Isnin, 22 Jun 2026

Pemilik pikap, jip dapat kuota tambahan 100 liter BUDI Diesel, jadi 300 liter sebulan

Pemilik pikap, jip dapat kuota tambahan 100 liter BUDI Diesel, jadi 300 liter sebulan


Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel baharu bermula 1 Julai ini menyaksikan penambahan kuota sebanyak 100 liter untuk pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak.


Tambahan 100 liter sebulan itu akan menjadikan jumlah kelayakan subsidi diesel sehingga 300 liter sebulan bagi kategori terbabit.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kemudahan tambahan itu dijangka mencukupi bagi sebahagian besar pengguna diesel kerana berdasarkan anggaran semasa, kira-kira 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter bahan api sebulan.


Katanya, langkah itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang akan menyeragamkan harga dan kaedah subsidi diesel di seluruh negara mulai 1 Julai ini.


"Pembaharuan ini bertujuan menyelaraskan mekanisme subsidi diesel menerusi sistem yang seragam, telus dan mudah digunakan.


"Berikutan keberkesanan BUDI95 yang terbukti pelaksanaanya ketika ini, kaedah menggunakan MyKad bagi penyasaran subsidi untuk warganegara dilanjutkan kepada subsidi diesel," katanya pada sidang media pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel di Putrajaya hari ini.


Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ialah Datuk Armizan Mohd Ali.


Amir Hamzah berkata, di bawah mekanisme baharu itu, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan yang boleh digunakan secara fleksibel bagi pembelian diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi, tertakluk kepada baki kelayakan bulanan masing-masing.


"Kelayakan 200 liter itu sama seperti RON95, ia boleh dikongsi antara diesel dan petrol. Maksudnya, sesiapa yang mempunyai kenderaan RON95 dan diesel, mereka boleh mendapat 200 liter di bawah Budi Madani," katanya.


Tambah beliau, bagi pemilik kenderaan diesel yang sebelum ini tidak boleh membeli minyak subsidi, mereka kini boleh menggunakan kuota 200 liter yang sama.


"Kita buka kunci yang ada itu, jadi terpulang kepada mereka untuk memilih sama ada mahu menggunakannya untuk RON95 atau diesel," jelasnya.


Katanya, hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan, justeru had asas berkenaan dijangka mencukupi bagi kebanyakan penerima yang layak.


"Selain pemilik kenderaan diesel persendirian, kemudahan BUDI Diesel pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad turut diperluaskan kepada pengusaha bot sungai dan pemilik set jana kuasa (genset) di kawasan pedalaman.


"Pada masa sama, kerajaan mengekalkan subsidi diesel bagi sektor strategik dan kritikal, termasuk diesel pada harga RM1.65 seliter untuk nelayan, BUDI Agri-Komoditi bagi petani kecil serta pemegang tanah komoditi berdaftar, dan SKDS 1.0 pada harga RM1.88 seliter untuk pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah dan bas ekspres," katanya.


Bermula hari ini, pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan dan had kelayakan bulanan menerusi portal rasmi BUDI MADANI, manakala pemilik pikap dan jip yang layak boleh mengemukakan permohonan tambahan 100 liter sebulan melalui portal sama atau secara fizikal di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan UTC.

Pekebun durian didenda RM80,000 ceroboh tanah Kerajaan Negeri Pahang

Pekebun durian didenda RM80,000 ceroboh tanah Kerajaan Negeri Pahang


Seorang wanita didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Raub, hari ini selepas didapati bersalah menduduki tanah Kerajaan Negeri Pahang tanpa kebenaran di kawasan Sungai Pertang, Mukim Gali di Raub.


Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Yong Lai Kien, 48, mengikut Seksyen 425(1) (a) Kanun Tanah Negara Pindaan 2020 (Akta 828). 


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjarakan selama lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran yang sah pada 9 Ogos 2024 kira-kira pukul 11.19 pagi.


Kesalahan itu dikesan hasil Ops Sekat Musang King yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) di kawasan Sungai Pertang. 



Dalam operasi tersebut, anggota penguatkuasa menemui sebuah rumah kebun serta kawasan tanaman durian yang dibangunkan di atas tanah milik kerajaan negeri tanpa kelulusan pihak berkuasa.


