Empat remaja termasuk seorang yang masih bersekolah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini atas tuduhan mencederakan dan menjerut leher seorang pemandu e-hailing wanita dalam kejadian minggu lalu.
Semua tertuduh berusia antara 14 hingga 17 tahun termasuk dua remaja perempuan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Lim Lih Yin, 42, menggunakan senjata atau objek berbahaya iaitu sebatang besi, selain menjerut leher mangsa sehingga mendatangkan kecederaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran kawasan hutan Kuala Sungai Baru, dalam daerah Alor Gajah, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 14 Mei lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 3 tahun atau denda atau sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi mendapatkan laporan akhlak, selain menawarkan jaminan RM2,000 terhadap setiap tertuduh.
Semua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Goh Jee Chee, memohon jaminan terhadap mereka dikurangkan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM1,000 terhadap setiap tertuduh dengan syarat penjamin perlu menemani mereka setiap kali hadir ke mahkamah, selain menetapkan 24 Jun depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan laporan akhlak.
Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan remaja termasuk dua perempuan tergamak mencederakan pemandu e-hailing wanita kerana tidak mempunyai wang untuk membayar tambang dalam kejadian di Kuala Sungai Baru.
Mangsa berusia 42 tahun mengalami lebam dan bengkak pada beberapa bahagian badan, selain kesan jerutan pada leher selepas dipercayai diserang kumpulan terbabit.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar dilaporkan berkata, sebelum kejadian, mangsa menerima tempahan menerusi aplikasi Grab untuk mengambil empat penumpang di Bukit Rambai sebelum menghantar mereka ke pekan Kuala Sungai Baru.
Katanya, setibanya di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru, seorang daripada suspek meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu menunggu seseorang memasukkan wang ke akaunnya secara dalam talian.
Bagaimanapun, mangsa yang curiga bertindak merakam keadaan itu menggunakan telefon bimbit sebelum semua suspek masuk semula ke dalam kereta.
Keadaan kemudian bertukar cemas apabila tiga suspek bertindak agresif dengan memukul mangsa menggunakan objek keras dan menjerut leher wanita itu menggunakan kain dari belakang tempat duduk pemandu.












