Rabu, 4 Februari 2026

Kerjasama DRB-HICOM, Geely terbukti langkah penting selamatkan PROTON

Kerjasama DRB-HICOM, Geely terbukti langkah penting selamatkan PROTON


Kerjasama strategik antara DRB-HICOM Bhd dan Geely Holding yang dimeterai pada Mei 2017 terbukti menjadi langkah penting dalam menyelamatkan dan memulihkan hala tuju Proton Holdings Bhd (PROTON) sebagai jenama kereta nasional, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.


Beliau berkata, perjanjian pengambilalihan 49.9 peratus kepentingan PROTON oleh Geely Holding itu dibuat dalam keadaan yang mencabar serta menerima pelbagai pandangan berbeza.


"Pada Mei 2017, semasa saya menjawat jawatan Menteri Kewangan II, saya menyaksikan pemeteraian perjanjian antara DRB-HICOM dan Geely Holding bagi pengambilalihan 49.9 peratus kepentingan dalam PROTON.


"Pada ketika itu, keputusan ini menimbulkan pelbagai pandangan yang berbeza, namun ia adalah satu intervensi yang perlu bagi melindungi jenama kereta nasional tanpa membebankan pembayar cukai," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Proton e.MAS 7 PHEV di Kuala Lumpur hari ini.


Johari berkata, sembilan tahun selepas kerjasama strategik itu dimeterai, kesannya kini jelas apabila PROTON berjaya membalikkan kerugian kewangan bertahun-tahun dan memulihkan keyakinan orang ramai melalui pengenalan model yang mendapat sambutan pasaran, termasuk PROTON X70.


Beliau berkata, pemulihan itu turut diterjemahkan melalui peningkatan penguasaan pasaran PROTON, yang meningkat daripada 11 peratus pada 2018 kepada 19 peratus tahun lalu, sekali gus mencerminkan keberkesanan kerjasama strategik berkenaan.


Katanya, PROTON kini mengekalkan kehadiran kukuh dalam sektor automotif negara dengan menggajikan lebih 55,000 tenaga kerja, disokong rangkaian vendor tempatan yang luas merentasi rantaian bekalan industri.


"Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, PROTON turut meningkatkan tahap lokalisasi apabila nilai perolehan tempatan meningkat daripada 53 peratus pada 2021 kepada 67 peratus pada 2025, selari usaha memperkukuh ekosistem industri automotif domestik," katanya.


Beliau berkata, transformasi PROTON melalui kerjasama DRB-HICOM dan Geely juga berlaku seiring perubahan struktur pasaran, apabila jualan kenderaan elektrik dan hibrid (xEV) mencatat pertumbuhan 52 peratus pada 2025.


"Perkembangan ini menyaksikan xEV merangkumi 8.5 peratus jualan kenderaan baharu, manakala kenderaan hibrid dan elektrik membentuk 8.7 peratus daripada jumlah pendaftaran kereta pada tahun berkenaan," katanya.


Dalam konteks lebih luas, Johari berkata, sektor automotif kekal sebagai pemacu utama ekonomi negara dengan sumbangan dianggarkan lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau kira-kira RM82 bilion, selain menyokong lebih 700,000 peluang pekerjaan di sepanjang rantaian bekalan berteknologi tinggi.


"Industri itu turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila Malaysia merekodkan jumlah keseluruhan industri (TIV) tertinggi dalam sejarah pada 2025 sebanyak 820,752 unit, disokong purata pengeluaran melebihi 750,000 unit setahun bagi tempoh 2022 hingga 2025," katanya.

Selasa, 3 Februari 2026

Pempengaruh media sosial didakwa rogol, lakukan amang seksual terhadap dua remaja

Pempengaruh media sosial didakwa rogol, lakukan amang seksual terhadap dua remaja


Seorang pempengaruh media sosial dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan, bulan lalu.


Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar dan Mohd Kafli Che Ali.


