 4,320 kilometer persegi, lebih besar berbanding Perlis dan hampir separuh daripada keluasan Kedah.


Saiz A-76 jauh lebih besar daripada A-23A yang sebelum ini merupakan bongkah ais paling besar (permukaan kira-kira 3,380 kilometer persegi) yang juga masih hanyut di Laut Weddell.


Satu lagi objek sama dari Antartika yang mengancam sebuah pulau habitat penguin di selatan Amerika Selatan telah kehilangan sebahagian besar jisimnya dan pecah, kata saintis awal tahun ini.


A-76 pertama kali dikesan oleh Kajian Antartika Britain dan disahkan oleh Pusat Ais Nasional Amerika Syarikat yang berpangkalan di Maryland. Kehadiran bongkah ais itu dikesan menggunakan gambar dari Copernicus Sentinel-1, yang terdiri daripada dua satelit yang mengorbit kutub.


Menurut saintis, beberapa bongkah ais yang lebih jauh dari Kutub Selatan telah mengalami proses pecah dan terpisah daripada lokasi asal dengan lebih cepat sejak beberapa tahun lepas. Mereka percaya, fenomena tersebut ada kaitan dengan pemanasan global.


Bongkah ais gergasi yang pecah di Antartika sedang bergerak melalui Laut Weddell. - Foto AFP


EmoticonEmoticon