Pendakwaan dikendalikan oleh Muhammad Muqris Alif Zairiasdi dan Nurul Ain Wozzari daripada UPNP, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Harris Mohan. 


Ketika prosiding, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada pihak lain agar tidak sewenang-wenangnya menceroboh tanah kerajaan.


Menurut pihak pendakwaan, perbuatan tersebut bukan sahaja mengakibatkan kerosakan kepada struktur dan keadaan tanah di kawasan terbabit, malah menyebabkan ketirisan hasil kerajaan negeri melalui kehilangan kutipan permit serta hasil yang sepatutnya diperoleh secara sah.


Malah, hukuman maksimum yang diperuntukkan di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara iaitu denda sehingga RM500,000, penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali membuktikan kerajaan memandang serius isu pencerobohan tanah yang semakin membimbangkan.

Pasangan kekasih separuh bogel dalam tandas surau dicekup berkhalwat, baru kenal seminggu

Pasangan kekasih separuh bogel dalam tandas surau dicekup berkhalwat, baru kenal seminggu


Baru seminggu berkenalan, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sudah berani melakukan maksiat sebelum dicekup berkhalwat bersama teman lelakinya dalam tandas sebuah surau di sebuah kampung di Kilang Lama, Kulim awal pagi tadi.


Remaja perempuan yang sudah tidak bersekolah itu dikatakan berkenalan ketika berkerja di gerai nasi lemak yang sama.


Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung tangkapan khalwat itu daripada penduduk kampung terbabit pada jam 1.30 pagi tadi.


Menurutnya, ketika tangkapan dilakukan, kedua-dua mereka dalam keadaan berpakaian tidak lengkap.


"Lelaki berkenaan berusia 18 tahun dan berasal dari Sungai Kob, Karangan dan bekerja berniaga nasi lemak.


"Hasil soal siasat yang dilakukan mendapati, dia dan pasangannya itu baru seminggu berkenalan di tempat kerja yang sama.


"Remaja perempuan itu pula berasal dari Changlun, tinggal bersama ibu saudaranya," katanya ketika dihubungi hari ini.


Anwar Sharifuddin berkata, orang awam yang berniaga di kawasan berhampiran sering ternampak pasangan itu masuk ke surau berkenaan hampir tiga kali sekitar lewat pagi.


Beliau berkata, mereka mengesyaki pasangan terbabit melakukan maksiat dan melakukan pemeriksaan sebelum mendapati pasangan terbabit berada di dalam tandas surau berkenaan berdua-duaan.


"Orang awam kemudian memanggil pengerusi surau berkenaan dan memaklumkan kepada pejabat agama untuk tindakan lanjut.


"Hasil soal siasat mendapati, pasangan itu mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan suami isteri atau mahram dan disyaki berkhalwat," katanya.


Anwar Sharifuddin berkata, pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.

BERSATU sedia guna logo sendiri jika tidak dibenar guna logo PN - Muhyiddin

BERSATU sedia guna logo sendiri jika tidak dibenar guna logo PN - Muhyiddin


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersedia menggunakan logo sendiri sekiranya tidak mendapat kebenaran menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.


Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan secara konsensus dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN di Kuala Lumpur pada Isnin.


Menurutnya, keputusan mengenai penggunaan logo parti atau gabungan hanya akan dimuktamadkan selepas perbincangan bersama kepimpinan PN.


"Ada orang tanya saya, apa logo nak pakai. Kita akan pakai logo PN (tapi) macam mana nak guna kalau Pengerusi PN (Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) tak nak sign, (guna logo) PN kena ada watikah," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Bakri, Muar pada malam Ahad.


Turut hadir, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.


Pada 16 Jun lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, BERSATU kekal bersama PN dan akan menggunakan logo gabungan itu dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan. Namun keesokan harinya, PAS dilaporkan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai gopoh.


Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, watikah atau kuasa penggunaan logo PN perlu ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukannya presiden parti.


Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, BERSATU mempunyai ramai calon untuk diketengahkan dan parti perlu bertanding banyak kerusi supaya dapat menubuhkan kerajaan jika menang PRN Johor kali ini.


"Johor ada 56 kerusi, pada PRN lalu, BERSATU menang dua kerusi di Bukit Kepong dan Endau serta satu PAS di Maharani.


