Khamis, 3 Ogos 2023

Gara-gara bunyi dengkuran, suami sangka isteri curang bawa lelaki lain dalam bilik

Gara-gara bunyi dengkuran, suami sangka isteri curang bawa lelaki lain dalam bilik


Seorang suami di wilayah Guangdong, China yang menyangka isterinya curang kerana mendengar bunyi lelaki berdengkur di dalam bilik tidur mereka, tergamam selepas mendapati ia adalah bunyi dengkurannya sendiri, lapor laman berita Thaiger pada 2 Ogos 2023.


Selepas pulang dari luar negara atas urusan perniagaan, si isteri dilaporkan tidak membuka pintu apabila suaminya tiba di rumah pada pukul 9 malam (waktu tempatan).


Setelah membuka pintu rumah, lelaki itu terdengar bunyi dengkuran kuat dari bilik tidur mereka.


Gara-gara curiga isterinya membawa masuk lelaki lain semasa ketiadaannya, si suami menerpa masuk ke dalam bilik dengan perasaan marah.


Dia kemudian terkejut apabila mendapati isterinya tidur bersendirian di atas katil, manakala bunyi dengkuran itu muncul daripada telefon bimbit wanita tersebut.


Bunyi itu sebenarnya dengkurannya sendiri yang direkod dan didengari si isteri setiap kali dia tidak berada di rumah untuk membantu menenangkan ketakutannya ketika tidur.


Si suami terharu dengan tindakan isterinya yang tidak bersalah itu dan dia meluahkan rasa menyesal kerana tersalah faham mengenai bunyi dengkuran itu. - Foto The Thaiger.

Rabu, 2 Ogos 2023

Lif tiba-tiba tak berfungsi, wanita maut selepas 3 hari terperangkap

Lif tiba-tiba tak berfungsi, wanita maut selepas 3 hari terperangkap


Seorang wanita yang bekerja sebagai penghantar surat maut selepas terperangkap di dalam sebuah lif selama tiga hari di Uzbekistan, lapor laman berita Wion News pada 1 Ogos 2023.


Tiada seorang pun yang datang untuk menyelamatkan mangsa, Olga Leontyeva, 32, dalam tempoh itu, lapor akhbar Daily Mirror.


Tambahnya, Leontyeva menjerit meminta tolong dari dalam lif di tingkat teratas bangunan sembilan tingkat itu, namun tiada sesiapa yang mendengar suaranya.


Keluarganya dilaporkan ada menghubungi pihak berkuasa pada 24 Julai lalu untuk melaporkan kehilangan mangsa selepas dia tidak pulang dari kerja.


Selepas operasi mencari dilakukan, mayatnya ditemui di dalam lif pada hari berikutnya. Leontyeva meninggalkan seorang anak perempuan berusia enam tahun yang kini dijaga oleh saudaranya.


Sebelum penemuan mayatnya, dia dilihat menerusi rakaman televisyen litar kamera tertutup (CCTV) memasuki lif tersebut di aras bawah. Leontyeva tidak kelihatan lagi selepas itu.


Pejabat pendakwa raya tempatan dilaporkan telah melancarkan siasatan ke atas tragedi itu. Lif itu adalah buatan China dan berfungsi. Tetapi ia tidak didaftarkan.


Syarikat kuasa serantau itu dilaporkan mengesahkan bahawa tiada bekalan elektrik terputus pada hari Leontyeva terperangkap. Tragedi itu dikaitkan dengan kerosakan pada lif yang tidak disedari.


Kejadian serupa dilaporkan di Itali minggu lalu. Francesca Marchione, 61, ditemui mati selepas dia terperangkap dalam lif semasa bekalan elektrik terputus.


Insiden itu berlaku pada 26 Julai apabila gangguan bekalan elektrik menyebabkan bangunan itu menjadi gelap. Perkhidmatan kecemasan telah dipanggil. Tetapi malangnya, mereka menemui mayat Marchione di dalam lif.


Pada masa itu, lif tersekat di antara dua tingkat. Dilaporkan bahawa pintu lif terbuka. Namun, dia tidak dapat melarikan diri. - Sumber Wion News.