Di hadapan Tasnim, Muhammad Iman Hazriq didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun enam bulan ketika kejadian di dalam bilik sebuah kondominium, Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara 1 tengah hari hingga 8 malam, 22 Januari lalu.


Pertuduhan mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.


Di hadapan Mohd Kafli, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang lagi remaja perempuan berumur 16 tahun bagi tujuan seksual di tempat, masa dan tarikh sama.


Dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias menawarkan jaminan masing-masing RM15,000 bagi pertuduhan merogol dan amang seksual dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan, mangsa serta keluarga mangsa sehingga kes selesai.


Peguam Mohamad Akmal Mohd Taufik yang mewakili Muhammad Iman Hazriq memohon supaya jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya masih bujang serta menanggung ibu bapa dan dua adik yang masih bersekolah.


"Anak guam saya bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai kasut dengan pendapatan RM2,000 sebulan. Dia juga memberikan kerjasama baik dengan pihak polis sepanjang siasatan dan tiada risiko untuk melarikan diri," katanya.


Hakim Tasnim dan Mohd Kafli masing-masing membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan. Kedua-dua mahkamah menetapkan 4 Mac dan 2 April ini untuk sebutan kes.

Kajian pilihan raya DBKL sudah dijalankan sejak Disember lepas

Kajian pilihan raya DBKL sudah dijalankan sejak Disember lepas


Kajian kebolehlaksanaan bagi melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur, sudah dijalankan oleh Mantan Menteri Wilayah sebelum ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, rang undang-undang persendirian sudah dikemukan oleh ahli parlimen dalam sidang Parlimen lalu.


"Kajian ini telah berlangsung sejak bulan Disember semasa mantan Menteri Wilayah Persekutuan.


"Dan kajian ini jangan takut, kajian ini dilakukan oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Jadi kajian ini bukan dilakukan oleh orang DAP.


"Ini adalah Universiti Islam Antarabangsa yang saya yakin kajian mereka berkualiti," katanya dalam sidang media Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan & Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.


Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.


Hannah berkata, pihaknya masih menunggu dapatan kajian itu sebelum pembentangan akan dibuat kepada Kabinet berhubung perkara itu.


"Selepas kita dengar kajian, boleh buat, tak boleh buat, baru kita akan sediakan kertas kabinet untuk maklumkan kepada kabinet sama ada Jabatan Wilayah Persekutuan nak pindah akta atau tidak pindah akta.


"At this point of time, it's premature to comment because(Pada ketika ini, masih terlalu awal untuk memberi sebarang komen kerana) baru lakukan proses kajian," katanya.


Hannah sbeelum ini dilaporkan berkata, beliau telah mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.


Memetik laporan sebuah portal berita, Hannah berkata, pilihan raya sedemikian dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.

Isnin, 2 Februari 2026

UMNO digesa tubuh sekretariat khas bantah pilihan raya Datuk Bandar KL

UMNO digesa tubuh sekretariat khas bantah pilihan raya Datuk Bandar KL


UMNO digesa menubuhkan sekretariat khas bagi membantah kajian untuk mengadakan pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, usaha itu perlu bagi mengemukakan respons balas yang jelas, seperti tindakan parti itu ketika membantah Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA).


Menurutnya, cadangan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur merupakan isu serius kerana melibatkan aspek keselamatan, tadbir urus bandar serta kebebasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan.


"Kuala Lumpur mempunyai banyak pusat hiburan, pub, kelab malam, pusat urut dan kegiatan tidak bermoral. Terdapat juga pelbagai aktiviti dunia gelap, kartel dan gangster.


"Bukan sahaja pilihan raya itu akan dipengaruhi oleh parti politik dan sentimen perkauman, malah berpotensi dipengaruhi oleh kartel serta gangster," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.


Sebelum ini, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.


Menurut Mohd Puad, situasi itu menimbulkan kebimbangan kerana proses pilihan raya berkenaan berkemungkinan dipengaruhi oleh sentimen politik kepartian dan perkauman, malah berpotensi dimanipulasi oleh kumpulan berkepentingan termasuk unsur jenayah terancang.