"Kalau 10 kerusi tidak cukup untuk jadi kerajaan, perlu ada 28 campur satu kerusi baru boleh jadi kerajaan," katanya.

Ahad, 21 Jun 2026

Harga diesel bersubsidi turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026

Harga diesel bersubsidi turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026


Kerajaan Madani mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter di seluruh negara mulai Julai 2026 menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang lebih seragam dan bersasar.


Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, pengumuman itu dibuat di Bintulu, Sarawak pada Ahad sebagai sebahagian daripada usaha memastikan subsidi kerajaan dinikmati rakyat Malaysia yang layak.


Menurut beliau, pelaksanaan baharu itu akan menggunakan mekanisme berasaskan MyKad, selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95)


Katanya, melalui pembaharuan itu, rakyat Malaysia akan menikmati harga diesel yang sama serta kaedah pembelian yang seragam di seluruh negara termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.


"Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi," katanya dalam satu kenyataan media Kementerian Kewangan pada Ahad.


Kementerian Kewangan memaklumkan, langkah itu penting dalam keadaan krisis Asia Barat yang terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, selain memastikan subsidi kerajaan hanya sampai kepada rakyat Malaysia.


Menurut kementerian itu, pembaharuan berkenaan juga bertujuan mengurangkan ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi yang berlaku akibat perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi.


Ketika ini, diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.


"Perbezaan harga ini telah mewujudkan ruang kepada ketirisan serta penyeludupan diesel bersubsidi termasuk ke luar negara," menurut kenyataan itu.


Kementerian Kewangan berkata, menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan harga runcit di Semenanjung Malaysia, sekali gus menamatkan manfaat subsidi kepada bukan warganegara.


Pada masa sama, rakyat di Sabah dan Sarawak yang menggunakan kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.


Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Isnin.

Flat empat tingkat dibina secara tidak sah etnik Rohingya mula dirobohkan pemilik tapak

Flat empat tingkat dibina secara tidak sah etnik Rohingya mula dirobohkan pemilik tapak


Sebuah bangunan empat tingkat yang dibina secara tidak sah yang sebelum ini digunakan sebagai penempatan pelarian etnik Rohingya dekat Kampung Sungai Makau, Hulu Langat, mula dirobohkan oleh pemilik kawasan tapaknya sejak kelmarin.


Usaha merobohkan bangunan terbabit disahkan anak perempuan kepada pemilik kawasan tapak binaan itu, yang memaklumkan kerja perobohan terbabit dianggarkan sudah mencapai hampir 20 peratus setakat semalam.


"Untuk makluman, binaan atas kawasan rizab sungai yang terletak di belakang bangunan itu juga sudah dirobohkan. Hari ini, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) hadir menanggalkan tiang elektrik di kawasan berkenaan.


"Selepas mereka alihkan tiang berkenaan, baru kita boleh teruskan kerja perobohan bangunan terbabit. Setakat ini, kerja merobohkan bangunan flat itu dianggarkan sudah mencapai kira-kira 20 peratus," katanya semalam.


Tinjauan mendapati kerja perobohan yang dilaksanakan terhadap bangunan empat tingkat itu dijalankan dengan menggunakan jengkaut.


Wanita itu menjangkakan kerja perobohan binaan di kawasan itu mengambil masa yang agak lama berikutan masih ada beberapa barangan peribadi milik keluarganya yang belum dikeluarkan sepenuhnya daripada kediaman mereka yang terletak di belakang bangunan terbabit.


"Kami sekeluarga pernah menetap di kediaman itu ketika saya masih kecil. Walaupun kini sudah berpindah, masih terdapat beberapa barangan yang belum sempat dikeluarkan.


"Saya sudah mengatur lori untuk memindahkan barangan berkenaan. Pada masa sama, kami turut mengalihkan sisa runtuhan bangunan yang dirobohkan bagi memastikan laluan tidak terhalang.


"Justeru, keadaan itu menyebabkan kerja perobohan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan," ujarnya.


Katanya, proses merobohkan keseluruhan penempatan itu dijangka mengambil masa sehingga tiga bulan untuk diselesaikan, bergantung kepada kemampuan kewangan keluarga.


"Kerja perobohan bangunan ini bergantung kepada keadaan kewangan kami. Jika tidak mempunyai dana yang mencukupi, kerja berkenaan mungkin terpaksa ditangguhkan," katanya.