Leontyeva memasuki sebuah lif sebelum dia terperangkap selama tiga hari. - Foto Twitter.

Selasa, 1 Ogos 2023

Beruang matahari berkelakuan pelik, netizen syak haiwan itu sebenarnya manusia

Beruang matahari berkelakuan pelik, netizen syak haiwan itu sebenarnya manusia


Tindak-tanduk mencurigakan seekor beruang matahari di sebuah zoo di China mengundang perhatian pengguna media sosial yang mendakwa haiwan itu sebenarnya manusia yang memakai kostum, lapor portal berita Mothership pada 31 Julai 2023.


Beberapa video memaparkan aksi beruang di Zoo Hangzhou itu mula dikongsikan di laman Twitter pada 27 Julai lalu.


Haiwan itu dilihat amat mesra dengan pengunjung selain aksinya yang berdiri tegak sambil menghadap ke arah orang ramai mendapat perhatian netizen.


Mereka mengesyaki terdapat seseorang yang memakai kostum beruang disebabkan lipatan kulit di bahagian belakang badan haiwan tersebut kelihatan seperti kostum.


Menurut laman berita Zhejiang News, video kontroversi itu mencetuskan perdebatan netizen dengan sesetengah mereka berpendapat lipatan kulit haiwan itu membuatkan ia kelihatan seperti kostum longgar yang dipakai oleh manusia.


Namun, pihak Zoo Hangzhou menafikan dakwaan itu. Menurut mereka beruang tersebut adalah haiwan sebenar yang ditempatkan di zoo itu pada 2020.


Seorang kakitangan zoo memberitahu saluran berita BRTV bahawa sebagai sebuah zoo milik pemerintah, tidak mungkin mereka menggunakan manusia untuk memakai kostum haiwan.


"Suhu musim panas boleh mencecah hampir 40 darjah Celsius. Jika seseorang memakai kostum, mereka akan pengsan dalam masa beberapa minit kerana suhu panas," kata pekerja tersebut.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Zoo Hangzhou, Jiang Zhi berkata, haiwan itu adalah beruang matahari Malaya yang mempunyai bentuk fizikal lebih langsing berbanding dua spesies beruang lain di taman berkenaan.


Apabila disoal mengenai aksi beruang itu yang berdiri tegak, Jiang Zhi berkata, beruang matahari boleh berdiri menggunakan dua kakinya, selain ia mempunyai sikap mesra dengan pengunjung. - Sumber MotherShip.


Beruang matahari tersebut berdiri tegak dengan keadaannya dikatakan menyerupai manusia yang memakai kostum. - Foto Twitter.

Ahad, 30 Julai 2023

Saintis hidupkan semula cacing selepas 46,000 tahun beku di Siberia

Saintis hidupkan semula cacing selepas 46,000 tahun beku di Siberia


Sekumpulan saintis 'menghidupkan' semula seekor cacing bulat yang berada dalam keadaan beku sejak 46,000 tahun lalu semasa zaman gajah mamut berbulu, harimau bertaring tajam dan rusa gergasi berkeliaran di Bumi, lapor portal berita CNN pada 28 Julai 2023.


Haiwan daripada spesies tidak diketahui itu terselamat 40 meter di bawah permukaan beku di kawasan permafrost Siberia.


Ia berada dalam keadaan tidak aktif dikenali sebagai cryptobiosis, demikian menurut Profesor Emeritus Teymuras Kurzchali daripada Institut Biologi dan Genetik Sel Molekul Max Planck.


Beliau ialah salah seorang saintis yang terlibat dalam penyelidikan tersebut.


Organisma dalam keadaan cryptobiosis boleh bertahan tanpa air atau oksigen di samping dalam persekitaran suhu tinggi, beku atau masin.


Cacing itu dikatakan berada dalam fasa di antara kematian dan kehidupan, di mana kadar metabolismenya menurun pada tahap yang tidak dapat dikesan, jelas Kurzchalia.