"Bayangkan di Kuala Lumpur, gangster menggunakan wang dan rangkaian mereka untuk menyokong calon tertentu. Pejabat Datuk Bandar tidak lagi bebas.


"Jika penjawat awam melakukan kesalahan, tindakan tatatertib boleh diambil, tetapi Datuk Bandar yang dipilih melalui pilihan raya perlu menunggu sehingga penggal mereka tamat.


"Justeru, UMNO mesti membantah. UMNO perlu menubuhkan sekretariat khas dengan segera bagi mengemukakan respons balas, seperti mana UMNO membantah RUU URA," ujarnya.

Ahad, 1 Februari 2026

Lelaki disyaki mabuk cetus kekecohan dalam kedai serbaneka

Lelaki disyaki mabuk cetus kekecohan dalam kedai serbaneka


Seorang lelaki dipercayai mabuk bertindak menimbulkan kekecohan di sebuah kedai serbaneka di Petaling Jaya dalam kejadian pada Sabtu.


Suspek kemudian bertindak mengganggu seorang pekerja di kedai serbaneka terbabit sehingga berlaku pergaduhan antara kedua-dua individu itu.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 3.26 petang.


"Laporan dibuat oleh mangsa yang mendakwa suspek memasuki premis berkenaan dalam keadaan mabuk sebelum mengganggunya.


"Pergaduhan kemudiannya berlaku antara kedua-dua individu di dalam premis berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Menurutnya, polis turut mengesan satu video berkaitan insiden tersebut yang tular di media sosial.


"Permohonan arahan untuk meneruskan siasatan akan dibuat bagi tujuan tindakan lanjut.


"Suspek serta saksi yang terlibat akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan," katanya.


Menurutnya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.


"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat di media sosial selain tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak benar berhubung insiden ini.


"Saksi yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya," katanya.


Terdahulu, tular video memaparkan pergaduhan melibatkan dua individu di sebuah kedai serbaneka di Petaling Jaya.

Sabah jana RM8.74 bilion hasil pelancongan tahun lalu, catat ketibaan 3.8 juta pelancong - Menteri

Sabah jana RM8.74 bilion hasil pelancongan tahun lalu, catat ketibaan 3.8 juta pelancong - Menteri


Sabah mencatatkan 3.8 juta ketibaan pelawat pada 2025 dengan hasil pelancongan mencecah RM8.74 bilion, mengatasi rekod 3.5 juta pelawat pada tahun sebelumnya.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin berkata pada tahun ini, kerajaan negeri menyasarkan lebih empat juta ketibaan pelawat dengan tumpuan diberikan kepada penyediaan hospitaliti berkualiti tinggi serta pengalaman tempatan yang menampilkan keistimewaan Sabah.


"Dengan tumpuan diberikan kepada pelancongan berkualiti, kami berharap dapat mengalu-alukan lebih ramai pelawat tahun ini dan tahun mendatang, sekali gus menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) serta mempersiapkan Sabah menjelang Tahun Melawat Sabah 2027," katanya dalam satu kenyataan semalam.


Jafry berkata ketibaan pelawat domestik ke Sabah pada 2025 mencapai hampir 2.3 juta, didorong oleh permintaan perjalanan sempena Aidilfitri, Pilihan Raya Negeri dan cuti persekolahan.


Beliau berkata ketibaan antarabangsa pula mencatatkan 1,498,709 pelawat, iaitu peningkatan dua peratus berbanding sebelum pandemik, walaupun sambungan penerbangan antarabangsa masih belum pulih sepenuhnya.


Pasaran antarabangsa utama yang menunjukkan pertumbuhan ialah China dengan 657,528 ketibaan, diikuti Singapura (38,638), Taiwan (34,342), United Kingdom dan Ireland (34,704), Australia (22,571) dan Jepun (16,980).


