Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel baharu bermula 1 Julai ini menyaksikan penambahan kuota sebanyak 100 liter untuk pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak.
Tambahan 100 liter sebulan itu akan menjadikan jumlah kelayakan subsidi diesel sehingga 300 liter sebulan bagi kategori terbabit.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kemudahan tambahan itu dijangka mencukupi bagi sebahagian besar pengguna diesel kerana berdasarkan anggaran semasa, kira-kira 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter bahan api sebulan.
Katanya, langkah itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang akan menyeragamkan harga dan kaedah subsidi diesel di seluruh negara mulai 1 Julai ini.
"Pembaharuan ini bertujuan menyelaraskan mekanisme subsidi diesel menerusi sistem yang seragam, telus dan mudah digunakan.
"Berikutan keberkesanan BUDI95 yang terbukti pelaksanaanya ketika ini, kaedah menggunakan MyKad bagi penyasaran subsidi untuk warganegara dilanjutkan kepada subsidi diesel," katanya pada sidang media pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ialah Datuk Armizan Mohd Ali.
Amir Hamzah berkata, di bawah mekanisme baharu itu, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan yang boleh digunakan secara fleksibel bagi pembelian diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi, tertakluk kepada baki kelayakan bulanan masing-masing.
"Kelayakan 200 liter itu sama seperti RON95, ia boleh dikongsi antara diesel dan petrol. Maksudnya, sesiapa yang mempunyai kenderaan RON95 dan diesel, mereka boleh mendapat 200 liter di bawah Budi Madani," katanya.
Tambah beliau, bagi pemilik kenderaan diesel yang sebelum ini tidak boleh membeli minyak subsidi, mereka kini boleh menggunakan kuota 200 liter yang sama.
"Kita buka kunci yang ada itu, jadi terpulang kepada mereka untuk memilih sama ada mahu menggunakannya untuk RON95 atau diesel," jelasnya.
Katanya, hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan, justeru had asas berkenaan dijangka mencukupi bagi kebanyakan penerima yang layak.
"Selain pemilik kenderaan diesel persendirian, kemudahan BUDI Diesel pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad turut diperluaskan kepada pengusaha bot sungai dan pemilik set jana kuasa (genset) di kawasan pedalaman.
"Pada masa sama, kerajaan mengekalkan subsidi diesel bagi sektor strategik dan kritikal, termasuk diesel pada harga RM1.65 seliter untuk nelayan, BUDI Agri-Komoditi bagi petani kecil serta pemegang tanah komoditi berdaftar, dan SKDS 1.0 pada harga RM1.88 seliter untuk pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah dan bas ekspres," katanya.
Bermula hari ini, pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan dan had kelayakan bulanan menerusi portal rasmi BUDI MADANI, manakala pemilik pikap dan jip yang layak boleh mengemukakan permohonan tambahan 100 liter sebulan melalui portal sama atau secara fizikal di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan UTC.