"Ia boleh menghentikan kehidupan dan kemudian memulakannya dari awal. Ini penemuan utama," katanya sambil menambah, organisma lain yang sebelum ini dihidupkan semula dari kawasan itu berasal dari tempoh beberapa dekad sahaja dan bukannya beribu-ribu tahun.


Lima tahun lalu, beberapa saintis menemui dua spesies cacing gelang di permafrost Siberia. - Sumber CNN.


Imej imbasan mikroskop menunjukkan salah satu cacing purba dikenali sebgai nematodes dan berada dalam tanah sejak beku selama 46,000 di Siberia. - Foto Institute of Physicochemical and Biological Problems in Soil Science RAS.

Sabtu, 29 Julai 2023

Demi jumpa teman lelaki, gadis potong bekalan elektrik satu kampung setiap malam

Demi jumpa teman lelaki, gadis potong bekalan elektrik satu kampung setiap malam


Seorang gadis muda dari Bihar di India sanggup memotong bekalan elektrik di seluruh kampungnya semata-mata untuk mengelak diperhatikan ketika bertemu dengan teman lelakinya dari perkampungan musuh, lapor India Today pada 23 Julai lalu.


Penduduk Bettiah, sebuah perkampungan di daerah Champaran Barat mengadu tertekan dengan gangguan bekalan elektrik luar biasa yang berlaku hampir setiap malam.


Kegelapan tersebut meningkatkan kes kecurian dan berlarutan selama lebih seminggu, menyebabkan penduduk merayu kepada syarikat elektrik untuk membetulkan rangkaian mereka.


Namun juruteknik yang datang tidak menemukan sebarang masalah infrastruktur.


Tiada siapa yang dapat memahami apa yang sedang berlaku sehinggalah pada suatu malam, beberapa penduduk tempatan yang membuat rondaan menangkap pasangan muda yang bertemu dalam kegelapan.


Preeti Kumari mengaku jatuh cinta dengan Rajkumar, seorang pemuda dari kawasan bersebelahan yang sering bermusuhan dengan penduduk di Bettiah, menyebabkan dia berterusan memutuskan kuasa di kampungnya demi merahsiakan hubungan itu.


Sebuah video yang tular di media sosial India menunjukkan Preeti cuba mempertahankan kekasihnya itu ketika penduduk kampung mengancam untuk memukul lelaki berkenaan.


Rajkumar dilaporkan dipukul beberapa kali dengan kayu selepas kisah percintaannya dengan Preeti terbongkar tetapi dia berjaya melarikan diri dan kemudian membalas dendam terhadap penyerangnya dengan bantuan rakan dari kampungnya sendiri.


Menurut India Today, demi mengelakkan keganasan dan gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan, penduduk kedua-dua kampung itu akhirnya memutuskan mengahwinkan pasangan muda itu di sebuah kuil tempatan. - Sumber India Today.


Tangkap layar video ketika Preeti Kumari dan Rajkumar ditangkap penduduk kampung Bettiah di Bihar. - Foto India Today.
Jiran terkejut, lelaki ternak 7 anak lembu di balkoni pangsapuri

Jiran terkejut, lelaki ternak 7 anak lembu di balkoni pangsapuri


Seorang penduduk kampung yang baru berpindah ke sebuah pangsapuri di kawasan bandar mengejutkan para jirannya dengan memelihara lembu di balkoni rumahnya di China, lapor India Today pada 23 Julai 2023.


Ratusan penghuni yang tinggal di pangsapuri terletak di wilayah Sichuan, terkejut selepas mendapat tahu jiran baharu mereka menternak tujuh ekor anak lembu di balkoni tingkat lima rumahnya.


Lelaki berkenaan yang merupakan petani membawa bersama haiwan ternakan itu yang masing-masing seberat 10 hingga 20 kilogram ketika berpindah ke rumah pangsapurinya.


Akibat tidak tahan dengan bau busuk najis dan bunyi anak lembu melenguh, penghuni pangsapuri terpaksa menghubungi pihak berkuasa.