Sabtu, 20 Jun 2026

Tular video beberapa etnik Rohingya selamba baring, tidur dalam MRT

Tular video beberapa etnik Rohingya selamba baring, tidur dalam MRT


Tindakan beberapa individu yang dipercayai warga Rohingya berbaring dan tidur di atas tempat duduk dalam tren Transit Aliran Massa (MRT) mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial.


Perkara itu tular selepas satu rakaman video dimuat naik di aplikasi Threads oleh seorang pengguna yang dikenali sebagai Iofa.naura. Menurutnya, kejadian tersebut berlaku ketika tren berkenaan tidak dipenuhi penumpang.


Menerusi hantaran tersebut, pengguna berkenaan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan individu terbabit yang dianggap tidak menghormati kemudahan awam.


Berdasarkan video yang dikongsikan, beberapa individu dilihat berbaring di atas kerusi penumpang dan kelihatan selesa menggunakan ruang tersebut tanpa menghiraukan pengguna lain yang berada dalam tren.



Ruangan komen pula dipenuhi pelbagai reaksi daripada netizen yang mengecam perbuatan itu. Rata-rata berpendapat tindakan sedemikian boleh menjejaskan imej pengangkutan awam negara serta memberi persepsi negatif kepada pelancong yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.


Seorang pengguna, menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak beradab kerana menggunakan tempat duduk awam seperti ruang peribadi.


Malah ada yang berpendapat perbuatan berkenaan tidak mencerminkan sikap yang sesuai ketika menggunakan kemudahan awam dan boleh menjejaskan imej pengangkutan negara.


Tidak kurang juga bersimpati terhadap nasib pelarian, namun beranggapan tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku di tempat awam.


Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak MRT berhubung insiden yang tular di media sosial itu.

Polis Thailand rampas 500kg syabu bernilai RM12.52 juta, disyaki untuk pasaran Malaysia

Polis Thailand rampas 500kg syabu bernilai RM12.52 juta, disyaki untuk pasaran Malaysia


Polis Thailand merampas 500 kilogram (kg) syabu bernilai RM12.52 juta yang cuba diseludup ke negara jiran (Malaysia) selepas menahan orang kanan kepada sindiket berkenaan dalam operasi bersepadu di Ban Kawa, Mukim Kawa, Sungai Padi, Narathiwat pada Isnin lalu (15 Jun).


Rampasan pukul 4.30 petang itu dilakukan Unit Siasatan Khas Narkotik Wilayah Narathiwat yang membawa kepada penahanan suspek berusia 38 tahun.


Jurucakap Polis Wilayah Narathiwat berkata, kejayaan itu dicapai hasil risikan dan siasatan susulan terhadap beberapa anggota sindiket yang ditahan sebelum ini.


"Sindiket terbabit adalah an­tara yang terbesar dan paling aktif di Selatan Thailand khususnya di daerah bersempadan dengan Malaysia. Mereka mempunyai rangkaian luas sehingga ke utara Thailand dan Malaysia.


"Hasil siasatan rapi dan maklumat risikan yang diperoleh, sepasukan anggota unit khas narkotik wilayah menahan orang kanan sindiket terbabit di Ban Kawa, Mukim Kawa, Sungai Padi," katanya ketika dihubungi.


Jurucakap polis berkata, susulan tangkapan itu, suspek kemudian membawa polis ke sebuah ladang kelapa sawit di Ban Kawa.


Katanya, pemeriksaan lanjut di kawasan ladang tersebut menemukan beberapa bungkusan mengandungi puluhan paket plastik berisi syabu yang disembunyikan di kawasan berumput tinggi.


"Penilaian awal menganggarkan syabu yang dirampas bernilai hampir RM12.52 juta. Ini adalah kejayaan penting dalam memintas penghantaran dadah terbesar sebelum ia sempat diedarkan ke pasaran tempatan dan diseludup ke negara jiran.


"Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak akhir tahun lalu dan beroperasi di beberapa wilayah termasuk Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla. Bagaimanapun, pangkalan utama mereka adalah di Wilayah Narathiwat yang bersempadan dengan Kelantan. Kawasan yang diserbu Isnin lalu merupakan lokasi simpanan terbesar sindiket itu," katanya.