Menurut kenyataan itu, setakat Januari tahun ini, Sabah dihubungkan dengan 15 destinasi antarabangsa melalui 157 penerbangan mingguan dan menawarkan 28,966 tempat duduk.


Destinasi berkenaan termasuk Singapura, Brunei (Bandar Seri Begawan), Taiwan (Taipei), China (Hong Kong, Guangzhou, Shenzhen, Shanghai, Beijing, Hangzhou dan Fuzhou), Korea Selatan (Seoul dan Busan); Filipina (Manila), Indonesia (Jakarta) dan Vietnam (Ho Chi Minh City).


Bagi rangkaian domestik pula, Sabah dihubungkan dengan 13 destinasi iaitu Kuala Lumpur, Subang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu, Labuan, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu, Mulu, Limbang dan Lawas.


Menurut kenyataan itu, pelancongan kapal persiaran turut mencatat pertumbuhan dengan 23 kapal membawa masuk 24,634 penumpang, iaitu 19 kapal berlabuh di Pelabuhan Kota Kinabalu manakal empat kapal singgah di Pelabuhan Sandakan.


Sabtu, 31 Januari 2026

 'Drama PN semakin karut, kelakar dan kebudak-budakan' - Rafizi

'Drama PN semakin karut, kelakar dan kebudak-budakan' - Rafizi


Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa drama politik dalam Perikatan Nasional (PN) semakin mengarut, kelakar dan kebudak-budakan. Rafizi berkata, perkara itu susulan kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yasin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Presiden PN.


"Majlis Presiden sebenarnya seperti Mursyidul Am. Dalam Pas sudah ada, sekarang mahu dilaksanakan dalam PN pula. Jadi, maksudnya jika perkara itu diteruskan, Muhyiddin akan menjadi Mursyidul Am PN.


"Sebab itu saya rasa ia jadi mengarut, bubar sahajalah. Analogi tepat untuk situasi tersebut adalah penjaga gol meletakkan jawatan, tiba-tiba minta tiang gol dimansuhkan," katanya dalam Podcast Skandal Yang Belum Selesai Episod 33.


Sebelum ini, pengunduran Muhyiddin dan beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), termasuk di peringkat negeri daripada PN, memberi isyarat jelas bahawa gabungan itu berada di ambang krisis politik terbesar sejak ditubuhkan lima tahun lalu.


Ibarat retak menanti belah, ketegangan dalam gabungan yang terdiri daripada Bersatu, Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) itu kian parah susulan peletakan jawatan beramai-ramai pemimpin Bersatu sebagai protes terhadap isu yang membelenggu kerjasama politik mereka dalam PN.


Krisis politik dalam gabungan itu mula ketara apabila berlaku pergolakan pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis sehingga menyaksikan pertukaran Menteri Besar daripada Pas kepada Bersatu.


Tambah beliau, ketegangan politik dalam PN dilihat berjangkit dan mencetuskan pergaduhan dalaman yang serius.


Jelasnya, walaupun diumumkan kononnya isu dalaman PN telah selesai, namun hakikatnya perkara sebaliknya berlaku dan ia seolah-olah tiada kesudahan.


"Bermula dari Perlis, ia berjangkit menjadi pergaduhan besar, kemudian 'selesai' kononnya. Keesokannya muncul pula struktur baharu, tiada lagi pengerusi PN, tetapi wujud Majlis Presiden kononnya untuk 'menentukan dasar' dan Majlis Eksekutif bagi 'mengurus hal ehwal harian'.


"Masalahnya, apabila politik sudah jadi seperti ini, struktur bukan untuk membina dasar. Struktur dijadikan alat untuk menyelesaikan ego, melindungi krisis dan memberi gambaran semua pihak 'menang' tanpa menyelesaikan apa-apa.


"Jika pemimpin sendiri tidak mampu mengurus rumah sendiri, jangan hairan orang mula mempersoalkan bagaimana negara ini mahu diurus," katanya.