Semua anak lembu itu kemudian dialihkan oleh pegawai berkuasa tempatan pada 14 Julai lalu sehari selepas dibawa ke rumah tersebut, menurut laporan Mingguan Phoenix.


Satu rakaman video tular menunjukkan anak lembu itu sedang makan di balkoni bangunan pangsapuri tersebut. Video itu telah mendapat lebih empat juta tontonan dalam aplikasi Douyin, platform perkongsian video pendek Cina yang serupa dengan TikTok.


Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi warganet termasuk ada menganggap insiden itu lucu. - Sumber India Today.


Tangkap layar video menunjukkan anak lembu dipelihara di balkoni pangsapuri di wilayah Sichuan, China. - Foto Twitter/@HassanAkhssass.

Khamis, 27 Julai 2023

Pencuri kecewa 'derma' RM27 pada pemilik rumah kerana tiada barang berharga

Pencuri kecewa 'derma' RM27 pada pemilik rumah kerana tiada barang berharga


Sekumpulan pencuri yang kecewa kerana tidak menemui apa-apa barangan berharga untuk dirompak di sebuah rumah warga emas di New Delhi, India, bertindak meninggalkan wang tunai sebanyak 500 rupee (RM27.22) di pintu pagar utama kediaman itu, lapor laman berita Indian Today pada 24 Julai 2023.


Insiden itu dipercayai berlaku pada malam Khamis. Polis menerima panggilan berhubung perkara yang sama pada 21 Julai. Polis yang tiba di rumah itu dikatakan menemui seorang lelaki berusia 80 tahun yang tinggal di situ.


Menurut M. Ramakrishna, yang merupakan pemilik rumah itu, dia dan isterinya telah pergi ke Gurugram pada pagi Rabu lalu (19 Julai) dan apabila pulang, mereka melihat kunci pintu utama telah rosak. Namun, tiada apa yang hilang dari kediaman itu.


Bagaimanapun, mereka menemui wang kertas berjumlah 500 rupee di pintu pagar utama.


Warga emas itu memberitahu polis bahawa dia tidak menyimpan sebarang barang berharga di rumah.


Ramakrishna ialah seorang jurutera bersara dan berdasarkan aduannya, polis sedang memburu kumpulan perompak berkenaan, lapor agensi berita ANI. - Sumber India Today.


Wang sebanyak 500 rupee ditinggalkan pencuri di pintu pagar utama kediaman pasangan warga emas di Delhi baru-baru ini. - Foto PTI/Fail.

Selasa, 25 Julai 2023

Berang tak dapat wang RM5,000, isteri acu pisau pada suami

Berang tak dapat wang RM5,000, isteri acu pisau pada suami


Seorang wanita warga Indonesia bertindak mengugut dengan mengacu pisau ke muka suaminya kerana berang wang RM5,000 yang diminta untuk pulang ke kampung tidak diberi, lapor Sinar Harian, hari ini.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 6 pagi, pada 6 Julai lalu di Taman Tasik Tambahan, Ampang.


"Mangsa lelaki tempatan berusia 48 tahun telah berselisih faham dengan isterinya (suspek) yang meminta wang RM5,000 untuk pulang ke kampung.


"Mangsa tidak mempunyai wang yang diminta sebelum diugut oleh isterinya dengan mengacukan pisau ke arah muka dan menyatakan akan merodok mulut mangsa dengan pisau terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Beliau berkata, bertindak atas maklumat, wanita berusia 34 tahun itu telah diberkas di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira jam 9 malam, Ahad lalu.


Tambah Mohd Azam, polis turut merampas sebilah pisau yang digunakan semasa kejadian terbabit.


"Suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai kini direman empat hari sehingga 27 Julai untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," ujarnya. - Sumber Sinar Harian.

Tak dapat kerja walaupun sebagai pencuci tandas sebab 800 tatu

Tak dapat kerja walaupun sebagai pencuci tandas sebab 800 tatu


Seorang wanita British mendakwa dia gagal mendapat sebarang pekerjaan walaupun untuk kerja sebagai pencuci tandas kerana mencacah kira-kira 800 tatu hampir seluruh tubuh badannya termasuk muka, lapor NDTV minggu lalu.