Terdesak lunas hutang keluarga antara alasan PATI masuk negara secara haram

Terdesak lunas hutang keluarga antara alasan PATI masuk negara secara haram


Terdesak melunaskan hutang keluarga sehingga mencecah puluhan ribu ringgit menyebabkan seorang wanita warga asing sanggup memasuki negara ini secara haram sebelum ditahan dalam Ops Kutip di sekitar Pasar Pudu, tengah malam tadi.


Wanita berusia lingkungan 30-an yang hanya mahu dikenali sebagai Lili itu antara warga asing yang diperiksa dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan individu melakukan pelbagai kesalahan imigresen.


Lili yang bekerja di sebuah pusat urut tradisional mendakwa keluarganya terpaksa membuat pinjaman bagi menampung kos sara hidup sehingga dibelenggu hutang yang besar.


Menurutnya, keadaan itu mendorongnya mengambil risiko memasuki negara ini tanpa dokumen sah bagi mencari pekerjaan dan membantu keluarganya.


"Saya tahu apa yang saya lakukan adalah salah, tetapi saya tiada pilihan. Keluarga saya menanggung hutang yang banyak dan saya perlu bekerja untuk membantu mereka.


"Setiap bulan saya menghantar wang kepada keluarga di kampung. Jika saya tidak bekerja, mereka akan terus dibelenggu hutang," katanya ketika ditemui selepas ditahan dalam operasi itu kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah kepada pihak berkuasa.


Sementara itu, seorang lelaki warga asing yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman mengakui cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa kerana bimbang ditahan.


Lelaki yang mendakwa berada di Malaysia sejak 10 tahun lalu itu berkata, pasport miliknya sudah tamat tempoh dan belum diperbaharui kerana kekangan kewangan.


"Saya bekerja menjual sayur-sayuran dan memperoleh kira-kira RM1,500 sebulan. Saya tinggal menyewa bersama beberapa rakan.


"Saya memang mahu memperbaharui pasport, tetapi belum mempunyai wang yang mencukupi. Apabila nampak operasi dijalankan, saya panik dan cuba melarikan diri," katanya.


Operasi terbabit dipecahkan kepada tiga zon iaitu Zon 1, Zon 2 dan Zon 3 bagi memudahkan pemeriksaan dilakukan terhadap individu yang berada di sekitar kawasan pasar berkenaan.


Kebanyakan individu yang diperiksa dipercayai bekerja di pasar berhampiran sebagai pembantu kedai, pekerja am dan penjaja.


Dalam pada itu, JIM Kuala Lumpur mengingatkan warga asing supaya sentiasa mematuhi undang-undang imigresen negara serta memastikan dokumen perjalanan dan pas kerja dimiliki berada dalam tempoh sah.


Menurut jabatan itu, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana warga asing yang memasuki negara ini secara tidak sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan.


JIM turut menasihatkan majikan supaya tidak menggaji atau melindungi PATI kerana perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang imigresen negara.

Jumaat, 19 Jun 2026

DBKL kompaun, 13 tindakan sita peniaga warga asing di Selayang

DBKL kompaun, 13 tindakan sita peniaga warga asing di Selayang


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 13 premis dan peralatan perniagaan milik warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Jalan Selayang Baru, Pasar Harian Selayang, semalam.


DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan dijalankan terhadap aktiviti penjualan barangan am, runcit, barangan basah, buah-buahan serta sayur-sayuran yang dikendalikan warga asing tanpa lesen yang sah.


Menurutnya, sebanyak empat notis kompaun dikeluarkan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, manakala 13 tindakan sita dan pindah barangan turut dilaksanakan.


"Tindakan diambil ke atas peniaga warga asing termasuk individu yang menggunakan kad pelarian dikeluarkan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai dokumen pengenalan," katanya.


Kesemua barangan dan peralatan yang disita telah dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL untuk tujuan dokumentasi serta tindakan lanjut.


Operasi tersebut dijalankan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan UUK Pelesenan Pasar (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.


DBKL berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan di lokasi yang dikenal pasti sebagai tumpuan aktiviti perniagaan tanpa lesen.


Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat atau aduan kepada DBKL bagi membantu usaha membanteras aktiviti perniagaan yang melanggar peraturan.


Anggota penguat kuasa DBKL menyita barangan perniagaan warga asing di Pasar Harian Selayang. - Foto DBKL.