Sekumpulan pelajar perempuan ketakutan selepas seorang pemandu teksi menuntut bayaran dua kali ganda sebelum menurunkan mereka semasa hujan, lapor portal berita Thaiger pada 3 Julai 2025.
Insiden mengejutkan berlaku pada Selasa (1 Julai 2025) apabila enam pelajar dari sebuah sekolah perempuan terkenal di Nonthaburi, Thailand menaiki teksi hijau untuk menyambut hari lahir.
Mereka menyewa teksi untuk ke Prachachuen 36 dan ketika menghampiri pusat beli-belah The Mall Ngamwongwan, hujan lebat mula turun dan kenderaan yang mereka naiki terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
Pemandu teksi kemudian menjerit meminta pelajar-pelajar tersebut keluar dan menuntut bayaran 187 baht (RM24).
"Saya memindahkan wang itu ke akaunnya menggunakan (aplikasi) TrueMoney, tetapi dia menjerit bahawa wang itu belum sampai dan menyuruh saya memindahkannya semula.
"Saya meminta rakan saya memindahkan wang itu untuk kali kedua," kata seorang pelajar dikenali sebagai B (nama samaran) yang berusia 15 tahun.
Dibiarkan basah kuyup, gadis-gadis itu memanggil teksi lain untuk melengkapkan perjalanan mereka.
Pada petang berikutnya, mereka dan ibu bapa masing-masing pergi ke Balai Polis Rattanathibet untuk membuat laporan polis.
Menyedari perkara itu telah sampai kepada pihak polis, anak lelaki pemandu tersebut kemudian memindahkan wang sebanyak 187 baht kembali kepada B tanpa meminta maaf, lapor saluran televisyen Channel 3 Plus. - Sumber The Thaiger.