Lagi desakan Muhyiddin lepas jawatan presiden BERSATU

Lagi desakan Muhyiddin lepas jawatan presiden BERSATU


Lagi desakan pemimpin akar umbi meminta Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin meletak jawatan sebagai peneraju parti berkenaan.


Ketua BERSATU Bahagian Dungun, Datuk Abdul Aziz Ismail berkata ia penting bagi menjernihkan kembali hubungan antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS, sekali gus memperkukuhkan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).


"Sebagai Ketua BERSATU Bahagian Dungun, saya menyatakan kebimbangan serius terhadap kegagalan kepimpinan tertinggi parti, khususnya Muhyiddin dalam menjaga keharmonian dan hubungan strategik dengan rakan komponen PN.


"Perkembangan ini bukan saja mencetuskan ketegangan dalaman, malah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan ramai pemimpin PAS terhadap tindakan dan pendekatan yang diambil beliau.


"Lebih membimbangkan, Muhyiddin dilihat sudah kehilangan arah kepimpinan apabila cuba memanipulasi keadaan dalam PN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Abdul Aziz berkata, Muhyiddin sebelum ini sudah meletakkan jawatan Pengerusi PN, namun kini kelihatan seolah-olah ingin kembali menguasai jawatan itu, sekali gus mencetuskan kekeliruan dan ketidakstabilan dalam struktur kepimpinan gabungan.


Katanya, persepsi rakyat semakin negatif apabila wujud gambaran Muhyiddin tidak memberi ruang kepada mana-mana pemimpin lain menerajui jawatan itu, sebaliknya seolah-olah mahu memastikan jawatan berkenaan tidak disandang oleh sesiapa sekiranya bukan beliau sendiri, termasuk melalui tindakan memansuhkan jawatan itu.


"Keadaan ini menimbulkan persoalan besar terhadap nilai kepimpinan, keikhlasan perjuangan dan keutamaan sebenar dalam perjuangan politik, sama ada ia benar-benar demi rakyat dan kestabilan negara atau sekadar berteraskan kepentingan kuasa dan kedudukan peribadi.


"Saya ingin menegaskan PN hanya akan kekal relevan dan diyakini rakyat sekiranya ia dipimpin dengan semangat kebersamaan, saling menghormati antara parti komponen, serta mengutamakan kepimpinan yang berprinsip, berintegriti dan berjiwa besar," katanya.

Jumaat, 30 Januari 2026

Ada pihak yang lebih baik berhenti menulis jika ia berterusan mengelirukan ahli, kata Tuan Ibrahim

Ada pihak yang lebih baik berhenti menulis jika ia berterusan mengelirukan ahli, kata Tuan Ibrahim


Sebagai sebuah parti gabungan yang menjadi harapan rakyat, kata Tuan Ibrahim Tuan Man, memang banyak pihak cemburu terhadap keberadaan PN. Perasaan iri itu, pada pandangan Timbalan Presiden PAS berkenaan, lebih ketara pada PH dan BN.


Justeru, tambahnya, pihak dalam PN wajar tidak membuka ruang untuk pihak musuh menggugat perpaduan yang terbina dalam parti tersebut, manakala perbezaan pandangan mesti diurus dengan matang agar muafakat sedia ada kekal utuh.


"Kita mesti kembali memperkukuh muafakat bersama, mengeratkan jalinan, dan memperkemas kerjasama. Rakyat masih menaruh harapan kepada kita.


"Justeru, kita perlu bermuhasabah, membaiki kelemahan dan kekurangan jika benar-benar mahu PN terus diberi kepercayaan dalam PRU akan datang," katanya dalam kenyataan malam tadi.


Tuan Ibrahim yang juga anggota Majlis Tertinggi PN menambah, sebarang kenyataan yang mengguris perasaan rakan muafakat mesti dihentikan, dan pada masa sama elak perbuatan menikam belakang kawan sendiri.