Namun di sebalik kesukaran itu, Melissa Sloan, 46, yang berasal dari Wales di United Kingdom itu mencari pekerjaan, dia masih mencacah tiga tatu baharu setiap minggu sebab ketagih perbuatan itu.


Tatu boleh membuatkan sesiapa sahaja menjadi tumpuan, tetapi ia kini menjadi punca kesukaran Melissa untuk mencari rezeki.


Ke mana-mana sahaja syarikat yang dia pergi, pihak majikan akan mengkritik penampilan bertatunya dan menolak permohonannya untuk bekerja.


Menurut The New York Post, Melissa sebelum ini mempunyai pekerjaan membersihkan tandas tetapi dia mengatakan kini dia gagal dalam permohonan untuk kerja serupa.


"Saya tidak boleh mendapatkan pekerjaan lagi. Saya memohon kerja membersihkan tandas di tempat saya tinggal, dan mereka tidak menerima kerana tatu dimiliki saya.


"Orang ramai berkata saya tidak pernah mempunyai pekerjaan dalam hidup saya, tetapi saya pernah mempunyai pekerjaan sekali sebagai pencuci tandas dan ia tidak bertahan lama," kata ibu kepada dua anak itu dalam satu temubual lain kepada Daily Star pula.


Menurutnya, jika sesiapa atau mana-mana pihak menawarkannya pekerjaan pasti dia akan menerima tawaran dan pergi bekerja.


Sloan mula mencacah tatu pada usia 20 tahun dan menjadi ketagih menambah tatu di ruang yang masih ada pada tubuhnya.


"Jika saya mencapai 70 tahun, saya masih akan mendapatkannya walaupun saya bertukar biru. Setiap cebisan kulit akan tertutup dengan tatu. Muka saya sudah pun bertukar biru. Saya kelihatan seperti Smurf," katanya.


Sloan mempunyai kegemaran khusus untuk tatu muka dan tidak mempunyai kulit kosong yang tersisa di wajahnya. Dia sudah menggelapkan dakwat pada tatu lama sebanyak tiga kali, menghasilkan kolaj berbilang lapisan di wajahnya.


"Saya mempunyai tiga lapisan tatu di muka saya. Saya mungkin mempunyai paling banyak tatu di dunia. Saya mahu terus melakukannya berulang kali," katanya. - Sumber NDTV.


Melissa Sloan mendapat tatu pertamanya 26 tahun lalu. - Foto Facebook/Melissa Sloan.



Isnin, 24 Julai 2023

Lelaki temui lipas dalam mi ketika menikmati makanan

Lelaki temui lipas dalam mi ketika menikmati makanan


Seorang lelaki di Vietnam menemui seekor lipas di dalam hidangan yang dipesannya melalui khidmat penghantaran makanan dari sebuah restoran, lapor laman berita Thaiger pada 22 Julai 2023.


Pemuda itu sedang menikmati semangkuk mi yang lazat yang dipesannya dari sebuah restoran tempatan kecil, hidangan berperisa dengan harga berpatutan yang mereka tawarkan.


Bagaimanapun, menjelang penghujung makan, dia terjumpa seekor lipas di dalamnya, mencetuskan kebimbangan tentang keselamatan makanan.


Penemuan yang dikongsinya di media sosial itu menyebabkan orang ramai meluahkan kebimbangan mereka mengenai keselamatan dan kebersihan makanan.


"Saya sedang menikmati makanan, tetapi sekarang saya rasa ingin muntah," tulisnya pada hantaran itu.


Netizen berusaha mencari nama restoran tersebut untuk mengelak daripada mengalami kejadian serupa.


"Restoran itu menambah 'topping' percuma, berkilat dan berbadan lengkap," komen seorang netizen.


"Sila beritahu orang ramai nama restoran itu. Kita perlu mengelak mengunjunginya," komen netizen lain. - Sumber The Thaiger.


Lelaki itu menunjukkan lipas yang ditemuinya. - Foto Sanook.