Turut ditekankan oleh Tuan Ibrahim ialah pentingnya menghormati keputusan parti-parti rakan, serta sedia menerima teguran serta pandangan lain dengan dada yang lapang.


"Ada pihak yang tulisannya baik dan membantu memperkukuh jemaah, itu penting bagi menjelaskan kekeliruan serta mendukung keputusan parti.


"Namun, ada juga pihak yang lebih baik berhenti menulis jika ia hanya berterusan mengelirukan ahli. Maka, tepuk dada tanya selera... di manakah posisi yang wajar kita ambil demi muafakat ini?" katanya lagi.


Kenyataan itu dibuat ketika hubungan PAS dan Bersatu masih belum kembali akrab seperti sebelum ini dengan isu jawatan Pengerusi PN kekal menjadi tanda tanya.


Perkembangan itu menyaksikan kedua-dua pihak menggunakan pelbagai wadah termasuk media sosial untuk melontarkan pandangan masing-masing sama ada secara terus terang atau menyindir dan berkias. Pada masa sama hubungan antara ahli dalaman parti juga kekal bergolak.


Selain Bersatu yang kini dilihat terbahagi kepada kumpulan Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin, PAS pula menyaksikan segelintir tokoh membangkitkan kemungkinan wujud puak tertentu yang cuba mengubah haluan parti.


Kedua-dua pihak itu banyak menggunakan media sosial untuk meluahkan pandangan masing-masing termasuk menggunakan pendekatan yang keras.


Menurut Tuan Ibrahim, dalam muafakat politik tidak semua yang diingini akan diperolehi, dan tidak semua yang tidak diperlukan dapat ditolak.


Namun, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi, apa yang penting ialah sikap saling menghormati serta berpegang teguh kepada asas persefahaman gabungan.


"Ketika ini, ada pihak yang bertepuk tangan melihat PN bertelagah sesama sendiri. Mereka mengharapkan muafakat ini berakhir.


"Dalam keadaan begini, tidak mustahil musuh menyelinap masuk untuk menimbulkan keraguan dan pertikaian, sehingga muafakat semakin melemah," katanya.

Khamis, 29 Januari 2026

Pastikan ladang babi bebas pencemaran - Mohamad Sabu

Pastikan ladang babi bebas pencemaran - Mohamad Sabu


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan sebarang cadangan untuk mewujudkan ladang ternakan babi mesti bebas daripada masalah pencemaran.


Beliau berkata, kementeriannya sedia bekerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri dalam mencari penyelesaian terhadap isu penternakan haiwan berkenaan bagi menjamin ketersediaan bekalan.


"Masalah babi adalah masalah pencemaran. Kita akan mencari jalan bersama kerajaan negeri, bagaimana mahu menyediakan termasuklah hal makanan babi dalam keadaan penternakan tidak berlaku pencemaran.


"Kita tahu (sukarnya) proses untuk membuat ladang babi, seperti di Negeri Sembilan dan Melaka, kita sentiasa mencari jalan terbaik terutama bagi menyediakan infrastruktur yang bebas pencemaran.


"Hal ini perlu ada perbincangan dengan kerajaan negeri untuk kita menjaga semua pihak. Ini hal makanan dan pencemaran, bukan soal kaum, agama. Ini cara kita selesaikan soal keterjaminan makanan," katanya.


Beliau berkata demikian ditemui media selepas Majlis Peluncuran Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 di Kuala Lumpur hari ini, disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.


Isnin lalu, kerajaan Selangor memutuskan projek ternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor dibatal dan ditangguhkan sementara lokasi alternatif atau kaedah yang lebih sesuai ditemui.


Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, mesyuarat mingguan Kabinet berpandangan isu berkenaan membabitkan faktor persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum, justeru mencadangkan supaya projek berkenaan dibatalkan terlebih dahulu.


Pada 12 Januari lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dilaporkan murka dengan perancangan kerajaan Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi berskala besar di Tanjung Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.